Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru prasekolah bimbang beban kerja meski kenaikan gaji diumumkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kenaikan gaji bagi para guru pendidikan awal kanak-kanak akan membantu dalam menarik lebih ramai orang untuk menyertai sektor itu, tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk mengekalkan para guru, kata mereka yang bekerja di prasekolah.

"Saya rasa kami sudah mendengar banyak kali berita mengenai kenaikan gaji para guru pendidikan awal kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, kami tidak melihat peningkatan dalam gaji kami terutama sekali bagi para guru yang sudah bekerja untuk sekian lama," kata Cik Heather, yang sudah bertugas di sebuah pusat pengendali utama selama dua tahun, kepada Mediacorp.

Pada Sabtu (29 Okt), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli mengumumkan bahawa para guru yang mengajar di prasekolah yang disokong Pemerintah boleh menjangkakan kenaikan gaji bulanan mereka antara 10 peratus hingga 30 peratus dalam dua tahun akan datang.
Guru-guru dengan prestasi yang lebih baik akan menerima kenaikan gaji yang lebih besar.

Dengan kenaikan gaji itu, seorang pendidik di prasekolah pengendali utama boleh menjangkakan gaji bulanan kasar antara S$2,900 dengan S$6,600 menjelang 2024, bergantung kepada pengalaman, kemahiran dan prestasi kerja mereka, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Sementara itu, para graduan baru dan golongan pertengahan kerjaya dengan kelayakan diploma pendidikan awal kanak-kanak yang diluluskan ECDA boleh menjangkakan gaji permulaan sekurang-kurangnya S$2,800 sebulan berbanding sekitar S$2,600 sekarang apabila mereka mengajar di prasekolah-prasekolah pengendali utama pada tahun depan.

Para guru baru juga mungkin tertarik dengan gaji permulaan yang lebih tinggi, menurut para guru prasekolah yang ditemu bual Mediacorop.

"Tetapi dalam jangka panjang, saya fikir kebajikan kakitangan anda juga agak penting," kata Cik Heather.

Nama-nama guru yang ditemu bual, sudah diubah atas permintaan mereka.

Nicole, yang berusia 40-an dan daripada golongan pertengahan kerjaya, memberitahu Mediacorp bahawa dia mungkin akan meninggalkan sektor itu selepas dia selesai menjalani tempoh ikatan dengan prasekolah tersebut.


Selepas meninggalkan pekerjaannya di sektor kewangan selama lebih 20 tahun itu, dia menyertai pusat pengendali utamanya di mana dia bertugas, sekitar satu setengah tahun yang lalu selepas selesai mengikuti kursus diploma awal kanak-kanak.

"Jika saya bandingkan 1.5 tahun saya dengan 20 tahun dalam bidang kewangan, 1.5 tahun ini lebih memenatkan daripada 20 tahun tugas kewangan saya," katanya.

Dari segi kenaikan gaji dan kebajikan para guru, beliau menzahirkan harapan untuk melihat lebih banyak peningkatan dalam masa terdekat.

"Mereka perlu bertindak lebih cepat (untuk mengekalkan guru)," katanya, sambil menambah bahawa guru di pusatnya sentiasa mencari peluang untuk berpindah, meninggalkan pusat itu mahupun meninggalkan industri tersebut sama sekali.

Menurut Encik Masagos pada Sabtu, secara purata gaji para pendidik di prasekolah-prasekolah yang disokong Pemerintah meningkat sekitar 20 peratus antara 2018 dengan 2021, mengatasi pasaran secara amnya.

PRASEKOLAH HARAP PIKAT LEBIH RAMAI GURU

Pengendali utama dan rakan pengendali prasekolah menyatakan kenaikan gaji dan gaji permulaan mungkin memikat lebih ramai orang ke sektor itu.

Menurut pengarah pengendali rakan kongsi Bright Kids School House Keefe Teo, prasekolah tersebut sudah mengambil beberapa individu daripada golongan pertengahan kerjaya, untuk bertugas, terutama sekali selepas tempoh "pemutus rantaian jangkitan" COVID-19 pada 2020.

Struktur gaji yang disemak semula mampu menarik lebih ramai individu daripada golongan pertengahan kerjaya untuk menyertai sektor awal kanak-kanak, kata seorang jurucakap M.Y World Preschool, sebuah pengendali utama.

Kenaikan gaji, serta ulasan prestasi dan bonus untuk guru adalah "sesuatu yang (dilakukan) setiap tahun" di Babilou Family, yang mengendalikan pusat pengendali rakan kongsi Little Footprints Preschool.

Pengendali utama PCF Sparkletots menyatakan bahawa 6,100 pendidiknya akan mendapat manfaat daripada penyesuaian pasaran antara 11 peratus hingga 25 peratus pada 2023 untuk tahap pekerjaan yang berbeza.

Di prasekolah E-Bridge pula, seramai 800 guru pengendali utama itu akan menyaksikan kenaikan gaji dari Januari 2023.

KEBAJIKAN DAN KESEIMBANGAN KERJA-KEHIDUPAN

Guru-guru prasekolah menekankan perlunya untuk meningkatkan sokongan kepada para guru dan memastikan keseimbangan kerja-kehidupan dalam sektor itu bagi mengekalkan kakitangan.

Para guru dari prasekolah yang disokong Pemerintah mahupun privet mendapati mereka bekerja meskipun semasa cuti dan sepanjang waktu rehat di sebelah tengah hari atau selepas mereka pulang.

Mereka turut mengalu-alukan semakan semula bagi pusat-pusat dibuka pada setiap Sabtu.

Perkhidmatan itu biasanya kurang digunakan, dengan hanya beberapa kanak-kanak yang masuk pada hari Sabtu. Pusat-pusat sebegitu biasanya mengatur guru-guru untuk bekerja pada hari Sabtu mengikut syif, yang mana mereka bergilir-gilir untuk bertugas setiap beberapa minggu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan