Guru tari dihukum penjara hampir 4 tahun, rotan kerana cabul dua murid lelaki

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Seorang bekas guru tarian Melayu tradisional dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan 10 bulan serta enam sebatan pada Khamis (27 Jan) kerana mencabul dua budak lelaki di bawah jagaannya.
Lelaki 42 tahun itu mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan mencabul kehormatan, dengan dua lagi tuduhan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Arahan mahkamah dikeluarkan bagi melindungi identiti mangsa, yang merupakan murid sekolah rendah ketika kesalahan itu pada 2016 bagi mangsa pertama dan 2019 bagi kedua.
Kedua-dua murid itu merasakan tindakan tertuduh tidak wajar. Namun, mereka tidak pasti bagaimana untuk menceritakan situasi mereka bersama orang dewasa. Salah seorang mangsa membuat laporan polis beberapa tahun kemudian selepas menghadiri kelas pendidikan seksual.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pertama merupakan murid darjah 4 yang menyertai aktiviti kokurikulum (CCA) tarian Melayu ketika kesalahan itu berlaku pada 2016. Tertuduh merupakan guru tari mangsa ketika itu.
Semasa membetulkan pakaian tarian mangsa sebelum membuat persembahan, tertuduh tiba-tiba menyentuh bahagian sulit mangsa.
Mangsa tidak melawan kerana terkejut dan ketakutan dengan kelakuan tertuduh.
Selepas persembahan, murid berkumpul di dalam bilik tarian bersama tertuduh dan dua lagi guru. Pada masa itu, mangsa yang duduk di belakang kumpulan tersebut mengenakan kemeja-T dan seluar pendek sekolah.
Tertuduh duduk di belakang budak tersebut dan secara tiba-tiba memeluk mangsa di bahagian pinggang dan mencabulnya selama 20 saat. Mangsa sekali lagi terkejut dan terpaku ketakutan.
Mangsa tidak tahu bagaimana untuk menceritakan hal itu kepada orang dewasa sehingga dia menghadiri kelas pendidikan seksual pada Ogos 2020. Dia kemudian memberitahu kejadian itu kepada guru dan ibunya, laporan polis dibuat sejurus kemudian.
Pada November 2019, seorang lagi murid darjah 4 di sekolah lain menjadi mangsanya.
Dalam insiden pertama, lelaki itu mencabul budak lelaki tersebut di tandas semasa dia sedang menyalin pakaian selepas satu persembahan. Tertuduh menarik seluar pendek mangsa dan mencabulnya selama lima minit.
Beberapa bulan kemudian pada Februari 2020, tertuduh mencabul mangsa sekali lagi selama 20 minit di belakang bas yang disewa sewaktu dalam perjalanan ke sebuah tempat persembahan.
Pada Ogos tahun yang sama, mangsa mengikuti kelas pendidikan seksual dan memberitahu guru tetang kejadian tersebut.
Pada Khamis (27 Jan), Timbalan Pendakwa Raya,Chong Ee Hsiun berkata tindakan lelaki itu melibatkan tahap eksploitasi seksual yang tinggi. Kesalahan terbabit melibatkan sentuhan pada bahagian sulit mangsa.
Menurutnya kelakuan tertuduh sudah dirancang dan dia sengaja duduk dekat dengan mengikuti mangsa ke tandas. Tertuduh juga menyuruh mangsa kedua duduk di bahagian belakang bas sebelum mencabulnya.
DPP Chong juga menarik perhatian tindakan tertuduh jelas tidak menghormati dan takut pada undang-undang kerana beberapa insiden berlaku dengan kehadiran murid dan guru lain.
Hakim Daerah, Ng Peng Hong menjatuhkan hukuman penjara 20 hingga 26 bulan dan dua sebatan bagi setiap tiga tuduhan. Dua daripada hukuman itu akan dijalankan serentak dengan itu dia akan menjalani hukuman penjara tiga tahun dan 10 bulan penjara serta enam sebatan.
Seseorang yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, dirotan atau diberi mana-mana gabungan tiga hukuman tersebut.
Sabit kesalahan terhadap mangsa berumur di bawah 14 tahun membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan ketiga-tiga hukuman itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.