Skip to main content

Singapura

Guru Woodgrove dakwa wang dipercayai diseleweng digunakan untuk beli buku, alat tulis

Apabila ditanya tentang sekitar S$40,000 yang dibayar para pelajar dan dipercayai diseleweng, guru Sekolah Menengah Woodgrove Maslinda Zainal berkata wang itu dibelanjakan untuk buku-buku, kertas latihan dan pena penanda (marker) berwarna. 

Anggaran Waktu Membaca:
Guru Woodgrove dakwa wang dipercayai diseleweng digunakan untuk beli buku, alat tulis

Maslinda dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang dibayar pelajar.

Diterbitkan : 10 Dec 2018 03:34PM Dikemas Kini : 10 Dec 2018 03:37PM

SINGAPURA: Apabila ditanya tentang sekitar S$40,000 yang dibayar para pelajar dan dipercayai diseleweng, guru Sekolah Menengah Woodgrove Maslinda Zainal berkata wang itu dibelanjakan untuk buku-buku, kertas latihan dan pena penanda (marker) berwarna.

Guru berkenaan, 44 tahun, menuntut supaya kesnya dibicarakan bagi dua pertuduhan jenayah pecah amanah melibatkan wang yang dibayar para pelajar bagi bahan pembelajaran antara Januari 2016 hingga April 2017.

Pada Isnin (10 Dis), Pegawai Penyiasat Kementerian Pendidikan (MOE) Lucy Lim memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwa di samping menjelaskan kepada mahkamah bagaimana beliau mengambil keterangan Maslinda sepanjang 10 muka surat. Maslinda seorang ketua jabatan bagi subjek Inggeris sejak 2006.

Menjawab pertanyaan-pertanyaan Cik Lim pada 7 April 2017, Maslinda berkata bahawa biasanya terdapat baki lebih S$2,000 daripada wang yang dikumpul dari para pelajar pada hujung tahun penggal sekolah.

Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang itu, Maslinda dalam kenyataannya berkata: "Saya menggunakan baki itu untuk membeli alat tulis seperti pena penanda, pena penanda papan tulis dan isian semula untuk pena penanda papan tulis."

Alat-alat tulis itu digunakan jabatan Inggeris dan oleh para pelajar bagi kerja-kerja secara berkumpulan, katanya, dan para guru akan memulangkannya kepada Maslinda selepas mereka selesai menggunakannya.

Maslinda berkata bahawa para pelajar tidak tahu bahawa wang itu digunakan untuk membiayai alat-alat tulis, dan guru itu tidak ingat sama ada para pelajar diberitahu bahawa alat-alat tulis itu dibeli menggunakan baki wang yang dikumpul.

"Anda masih menyimpan resit-resit bagi alat tulis yang dibeli dengan menggunakan wang pelajar?" tanya Cik Lim kepada Maslinda pada hari itu.

"Saya tidak rasa begitu," jawabnya. "Saya biasanya membuang resit-resit semasa mengemas dan membersihkan sekolah."

Apabila ditanya jika dirinya berpandangan bahawa tindakan membelanjakan wang pelajar sebagai sesuatu yang wajar, Maslinda menjawab "tidak".

"Mengapa anda masih melakukannya?" tanya Cik Lim.

"Saya rasa ia menyusahkan untuk memulangkan wang itu kepada para pelajar lalu sebaliknya membelanjakan wang tersebut untuk membeli alat-alat ditulis yang boleh digunakan dalam kelas atau semasa mereka melakukan projek-projek," jawabnya.

Maslinda menambah, alat-alat tulis seperti pena penanda dan kertas kadangkala juga dijadikan sebagai hadiah bagi para pelajar. Barang-barang itu dibeli dari kedai buku atau kedai Popular.

Pejabat sekolah lazimnya hanya membeli pena penanda dalam warna merah, hijau, biru dan hitam, kata Maslinda yang mendakwa para pelajar memberi maklum balas supaya pena penanda dalam warna-warna lain digunakan.

Apabila Cik Lim bertanya Maslinda tentang kurang dana berjumlah sekitar S$22,000 pada 2016, Maslinda menjawab: "Saya penat memberi kerjasama dalam siasatan ini kerana saya tahu saya tidak akan menang. Anda boleh sahaja mengatakan saya mengambil wang itu tetapi saya tidak mempunyainya. Saya ingin berhenti memberi keterangan."

Cik Lim seterusnya berhenti mengambil keterangan Maslinda dan guru itu kemudian diserahkan kepada polis yang sudah tiba.

TERTUDUH SIMPAN LEBIH S$10,000 DALAM BEG TANGAN: PEGAWAI MOE

Sebelum Cik Lim mengambil keterangan Maslinda, beliau dan rakan kerjanya mengadakan satu temu bual bersamanya beberapa jam sebelum itu, kata Cik Lim kepada mahkamah.

"Antara jam 11.00 pagi hingga 12.15 tengah hari, kami mengadakan temu bual secara lisan dengan Maslinda di mana dia mengaku sudah menggunakan baki wang yang dibayar pelajar untuk membeli buku-buku dan mencetak kertas-kertas latihan tambahan bagi para pelajar," kata Cik Lim.

"Apabila kami bertanya Maslinda jika resit-resit masih disimpan, dia berkata semua pembelian dilakukan melalui pembelian telefon, dan dia sudah membuang semua invois dan resit pada awal tahun berkenaan."

Itu bagi tahun 2016 - Maslinda menjelaskan bahawa dia belum lagi membeli sebarang buku atau kertas latihan tambahan bagi 2017, dan baki wang yang dikumpulkan bagi tahun 2017 disimpan dalam satu kotak di meja kerjanya.

Mereka kemudian memeriksa meja kerja Maslinda dan menemui wang tunai bernilai sekitar S$5,330 dalam kotak tersebut, iaitu baki wang yang dikumpul daripada para pelajar bagi tahun 2017.

Cik Lim turut menemui barang-barang berikut dalam beg tangan Maslinda: Wang tunai bernilai sekitar S$4,500 dalam dompetnya, wang tunai S$6,085 dalam sampul surat yang ditandakan 'Woodgrove Secondary School' dan wang baki sebanyak S$870 yang disimpan dalam beg tersebut.

Wang sebanyak S$6,085 merupakan bonus kelakonannya, kata Maslinda, sementara S$870 dari elaun S$1,000 yang diberikan suaminya.

Para penyiasat MOE turut menemui wang tunai S$630 dalam satu lagi sampul surat yang diselitkan dalam satu fail, di mana senarai nama pelajar disimpan.

Peguam bela Maslinda Singa Retnam dalam pemeriksaan balasnya terhadap Cik Lim bertanya sekiranya Maslinda jujur dalam keterangannya tetapi beliau "enggan menerima sebarang penjelasan yang diberikan Maslinda" kepadanya.

Kes akan disebut semula pada 21 Dis.  

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita