Guru muda finalis Anugerah Belia Cemerlang Pendidikan manfaatkan aktiviti fizikal bentuk keyakinan pelajar
Guru Pendidikan Jasmani Sekolah Menengah Manjusri, Encik Ahmad Nabil Ahmad Al-Kastalani, antara lima finalis Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2026. Anugerah itu mengiktiraf guru berusia 35 tahun ke bawah atas semangat, kreativiti dan komitmen mereka dalam pembangunan holistik murid. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
SINGAPURA: Anak muridnya datang menyapa tanpa segan.
Ada yang berhenti seketika untuk berbual, ada juga yang berseloroh dengannya.
Beliau pula tidak pernah lokek mengukir senyuman atau membalas setiap sapaan.
Bagi Encik Ahmad Nabil Ahmad Al-Kastalani, hubungan yang akrab dengan murid bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Sebaliknya, ia lahir daripada kepercayaannya bahawa setiap murid wajar diberi perhatian, peluang dan ruang untuk berkembang mengikut kemampuan masing-masing.
Demikian melayakkan guru Pendidikan Jasmani (PE) berusia 32 tahun itu dipilih sebagai antara finalis Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2026, yang mengiktiraf guru berusia 35 tahun ke bawah atas semangat, kreativiti dan komitmen mereka dalam pembangunan holistik murid.
Sejak menamatkan program Diploma Pendidikan Possiswazah (Pendidikan Jasmani dan Sukan) di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2022, Encik Nabil terus memulakan kerjayanya di sekolah pertamanya, Sekolah Menengah Manjusri, sehingga kini.
Berpegang teguh dengan prinsip setiap pelajar boleh mencapai kejayaan, beliau berkata peranan seorang pendidik termasuk membantu setiap murid mencari laluan kejayaan mereka sendiri.
"Walaupun definisi kejayaan ini mungkin berbeza antara pelajar, namun saya rasa sebagai seorang guru, peranan saya adalah untuk menunjukkan hala tuju dan membimbing mereka ke arah yang mereka sendiri tentukan," kata Encik Nabil.
SETIAP MURID WAJAR DIBERI PELUANG
Ini termasuk kegiatan luar bilik darjah seperti kem Outward Bound (OBS).
Bagi golongan murid yang tidak dapat menyertai OBS atas faktor kesihatan, Encik Nabil mengambil inisiatif merancang program alternatif yang menggabungkan aktiviti fizikal serta lawatan pembelajaran.
Diadakan selama lima hari di sekolah, murid-murid mengikuti aktiviti seperti 'trekking' dan lawatan ke pelbagai lokasi di Singapura bagi mengembangkan aspek fizikal dan kognitif mereka.
“Saya rasa tidak patut mereka hilang peluang ini. Saya tidak rasa mereka kerugian atau kehilangan peluang itu,” ujar beliau.
Semangat mencari penyelesaian itu turut diterjemahkan dalam cara beliau menyokong guru-guru lain.
Sebagai guru tingkatan kelas Menengah 4A aliran G1, Encik Nabil menyedari cabaran pentadbiran harian yang dihadapi guru.
Ini termasuk mengakses pelbagai sistem dan laman web setiap hari bagi mengurus kehadiran murid, pelaporan insiden serta urusan pentadbiran yang lain.
"Sebagai seorang guru dan khususnya sebagai seorang guru tingkatan, kami sering menggunakan banyak aplikasi setiap hari dalam pekerjaan kita. Jadi kita harus mengakses banyak pautan laman web. Dengan itu, saya rasa lebih baik untuk semua pautan laman web ini untuk disatukan dalam satu aplikasi agar memudahkan lagi urusan guru-guru,” jelas beliau.
Namun, walaupun baru sahaja menerima pengiktirafan sebagai antara finalis OYEA 2026, pengalaman yang paling meninggalkan kesan kepada Encik Nabil bukanlah anugerah itu.
Meniti kembali sekitar dua tahun lalu, beliau berkongsi: “Rambut murid itu kusut masai, beg sekolahnya tidak teratur.”
Bekerjasama dengan kaunselor dan barisan kepimpinan sekolah, Encik Nabil mengambil pendekatan membimbing murid itu sedikit demi sedikit.
“Setiap minggu saya akan cuba berbual dengan dia dan saya akan cuba mengemas begnya bersama dia.
“Ia adalah proses yang agak lama. Ia memakan mungkin beberapa bulan,” ujar beliau.
Lebih bermakna, setelah menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, nenek yang menjaganya meluahkan penghargaan.
"Apabila neneknya datang mengucapkan terima kasih kepada saya selepas dia tamat peringkat 'N', itulah antara detik yang benar-benar mengingatkan saya mengapa saya memilih kerjaya ini,” ujarnya lagi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Statistik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu pada asalnya bercita-cita menjadi guru Matematik.
Namun, minatnya terhadap sukan turut membawanya menjadi guru PE di Sekolah Menengah Manjusri.
Di sekolah, beliau menggunakan sukan sebagai wadah untuk membina keyakinan, kepimpinan dan daya tahan murid.
Di luar sekolah pula, beliau terus menyemai minatnya terhadap bidang akademik sebagai sukarelawan bersama MENDAKI sejak empat tahun lalu, membimbing pelajar dalam pelajaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.