Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru prasekolah kongsi proses pengambilan guru baharu dan cabaran di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Insiden penderaan di dua prasekolah Kinderland sehingga dua gurunya diberkas minggu ini, menimbulkan keprihatinan bagaimana guru-guru prasekolah digajikan dan proses saringan dijalankan.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), yang menyelia sektor prasekolah di Singapura, menyatakan secara purata, ia menerima 10 "kes penderaan kanak-kanak yang mempunyai bukti" bagi setiap 100,000 kanak-kanak yang didaftarkan dari 2019 hingga 2022.

Hampir 190,000 bayi dan kanak-kanak didaftarkan di prasekolah Singapura tahun lalu, tidak termasuk tadika yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Kakitangan dan pengendali dalam kes-kes tersebut diberi amaran, didenda, atau kedua-duanya, dedah ECDA.

Seorang pengetua yang sudah bersara, Lynna Leow, tidak pernah berdepan kes sedemikian. Namun, beliau bersetuju ia mungkin sukar untuk menentukan sama ada seseorang guru mempunyai pengalaman dan "semangat mendidik kanak-kanak" yang diperlukan.

Selain menimbangkan kelayakan akademik, Cik Leow berkata beliau akan mengemukakan senario hipotetikal semasa sesi temu duga. Salah satu soalannya adalah bagaimana calon tersebut akan menangani murid yang sering mengganggu rakan-rakannya yang lain di dalam kelas.

Namun, Cik Leow mengaku terdapat had kepada proses saringan itu, dan akhirnya, pengetua harus tahu bagaimana kanak-kanak dilayani di sekolah.

BAGAIMANA SEKOLAH MENGGAJIKAN GURU

Pengendali prasekolah harus mendapatkan pengesahan ECDA sebelum menggajikan seseorang pendidik, yang akan memeriksa jika pemohon memiliki kelayakan yang diperlukan. Para pemohon juga harus mengisytiharkan bahawa mereka tidak pernah melakukan sebarang jenayah, menerima amaran dari polis atau ECDA, atau di bawah siasatan polis.

Beberapa prasekolah melaksanakan saringan tambahan ke atas pemohon, selain daripada garis panduan ECDA.

Pusat Jagaan Star Learners, yang mengendalikan 43 pusat jagaan di Singapura, menyatakan ia melakukan temu duga melalui panggilan telefon untuk memastikan kelayakan dan kesesuaian calon.

Pemerikasaan latar belakang untuk mengesahkan maklumat calon dilakukan jika perlu.

Calon yang sesuai akan dirujuk kepada pengetua pusat jagaan untuk temu duga rasmi, kata Audrey Chen, ketua sumber manusia Star Learners.

Seorang guru Inggeris di Prasekolah E-Brigade berkata, beberapa prasekolah privet tidak mendaftar murid-murid melalui portal ECDA.

Ia dilakukan untuk "menyembunyikan" pendaftaran dari ECDA supaya ia kelihatan seperti sekolah tersebut memenuhi nisbah kakitangan berbanding kanak-kanak bagi kumpulan umur tersebut. Ia juga mengurangkan kerja-kerja pentadbiran untuk sekolah itu.

Nisbah antara kakitangan dengan kanak-kanak adalah 1:8 untuk kumpulan bayi, iaitu untuk mereka yang berusia antara 18 bulan sehingga tiga tahun.

Nisbah itu naik kepada 1:12 bagi kanak-kanak berusia tiga tahun di peringkat prataska. Bagi setiap tahun berikutannya untuk taska dan tadika sehingga kanak-kanak berusia enam tahun, nisbahnya naik dari 1:15, kemudian 1:20, dan akhirnya 1:25.

BAGAIMANA GURU DISIPLIN KANAK-KANAK

ECDA menyatakan pengetua dijangka akan menjalankan pemeriksaan terhadap interaksi kakitangan dan murid-murid, serta memberi maklum balas kepada pendidik dan cara mereka melayani kanak-kanak. Untuk memeriksa jika sesebuah prasekolah mematuhi peraturan ECDA, agensi itu melakukan lawatan mengejut.


Cik Chen dari Star Learners berkata pendidik baharunya dimaklumkan tentang prosedur operasi standard, yang merangkumi bimbingan kanak-kanak dan pengurusan tingkah laku.

Guru dari E-Brigade tersebut berkata beliau pernah menyaksikan kaedah disiplin yang tidak sesuai ketika menjalani latihan amali di prasekolah lain.

Dia juga sering melihat guru lain "mengugut" kanak-kanak yang tidak dapat dikawal, seperti memberi amaran kepada kanak-kanak tersebut bahawa mereka akan dihantar ke kelas lain.

"Ia bukan penderaan fizikal di mana anda boleh menyaksikannya secara jelas, namun ... melalui kata-kata, saya rasa kanak-kanak tersebut diancam dari segi emosi," katanya.

Seorang bekas guru Inggeris di PraSekolah MindChamps, yang tidak mahu mendedahkan identitinya, berkata bahawa terdapat "buku panduan sekolah" namun "tiada peraturan jelas" untuk diikuti ketika mendisiplinkan murid-murid.

Meskipun guru tidak mendisiplinkan murid-murid secara fizikal, kaedah menjerit "adalah perkara biasa" kata guru berusia 32 tahun itu, yang mengajar kanak-kanak di peringkat bayi dan taska.


Seorang lagi bekas guru yang berpengalaman selama 15 tahun sebelum bersara tahun ini, berkata prasekolahnya mempunyai garis panduan. Sebagai contoh, guru tidak dibenarkan meninggikan suara, menyentuh atau memukul kanak-kanak ketika mendisiplinkan mereka.

Guru itu yang tidak mahu nama, usia dan prasekolahnya didedahkan, berkata bahawa hukuman adalah perkara penting bagi kanak-kanak lebih tua. Namun, daripada bertindak fizikal,
ia dilaksanakan dengan mengenakan hukuman berdasarkan tingkah laku mereka, seperti mengambil waktu bermain mereka selama sejam, katanya.

WAKTU DAN BEBAN KERJA YANG PADAT

Guru-guru prasekolah menjelaskan bagaimana waktu kerja yang panjang dan beban kerja yang berat menjejas mereka. Ia tidak termasuk pelajaran, namun persiapan dan kerja-kerja pentadbiran tidak dilihat ramai.

Guru prasekolah yang sudah bersara itu mengatakan bahawa isu kakitangan sudah bertambah baik berbanding masa lalu. Nisbah 10 tahun dahulu adalah dua guru kepada hampir 30 murid taska.

Selain rutin harian buat kanak-kanak seperti pelajaran, waktu makan, mandi dan rehat, guru juga harus mengurus dan memaklumkan keadaan kanak-kanak kepada ibu bapa.

Mereka juga harus memenuhi rekod prestasi utama, menulis laporan kelas, merancang kurikulum dan jadual kelas, selain tugas-tugas lain.

ECDA menyatakan ia sedia maklum bahawa ramai pendidik menyertai sektor tersebut dengan minat untuk mendidik kanak-kanak dan bekerja keras untuk memberi kesan positif dalam kehidupan mereka.

"ECDA sudah menyediakan langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan kerja guru pendidikan awal kanak-kanak dan akan terus melakukan demikian ... Kami menggesa ibu bapa untuk terus menyokong pendidik kami, sedang mereka bertungkus lumus menjaga dan mendidik anak-anak mereka", kata seorang jurucakap

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan