Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru AS terkandas di SG dek COVID-19 beri surat insurans palsu untuk jalani pembedahan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang guru warga Amerika Syarikat (AS) yang tidak dapat pulang ke tanah airnya untuk mendapatkan rawatan perubatan biasa akibat pandemik COVID-19 memalsukan surat insurans dan memperdayakan sebuah hospital untuk melakukan prosedur pembedahan bernilai hampir S$20,000 terhadapnya.

Vericker Michael Gunderson, 43 tahun, dijatuhkan hukuman penjara satu tahun pada Rabu (7 Dis). Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan menipu dan memalsukan dokumen. Tuduhan keempat turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Menurut peguam belanya, John Koh dari Populus Law, Vericker adalah seorang guru bidang pendidikan berkeperluan khas yang berpangkalan di Singapura dan mengajar di beberapa sekolah antarabangsa.

Dia memegang Pas Pekerjaan dan bekerja di Singapura selama hampir lima tahun sebelum melakukan kesalahan tersebut.

Pada 2006, Vericker terlibat dalam kemalangan dan patah tulang belakangnya. Dia menjalani pembedahan namun masih mengalami sakit belakang yang serius.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, Vericker akan pulang ke Amerika Syarikat secara kerap untuk mendapatkan rawatan dan ubat daripada doktor.

Namun disebabkan sekatan perjalanan semasa pandemik, dia tidak boleh berbuat demikian, kata peguam belanya.

Pada Disember 2020, Vericker meminta untuk menjalani pembedahan harian di Hospital Mount Alvernia, menurut dokumen mahkamah.

Dia memberitahu pentadbir hospital bahawa dia akan menyediakan Surat Jaminan daripada syarikat insuransnya, AXA Insurance. Dia juga memberikan butiran kad kreditnya. Disebabkan itu, hospital berkenaan tidak mendapatkan wang deposit daripada Vericker.

Sementara menunggu pembedahan itu, Vericker memalsukan Surat Jaminan AXA menggunakan telefon bimbitnya.

Dia melampirkan logo AXA dengan gambar daripada Google di atas surat itu dan mencatatkan bahawa AXA akan menjamin pembayaran untuk perkhidmatan perubatan yang diberikan dalam jumlah sehingga S$30,000.

Mount Alvernia kemudiannya menyerahkan bil perubatan sebanyak S$20,892.72 kepada AXA, bersama dengan surat palsu itu. AXA kemudian memaklumkan hospital berkenaan bahawa surat itu palsu dan hospital berkenaan membuat laporan polis pada Januari 2021.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan