Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haaziq Mohd Khaled dari Sekolah Rendah Alexandra juara pertama Peraduan Juara Baca BERITA Junior

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bukan mudah untuk menyampai berita di hadapan kamera, apatah lagi secara langsung di hadapan penonton dan panel juri.

Namun, murid-murid dari 10 sekolah rendah masih dapat menyampaikan BERITA TV dengan tenang dan yakin di The POD@NLB yang diubah menjadi 'studio satelit' BERITA Mediacorp.

Mereka merupakan finalis peraduan sulung Juara Baca BERITA Junior yang sampai ke kemuncaknya pada Sabtu (24 Feb).

Mereka beradu kemahiran dalam menyampaikan berita dan diadili berdasarkan sebutan, intonasi, kelancaran, gaya serta penampilan.
Di akhir pertandingan, Haaziq Mohd Khaled dari Sekolah Rendah Alexandra berjaya menambat hati para juri.

"Saya berasa teruja kerana saya terpilih untuk juara pertama. Saya berasa gembira kerana saya terpilih untuk menyertai pertandingan ini. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada cikgu saya dengan ibu saya kerana menolong saya untuk menyertai pertandingan ini," kata Haaziq Mohd Khaled.

Ayla Rayyan Muhd Khalil dari Sekolah Perempuan Raffles muncul sebagai naib juara.

"Semasa menyampaikan berita tadi saya merasa amat gementar namun saya juga berasa yakin kerana saya telah berlatih membaca berita selama tiga minggu sebelum peraduan ini," kata beliau.

Murid Sekolah Rendah Jing Shan Nur Aqilah Mohd Nordin gigih berlatih bersama dengan abangnya yang merupakan peserta simpanan.

"Saya selalu berlatih untuk bina keyakinan saya. Saya tidak sangka mendapat tempat yang ketiga," ujar Nur Aqilah.

Inisiatif itu adalah sebahagian usaha BERITA Mediacorp untuk mendekati dan memikat golongan muda kepada media aliran utama.
Ia juga mempunyai matlamat untuk mengasah penguasaan penggunaan bahasa Melayu di luar sekitaran sekolah.

"Apa yang di luar jangkaan saya adalah penglibatan ibu bapa dan itu pada saya adalah sesuatu yang bukan hanya di luar jangkaan tetapi sesuatu yang sangat menggalakkan kerana anak-anak itu bila mereka berlatih di rumah,mereka berlatih dengan ibu bapa. Ibu bapa bukan hanya menggalakkan tetapi membimbing. Dan ini dalam bahasa Melayu. Saya rasa ini satu matlamat yang sangat memberangsangkan," kata Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu, Mediacorp, Encik Sujadi Siswo.
Dengan kejayaan projek perintis itu sudahpun ada ura-ura untuk meluaskannya kepada lebih banyak sekolah.

Guru Kanan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Radin Mas, Cikgu Aryanti Sukaimi berkata: "Saya rasa matlamat kami untuk memastikan pelajar-pelajar tahu tentang apa itu berita asli, berita palsu dan untuk mendedahkan mereka kepada kerjaya sebagai seorang penyampai berita. Saya rasa itu tercapai. Jika boleh, kami ingin berganding bahu, ingin mewujudkan satu jawatankuasa dengan sekolah-sekolah lain untuk menerajui acara ini."
Acara Juara Baca BERITA Junior adalah anjuran bersama BERITA Mediacorp dan Sekolah Rendah Radin Mas dengan sokongan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan