Guru prasekolah dipenjara kerana sengaja sebabkan kanak-kanak berulang kali tersungkur
Seorang bekas guru prasekolah yang berulang kali menyebabkan seorang kanak-kanak tersungkur di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dihukum penjara sembilan bulan dua minggu pada Isnin (28 Jul).
Saiidah Kamarudin, guru prasekolah berusia 34 tahun yang mencederakan seorang kanak-kanak dengan melunjurkan kakinya, tiba di Mahkamah Negara pada 16 Jun 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Saiidah Kamarudin, 34 tahun, sebelum ini mengaku bersalah atas satu daripada dua tuduhan mendera kanak-kanak itu, yang mengalami lebam pada muka dan keadaan hidung berdarah.
Satu lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.
Nama mangsa dan pusat jagaan kanak-kanak itu tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti kanak-kanak perempuan itu.
Saiidah mula bekerja di pusat jagaan kanak-kanak itu lewat September 2023, namun menyerahkan surat peletakan jawatan pada bulan seterusnya.
Dia bekerja di pusat jagaan kanak-kanak itu sehingga pertengahan November.
Pada hari kejadian itu yang berlaku pada November, Saiidah membawa kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan itu ke tandas pada kira-kira waktu tengah hari untuk membersihkannya.
Sedang kanak-kanak itu berdiri di hadapannya, Saiidah yang sedang duduk, melunjurkan kakinya lalu menyebabkan kanak-kanak itu tersandung.
Selepas itu, Saiidah menyilang kakinya semula lalu menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh ke lantai.
Dia kemudian membantu kanak-kanak itu berdiri sebelum mengelap mukanya dengan tisu.
Sedang kedua-duanya berjalan keluar dari kawasan tandas, Saiidah mengulangi perbuatannya itu sebanyak dua kali dan menyebabkan kanak-kanak itu tersungkur.
Perbuatan Saiidah dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup (CCTV).
Rakaman video itu dimainkan di mahkamah.
HUJAH PENGHAKIMAN
Pihak pendakwa menggesa mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara 15 dengan 16 bulan ke atas Saiidah.
Timbalan Pendakwa Raya Cheah Wenjie berkata kes itu mewakili "kes pecah amanah yang membimbangkan oleh seorang kakitangan jagaan kanak-kanak yang dengan sengaja dan berulang kali menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 20 bulan tersungkur ketika dalam jagaannya".
"Perbuatan keganasan sedemikian terhadap seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdaya yang diamanahkan untuk dijaga oleh tertuduh menjejas keyakinan orang awam dalam sektor penjagaan awal kanak-kanak di Singapura," kata Encik Cheah.
Sementara itu peguam Saiidah, Deepak Natverlal dari Crown Juris Law berhujah bahawa hukuman penjara tidak wajar bagi kesnya.
Beliau sebaliknya memohon denda maksimum S$8,000 dan supaya pihak mahkamah membenarkan perintah bon berkelakuan baik untuk anak guamnya.
Sebagai pilihan alternatif, Encik Natverlal berhujah bagi tempoh hukuman penjara tidak lebih daripada tiga bulan, dan denda S$5,000.
Ini kerana beliau berkata Saiidah, seorang ibu kepada dua orang anak, mula bekerja di pusat jagaan kanak-kanak itu dengan hasrat memasukkan anak-anaknya ke sekolah itu.
Namun dia kemudian mendapati kurikulum pusat jagaan kanak-kanak itu tidak sesuai dan menyerahkan surat peletakan jawatan.
Encik Natverlal turut membentangkan sebab-sebab di sebalik peletakan jawatan anak guamnya, sambil berkata ini "menunjukkan bahawa tertuduh merasakan terdapat beberapa perkara di sekolah itu yang tidak mementingkan kanak-kanak".
Beliau berkata Saiidah cuba mengetengahkan perkara-perkara itu bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak tidak terjejas.
Namun sebaliknya, dia merasakan "agak terkilan" apabila kata-katanya tidak diendahkan.
Atas kesalahan mendera kanak-kanak, iaitu kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, atau didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.