Skip to main content

Singapura

Hab Bandar Punggol dibuka pada 2021

Para penduduk Punggol boleh menjangkakan lebih banyak kemudahan menjelang tahun 2021, apabila Hab Bandar Punggol (PTH) dibuka nanti. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Oct 2018 04:25PM Dikemas Kini : 07 Oct 2018 10:45PM

SINGAPURA: Para penduduk Punggol boleh menjangkakan lebih banyak kemudahan menjelang tahun 2021, apabila Hab Bandar Punggol (PTH) dibuka nanti. Ia akan menampilkan kemudahan seperti sebuah pusat penjaja makanan yang baru dan perpustakaan.

Demikian diumumkan hari ini (7 Okt) semasa satu acara di Punggol Town Square, di mana seramai 1,000 penduduk diberi peluang melihat sekilas gambaran Hab Bandar Punggol itu semasa acara pecah tanah. Ia diadakan serentak dengan karnival Hari Kanak-Kanak di kawasan itu.

Hab bersepadu yang baru itu akan dikendalikan oleh Persatuan Rakyat (PA). Ia menggabungkan program-program dan perkhidmatan dari pelbagai agensi.

Para penduduk juga boleh menantikan sebuah pusat penjaja makanan yang baru, perpustakaan awam, Kelab Masyarakat Punggol Vista yang tujuh kali saiz kelab masyarakat di kolong blok yang ada sekarang, serta pelbagai pusat khidmat kesihatan di PTH.

Hab seluas 42,300 meter persegi itu akan ditempatkan bertentangan dengan Waterway Point, dan bersebelahan dengan Pusat Sukan Daerah Punggol. Ia akan terhubung dengan stesen MRT Punggol, Punggol Town Square dan Stesen LRT Sam Kee.

Malah bagi membantu para penduduk menjalani gaya hidup yang aktif dan sihat, laluan berbasikal di sekitar Hab Bandar Punggol akan digabungkan dengan rangkaian berbasikal Punggol yang lebih besar.

Menurut anggota Parlimen GRC Pasir-Ris Punggol Janil Puthucheary, hab tersebut adalah sumber kekuatan dan perpaduan bagi penduduk di Punggol.

Beliau disertai oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PA, serta Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, Menteri Ng Chee Meng, Setiausaha Parlimen Kanan Sun Xueling dan Encik Teo Ser Luck.

Dalam beberapa bulan akan datang ini, para penasihat akar umbi akan mendapatkan maklum balas daripada para penduduk untuk mengetahui ciri-ciri yang ingin mereka lihat di hab baru itu, dan akan bekerjasama dengan para pemegang taruhan untuk cuba memenuhi keperluan-keperluan tersebut. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita