Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru tuisyen mengaku bersalah lakukan kesalahan seksual pada 2 budak lelaki bawah umur

Pihak pendakwa usul hukuman lebih berat ke atas Chock Soon Seng, 43 tahun, yang merupakan pesalah berulang.

Anggaran Waktu Membaca:
Guru tuisyen mengaku bersalah lakukan kesalahan seksual pada 2 budak lelaki bawah umur

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 15 Mar 2021 02:58PM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 03:02PM

SINGAPURA: Seorang guru tuisyen yang mencari lelaki lain melalui aplikasi media sosial untuk melakukan kegiatan seksual sebaliknya menjadikan kanak-kanak bawah umur sebagai mangsanya.

Ini selepas dia mengenali seorang budak lelaki berusia 13 tahun melalui Grindr dan memujuk seorang budak lelaki lain berusia 15 tahun untuk "bereksperimen" dengannya.

Chock Soon Seng, 43, mengaku bersalah pada Isnin (15 Mac) atas empat tuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur. Lagi 14 tuduhan, termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak atau budak bawah umur, turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Chock adalah guru tuisyen bebas yang mengajar bahasa Mandarin kepada murid Darjah 5 hingga pelajar Menengah 4 pada ketika itu.

Chock mula menggunakan aplikasi media sosial seperti Grindr dan Locanto pada 2016 untuk berkenalan dengan lelaki lain untuk melakukan aktiviti seksual.

Pada April 2018, Chock berkenalan dengan mangsa pertama, seorang budak lelaki berusia 13 tahun melalui Grindr. Mangsa memberitahu Chock bahawa dia adalah murid Darjah 6 dan Chock meminta untuk bertemunya bagi melakukan aktiviti seksual.

Setelah pertemuan pertama pada 15 Apr 2018, Chock meyakinkan pelajar itu untuk bertemu dengannya pada 17 Apr. Mereka mengadakan hubungan seks di sebuah tandas di Kelab Masyarakat Punggol semasa budak itu masih berpakaian seragam sekolah.

Pelajar itu menjadi tidak puas hati dengan Chock dan memutuskan hubungan kerana tertuduh meminta kertas peperiksaan subjek Bahasa Mandarin Lanjutan pelajar itu.

MANGSA KEDUA SEDANG "MENCARI WANITA"

Chock mula mencari mangsa kedua, remaja lelaki berusia 15 tahun, yang memuat naik iklan di Locanto untuk berkenalan dengan wanita. Chock membalas iklannya, dan mereka mula berhubung menerusi SMS, tetapi budak itu mengatakan bahawa dia tidak berminat untuk mengadakan hubungan seks sesama jenis.

Chock memujuknya untuk 'bereksperimen' dan juga menawarkan remaja itu wang tunai, dan dia juga tidak cuba untuk mengesahkan usia remaja itu.

Setelah dipujuk berkali-kali, budak lelaki itu bersetuju untuk bertemu. Chock pergi ke rumahnya pada 23 April 2018, di mana Chock mengadakan hubungan seks dengan budak lelaki itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Chong Yong.

Chock bertemu dengan remaja itu buat kali kedua di mana dia menyuruh remaja itu melakukan aksi seksual ke atasnya.

Dia sekali lagi memberikan wang tunai kepada remaja itu.

IBU MANGSA PERTAMA BONGKAR KESALAHAN

Kesalahan itu terbongkar apabila ibu mangsa pertama menemui perbualan berkaitan seks di telefon anaknya. Ketika dia menghubungi sekolah anaknya untuk meminta pertolongan, pihak sekolah menasihatinya supaya membuat aduan polis.

Siasatan kemudian mendapati kesalahan terhadap kedua-dua mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Chin Jincheng memberitahu mahkamah bahawa Chock sebelum ini pernah melanggar undang-undang. Dia dihukum pada 2010 kerana melakukan perbuatan lucah atau tidak senonoh dengan budak kecil atau budak bawah umur, dan pada 2014 mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur, antara lainnya.

Encik Chin meminta laporan latihan pemulihan untuk Chock, dengan menekankan bahawa dia didapati berisiko sederhana hingga tinggi untuk mengulangi kesalahan dan "tidak menunjukkan kekesalan" atas tindakan tersebut.

Hakim meminta laporan latihan pemulihan dan laporan penahanan pencegahan dan menangguhkan hukuman sehingga bulan depan.

Latihan pemulihan adalah rejim berasingan daripada hukuman penjara, yang biasanya dikenakan ke atas pesalah berulang hingga tempoh 14 tahun, tanpa pembebasan awal.

Penahanan pencegahan pula lebih tegas daripada latihan pemulihan. Ia meletakkan pesalah bentan antara tujuh hingga 20 tahun untuk melindungi orang awam dari pesalah, tanpa sebarang pengampunan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan