Guru SPED berharap gaji disemak susuli kenaikan gaji guru MOE

(Gambar: iStock/arrowsmith2)
SINGAPURA: Sesetengah guru di Sekolah Pendidikan Khas (SPED) berharap gaji mereka akan disemak semula menyusuli pengumuman kenaikan gaji bagi para guru yang diambil bekerja oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Kenaikan gaji yang diumumkan pada Selasa (16 Ogos) itu akan memanfaatkan sekitar 35,000 pegawai pendidikan, 1,600 pendidik bersekutu dan 800 guru tadika MOE.
Tidak seperti guru-guru di sekolah arus utama, para guru di sekolah-sekolah SPED tidak diambil bekerja secara langsung oleh MOE. Sungguhpun demikian, sebilangan guru kadangkala dipinjamkan dari MOE ke sekolah-sekolah sedemikian.
Para guru SPED yang tidak diambil bekerja atau dipinjamkan oleh MOE tidak akan meraih manfaat daripada kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini, kata Encik Andy Lim, Setiausaha Agung bagi Kesatuan Pekerja Buruh Kasar dan Barang Dagangan Singapura (SMMWU) yang mewakili guru-guru di sekolah SPED.
Semasa mengumumkan kenaikan gaji itu, MOE menyatakan bahawa kenaikan sebanyak lima hingga 10 peratus itu adalah untuk memastikan pakej gaji secara keseluruhannya kekal berdaya saing dan supaya MOE dapat terus memikat dan mengekalkan para pendidik yang baik.
Gaji para guru dan pendidik bersekutu seperti kaunselor dan pegawai kebajikan pelajar kali terakhir disemak pada 2015.
"Walaupun kami juga adalah guru dan pendidik, kami tidak tertakluk di bawah MOE. Justeru, semua manfaat yang diraih oleh para guru di bawah MOE, kami tidak akan menerimanya," kata Encik Joseph, seorang guru yang sudah mengajar di sebuah sekolah SPED selama lebih lima tahun.
Nama para guru yang diwawancara oleh Mediacorp sudah diubah atas permintaan mereka kerana mereka tidak dibenarkan untuk bercakap dengan pihak media.
Walaupun terdapat beberapa semakan gaji bagi para guru SPED di seluruh negara, Encik Joseph belum lagi meraih manfaat daripada semakan-semakan tersebut kerana gajinya berada dalam julat yang disarankan untuk guru yang mempunyai pengalaman yang sama, katanya.
Guru-guru SPED yang ditemui Mediacorp berkata gaji mereka lebih rendah berbanding guru sekolah arus utama. Malah, terdapat juga perbezaan gaji bagi guru yang memiliki dan tidak mempunyai diploma dalam pendidikan khas dari Institut Pendidikan Nasional (NIE).
"Sebab utama yang sebilangan besar kami tidak berpuas hati dengan gaji adalah kami berasa ia tidak adil.
"Saya rasa di sekolah SPED dan di sekolah arus utama, beban kerja yang kami lakukan berbeza. Tetapi ia tidak bermakna kami melakukan lebih sedikit atau kami melakukan lebih banyak daripada mereka ," kata Encik Joseph kepada Mediacorp.
Apabila mendapat tahu mengenai kenaikan gaji bagi guru-guru MOE, seorang lagi guru SPED Cik Patricia menantikan pengumuman ketua-ketua sekolahnya untuk mengesahkan sama ada mereka akan menjadi sebahagian daripada langkah berkenaan. Apabila mereka berdiam sahaja, Cik Patricia menerima hakikat bahawa beliau tidak akan mendapat kenaikan gaji.
"Mengapa kami dilayan sebegini? Bukankah kami guru? Sekalipun kami bukan di bawah MOE, kami tetap gurua, jadi mengapa gaji kami tidak dinaikkan?
"Saya berharap gaji saya akan disemak semula, dan semoga semakan itu ketara, setimpal dengan tanggungjawab tugas kami. Saya rasa ia harus adil berdasarkan tugas yang kami lakukan," kata Cik Patricia.
"Pertama sekali, kanak-kanak yang kami didik adalah kanak-kanak yang tidak akan diuruskan oleh para guru sekolah arus utama. Maka itu, mengapa kami dibayar gaji lebih rendah kerana melakukan tugas-tugas yang mereka tidak boleh lakukan?" tanya Encik Joseph.
Apabila ditanya mengenai usaha untuk mengekalkan guru SPED, AP Denise Phua (PAP-Jalan Besar) menekankan bahawa memastikan gaji berdaya saing bagi skop kerja akan membantu untuk mengekalkan tenaga kerja.
Cik Phua adalah pengasas bersama Pathlight, sebuah sekolah SPED dan beliau menganggotai Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pendidikan.
"Turut penting adalah erti pekerjaan, persekitaran kerja, manfaat pekerja dan peluang untuk menjalani latihan serta pembangunan," kata Cik Phua kepada Mediacorp.
"Sebarang semakan pada pampasan dan manfaat bagi guru-guru sekolah arus utama hendaklah dibuat dengan sistem SPED dan prasekolah. Di sekolah-sekolah SPED, rakan-rakan pendidikan yang penting seperti pakar terapi dan karyawan lain seharusnya disertakan dalam mana-mana semakan juga."
Sekolah-sekolah SPED dibiayai oleh MOE, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bergantung kepada program masing-masing, ujar Encik Lim.
"Terdapat kes-kes di mana sebilangan guru di sekolah SPED diambil bekerja atau dipinjamkan oleh MOE dan guru-guru ini akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji seperti yang diumumkan MOE baru-baru ini," katanya kepada Mediacorp.
"Kami mengikut kebanyakan garis panduan MOE, jadi kami juga harus membentuk sebahagian daripada kenaikan gaji itu," kata Cik Rachel, seorang lagi pendidik di SPED.
"Itulah yang saya rasa kerana ia sangat penting untuk menarik dan juga mengekalkan guru setelah anda melatih mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.