Guru tuisyen mengaku bersalah cabul murid 15 tahun
Seorang guru tuisyen pada Isnin (17 Jun) mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis 15 tahun yang menghadiri kelas matematiknya.

(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang guru tuisyen pada Isnin (17 Jun) mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis 15 tahun yang menghadiri kelas matematiknya.
Warga Indonesia 48 tahun itu yang juga merupakan seorang penduduk tetap Singapura, tidak boleh didedahkan namanya atas arahan mahkamah.
Mahkamah diberitahu bahawa duda itu mengajar murid sekolah menengah secara berkumpulan tiga kali seminggu di rumahnya.
Dalam beberapa kejadian, dia menyuruh mangsa yang ketika itu berada di Menengah 3 untuk pulang lewat atas
atas alasan ingin mangsa selesaikan kerja sekolah.
Dia mencabul mangsa sekurang-kurangnya lima kali selepas murid-murid lain sudah pulang, antara Februari hingga Mac tahun lalu.
Semasa kejadian pertama pada Februari, selepas kelas berakhir pada 9.00 malam, guru tuisyen itu meminta mangsa pulang lewat untuk menghabiskan kerja sekolah.
Apabila berseorangan dengan gadis itu, pesalah memasukkan tangannya ke dalam baju mangsa dan mencabulnya.
Dia mengulangi perbuatannya itu sehingga Mac.
"Selepas dicabul, mangsa rasa dirinya diselubungi perasaan tidak selesa, terkejut dan tergamam akibat tindakan tertuduh," kata Timbalan Pendakwa Raya Delicia Tan.
"(Mangsa) tidak memberitahu sesiapa kerana takut bersuara dan tidak tahu bagaimana untuk bertindak."
Dua hari selepas kejadian pada Mac, gadis itu memberitahu seorang rakan lelaki.
Temannya yang berusia 17 tahun itu kemudian memberitahu pihak sekolah yang kemudiannya memaklumkan ibu mangsa.
Ibu gadis itu membawanya ke balai polis untuk membuat aduan.
Guru tuisyen tersebut mengaku bersalah pada Isnin ke atas tiga tuduhan menggunakan kekerasan atas tujuan mencabul kehormatan. Dua lagi tuduhan diambil kira dalam menjatuhi hukuman.
Pihak pendakwa memohon hukuman 25 bulan penjara dan dua kali sebatan bagi setiap tuduhan, dengan menekankan kesalahan "berulang dalam beberapa kejadian berasingan".
Peguam bela Chua Eng Hui memohon agar satu kali sebatan dikenakan bagi setiap tuduhan atas dasar anak guamnya berasa kesal dan mengaku bersalah sejak awal.
Hakim Daerah Hamidah Ibrahim mengarahkan agar laporan mengenai keadaan mangsa dikeluarkan sebelum hukuman dijatuhkan bulan depan. Laporan tersebut menjelaskan kesan psikologi atau psikiatri yang dialami mangsa akibat kesalahan yang berlaku.
Atas kesalahan menggunakan kekerasan terhadap remaja itu untuk mencabul kehormatannya, guru tuisyen tersebut boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau gabungan daripada ketiga-tiga hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.