Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru tuisyen dipenjara 6 minggu kerana cabul pelajar semasa kelas

Yew Yap Hon, 39 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan, dengan pertuduhan ketiga yang serupa diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Guru tuisyen dipenjara 6 minggu kerana cabul pelajar semasa kelas

(Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 20 Nov 2024 04:34PM Dikemas Kini : 20 Nov 2024 04:35PM
SINGAPURA: Seorang guru tuisyen berusia 39 tahun pada Rabu (20 Nov) dihukum penjara selama enam minggu dan didenda S$5,000 kerana mencabul seorang pelajar semasa belajar di rumahnya.

Yew Yap Hon mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan, dengan pertuduhan ketiga yang serupa diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Mangsa, yang identitinya dilindungi di bawah perintah mahkamah, berusia 18 tahun dan telah mengikuti kelas tuisyen Yew selama beberapa bulan ketika kejadian itu pada 7 Okt 2023.

Mahkamah diberitahu bahawa Yew telah mencadangkan kepada remaja itu untuk datang ke rumahnya dengan alasan rumah remaja itu terlalu bising dan tidak sesuai untuk belajar.

Pada hari kejadian itu, Yew telah bertanya kepada pelajar berkenaan sama ada dia boleh pulang lewat atau bermalam di rumanya. Remaja itu menjawab bahawa dia boleh pulang lewat.

Kelas tuisyen mereka bermula pada pukul 7.20 malam, dengan Yew pada mulanya duduk bertentangan dengan pelajar itu. Tetapi hampir tengah malam, lelaki itu bertanya sama ada dia boleh duduk lebih dekat dengan remaja tersebut. Apabila remaja itu bersetuju, lelaki tersebut beralih ke sebelahnya.

Yew kemudian mencabul mangsa dengan menyentuh punggungnya. Yew juga memegang bahunya.

Remaja itu memberitahu Yew dia tidak selesa dengan tindakan lelaki itu.

Yew kemudian meminta maaf kepada mangsa. Bagaimanapun, semasa dia berbuat demikian, Yew mencabulnya sekali lagi dengan menggosok belakangnya. Dia juga berkata dalam bahasa Mandarin bahawa dia "tidak boleh tahan lagi".

Pelajar itu tidak berani untuk bersemuka dengan Yew di rumahnya, dan bertindak seolah-olah semuanya baik-baik saja. Dia kemudian menghubungi bapa saudaranya untuk menjemputnya pulang dan menunggunya di pintu pagar utama kondominium itu.

Semasa menjatuhkan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya Yap Jia Jun berhujah bahawa mungkin terdapat unsur niat kerana Yew telah mencadangkan supaya mengadakan kelas tuisyen di rumahnya.

Hukuman kerana mencabul kehormatan seseorang ialah hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, atau dirotan, atau mana-mana gabungan hukuman itu.
 
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan