Skip to main content

Singapura

Guru tuisyen Berries, pekerja PSA Corp antara 10 kes baru COVID-19 di S'pura

Seorang guru tuisyen di Berries World of Learning School dan seorang kakitangan PSA Corp adalah antara 10 jangkitan baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Guru tuisyen Berries, pekerja PSA Corp antara 10 kes baru COVID-19 di S'pura

Orang ramai memakai pelitup di pusat makanan di Marine Parade. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 12:27AM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 12:30AM

SINGAPURA: Seorang guru tuisyen di Berries World of Learning School dan seorang kakitangan PSA Corp adalah antara 10 jangkitan baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis (25 Feb).

Mereka adalah dua kes baru dalam masyarakat yang dilaporkan di Singapura pada Khamis. Lagi lapan kes adalah jangkitan import dan telah dikenakan notis jangan keluar rumah setibanya di sini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja asing.

KAKITANGAN PSA CORP SUDAH TERIMA VAKSIN

Pekerja PSA tersebut telah menerima kedua-dua dos vaksinasi COVID-19 - pada 22 Januari dan 14 Februari - dan kemungkinan dijangkiti sebelum beliau dilindungi sepenuhnya oleh vaksin itu, jelas MOH.

Warga Malaysia berusia 33 tahun itu tiba di Singapura pada 23 Disember tahun lalu dan dikenakan notis jangan keluar rumah di kemudahan khas hingga 6 Januari. Ujian swab yang dijalaninya pada 3 Januari kembali negatif.

Lelaki itu, seorang pemegang permit kerja, bertugas di PSA Corporation sebagai pakar pengikat.

Beliau tidak menunjukkan gejala dan dikesan semasa menjalani ujian rutin berjadual pada 21 Februari. Keputusan ujian berkumpulan kembali positif pada hari berikutnya.

Ujian individu dilakukan pada 23 Februari dan beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 24 Februari.

Beliau kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dengan menaiki ambulans.

Hasil ujian serologinya kembali positif namun MOH menilai bahawa ini mungkin merupakan jangkitan sedia ada.

GURU TUISYEN BERRIES

Satu lagi kes dalam masyarakat, seorang guru tuisyen di cawangan Yishun Berries World of Learning School, mengalami hidung berair pada 23 Februari selepas kerja, kata MOH.

Penduduk tetap Singapura berusia 27 tahun itu mendapatkan rawatan perubatan di klinik perubatan umum pada hari berikutnya, dan beliau diuji untuk COVID-19.

Ujiannya kembali positif COVID-19 pada 25 Februari dan beliau dibawa oleh ambulans ke Hospital Besar Singapura.

Keputusan ujian serologinya belum diketahui.

Cawangan Berries di Yishun itu akan ditutup sehingga 28 Februari untuk pembersihan dan pembasmian kuman "sebagai langkah berjaga-jaga", kata MOH.

24 LAGI KES PULIH

Lagi 24 kes COVID-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, kata MOH. Seramai 59,785 kes telah pulih sepenuhnya dari jangkitan.

Kini terdapat 16 pesakit yang masih berada di hospital, yang kebanyakannya stabil atau bertambah baik, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Seramai 70 lagi kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Sehingga Khamis, Singapura telah melaporkan 59,900 kes COVID-19.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita