Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru MOE, pendidik bersekutu dinaikkan gaji sehingga 10% bermula 1 Okt

Kenaikan gaji yang diumumkan MOE akan memberi manfaat kepada sekitar 35,000 pegawai pendidikan, 1,600 pendidik bersekutu dan 800 guru tadika MOE.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Aug 2022 04:57PM Dikemas Kini : 16 Aug 2022 08:55PM
SINGAPURA: Para guru Kementerian Pendidikan (MOE), pendidik bersekutu dan guru tadika MOE akan menerima kenaikan gaji antara lima hingga 10 peratus bermula 1 Oktober.

"Ini bagi memastikan pakej keseluruhan pendapatan mereka kekal berdaya saing, dan supaya MOE dapat terus menarik dan mengekalkan para pendidik yang baik," menurut MOE dalam kenyataan medianya pada Selasa (16 Ogos).

Kenaikan gaji itu akan memberi manfaat kepada sekitar 35,000 pegawai pendidikan, 1,600 pendidik bersekutu dan 800 guru tadika MOE.

Gaji para guru dan pendidik bersekutu seperti kaunselor dan pegawai kebajikan pelajar kali terakhir disemak pada 2015. Skim guru tadika MOE hanya diperkenalkan pada 2019.

PELAN PENGEKALAN

MOE juga akan meningkatkan skim pengekalan 30 tahun bagi para guru yang dikenali sebagai Pelan CONNECT.

Buat masa ini, kuantum kadar rata antara S$3,200 hingga S$8,320 diperuntukkan bagi para pegawai pendidikan setiap tahun, bergantung kepada tempoh perkidmatan mereka. Bayaran diberikan setiap tiga hingga lima tahun, yang dibentuk sebahagian daripada wang yang dikumpul.

Bermula 2023, Pelan CONNECT akan ditingkatkan sebanyak 20 peratus secara keseluruhan. "Kuantum deposit tahunan dan nisbah bayaran akan ditingkatkan untuk menyokong para pegawai sokongan dengan lebih baik pada tahun-tahun awal kerjaya mereka," jelas MOE.

Kementerian itu juga mengumumkan bahawa gred 5A seorang pegawai pendidikan am (GEO) yang baru akan diwujudkan untuk lebih mengiktiraf sumbangan para guru yang menunjukkan prestasi baik dan tidak memegang pelantikan penting kakitangan seperti Ketua Subjek atau Guru Kanan.

Buat masa ini, para pegawai pendidikan yang tidak memegang pelantikan penting kakitangan, dan yang biasanya akan meneruskan khidmat sebagai guru bilik darjah, boleh dinaikkan sehingga gred GEO 5 itu.

Sementara itu, mereka yang memegang pelantikan penting kakitangan boleh dinaikkan pangkat kepada gred-gred Pegawai Kanan Pendidikan (SEO).

Bermula tahun depan, para guru yang tidak memegang pelantikan penting peribadi apabila mereka berada di titik maksimum gaji pada gred GEO 5 boleh dinaikkan ke GEO 5A, sekiranya mereka memenuhi kriteria prestasi bagi kenaikan pangkat.

Oleh itu, mereka akan meraih manfaat daripada siling gaji lebih tinggi, iaitu antara gred GEO 5 dengan SEO 1, menurut MOE.

"Para guru adalah tunggak sistem pendidikan kami," menurut MOE, sambil menambah ia akan terus membuka peluang bagi para pendidik untuk belajar dan berkembang sepanjang kerjaya mereka.

"Ini termasuk menyediakan kursus semasa berkhidmat bagi membantu para guru mendalami kepakaran kandungan dan pedagogi, serta mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman di luar bilik darjah melalui latihan kerja di luar," jelas kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan