Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru lelaki prasekolah mohon sokongan hakis stigma, sangkal sikap kurang percaya

Anggaran Waktu Membaca:
Guru lelaki prasekolah mohon sokongan hakis stigma, sangkal sikap kurang percaya

(Dari kiri) Muhammad Hadi Kamal, Mr Mohamad Noorhisyam Rohani dan Mr Malik Saiful Nizam Rosli.

SINGAPURA: Dalam bilik darjah prasekolah, akan ada detik apabila anak-anak kecil mahukan perhatian, berlari dengan riang untuk didakap guru mereka.

Ini adalah senario yang lazim bagi mana-mana pendidik prasekolah, iaitu sesuatu yang mencerminkan rasa sayang kanak-kanak. Sering kali, guru akan mendakap anak-anak kecil itu juga.

Bagi Encik Mohamad Noorhisyam Rohani, yang mengajar di Kidya Childcare, bagaimanapun, akan ada detik yang penuh ragu-ragu terhadap dirinya.

Melawan sifat semula jadi untuk membalas pelukan seorang kanak-kanak, beliau biasanya menepuk lembut badan kanak-kanak itu sebelum segera menjarakkan diri antara dirinya dengan kanak-kanak itu.

Ini kerana peraturan bagi pendidik lelaki di prasekolah adalah jelas bagi situasi ini: Tiada sentuhan fizikal.

Kanak-kanak mungkin tidak faham had tersebut, oleh itu, guru lelaki prasekolah mesti melaluinya dengan berhati-hati, sedar tentang bagaimana pelukan biasa boleh disalah faham.

Beliau menjadi lebih sedar tentang tingkah lakunya selepas mendengar guru lelaki dalam industri itu menerima aduan daripada ibu bapa mengenai sentuhan fizikal dengan anak murid mereka.

Adakalanya, mereka juga dilaporkan kepada polis dan guru-guru itu harus disoal siasat.

Berkongsi sentimen serupa dengan rakan politekniknya ialah Muhammad Hadi Kamal, juga 31 tahun.

Kedua-dua mereka cukup sedar tentang kurangnya sokongan terhadap kaum Adam bagi kerjaya mereka dalam industri yang didominasi oleh kaum Hawa, dan adanya sikap kurang percaya dan stigma terhadap guru lelaki prasekolah.

Selain peraturan "tiada kontak fizikal", mereka juga dilarang melakukan tugasan jagaan rutin seperti memandikan dan menukar lampin kanak-kanak.

Mereka juga tidak boleh bersama kanak-kanak itu sendirian pada bila-bila masa, dan seorang kakitangan wanita mesti berada dalam kawasan yang sama.

Encik Noorhisyam berkata: "Kami merasakan kami harus melakukan sesuatu tentang hal ini supaya tiada guru lelaki lain berasa sendirian dalam pergelutan mereka."

Ini mendorong penubuhan kumpulan sokongan bagi guru lelaki prasekolah 'Men in Preschools Singapore'.

Mereka juga menarik penyertaan dua lagi guru prasekolah Encik Malik Saiful Nizam Rosli, 27, dan Encik James Eu Ming Han, 30, yang kedua-duanya yakin terhadap tujuan itu.

Encik Noorhisyam dan Encik Hadi secara rasminya melancarkan kumpulan sokongan di Facebook dan Instagram pada 9 September 2019. Mereka berempat adalah rakan sekelas di Politeknik Temasek.

Lima tahun kemudian, kumpulan itu kini dianggotai 43 pendidik lelaki, yang sering berhubung melalui kumpulan sembang WhatsApp.

Sejak beberapa tahun lalu, terdapat kenaikan pada bilangan guru lelaki dalam sektor prasekolah, yang membentuk kurang 1 peratus daripada kesemua pendidik dalam industri tersebut sejauh ini.

Agensi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan jumlah guru lelaki dalam sektor prasekolah di Singapura naik hampir seganda sejak lima tahun lalu, daripada 130 pada 2019 kepada 245 setakat sehingga Januari 2024.

"Pendidik lelaki (dalam pendidikan awal kanak-kanak) membawa kekuatan, perspektif dan pengalaman berbeza yang menyumbang kepada pembangunan menyeluruh kanak-kanak, sekali gus bertindak sebagai peran contoh lelaki yang positif di samping kakitangan wanita mereka," jelas agensi itu.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang kerjaya dalam pendidikan awal kanak-kanak, memupuk sifat saling hormat-menghormati dan menekankan peranan berharga yang dimainkan pendidik lelaki dalam bidang itu.

Seperti rakan sebayanya, Encik Malik, yang mengajar di My First Skool Circuit Road, berkata menangkis persepsi ibu bapa tetap menjadi cabaran utama sepanjang kerjayanya.

Sebilangan ibu bapa juga secara terbuka boleh mempersoalkan kehadiran seorang guru lelaki di bilik darjah, misalnya.

"Mereka akan mengatakan perkara seperti 'Kaum lelaki tidak sepatutnya bekerja dalam industri yang didominasi wanita seperti jagaan kanak-kanak kerana kami tidak begitu pandai mendidik atau bersifat prihatin seperti rakan kerja wanita kami.

"Saya pernah mendengar istilah seperti 'pedofil' dilontarkan, dari rakan-rakan sekolah menengah saya juga.

"Pada mulanya, saya agak kecewa kerana saya benar-benar berminat untuk menjadi guru prasekolah. Bagaimanapun, sebahagian daripada diri saya juga mahu cemerlang dalam peranan saya dan membuktikan yang mereka salah," tambah Encik Malik.

Encik Malik berkata: "Adakalanya, ia terasa seperti kami ibarat beban kepada rakan sekerja kami kerana kami tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya kanak-kanak itu memerlukan bantuan bagi beberapa perkara. Kami harus menunggu kakitangan wanita lain untuk menghuraikannya.

"Namun kami melakukan sebaik mungkin untuk menghulurkan bantuan seperti mengangkat atau mengatur barangan berat, dan menjaga kanak-kanak lain di kelas sementara satu kumpulan itu mendapatkan jagaan rutin mereka."

Encik Hadi, yang juga pengetua Iyad Perdaus di Jurong East, menekankan bahawa ini bukan bermakna guru lelaki prasekolah harus berdiam diri sahaja dalam situasi tertentu, seperti apabila seorang kanak-kanak merengek-rengek.

"Ramai guru dalam kumpulan sokongan kami berbincang tentang mematuhi peraturan tiada sentuhan fizikal. Saya sering mengingatkan mereka bahawa wujud sesuatu yang dipanggil 'sentuhan fizikal yang wajar' pada masa-masa tertentu."

Beliau juga menarik perhatian bahawa sekiranya timbul sebarang persoalan atau keraguan, pendidik lelaki harus yakin dalam keupayaan mereka untuk mewajarkan tindakan mereka.

"Keutamaan kami adalah untuk meredakan keadaan dan melindungi semua orang. Kami juga harus memastikan rakan sekerja wanita kami hadir di sisi untuk menyaksikan campur tangan itu."

Meskipun akur bahawa meraih kepercayaan ibu bapa amat penting, Encik Hadi merasakan kayu ukur bagi hasil mereka sebenarnya bergantung kepada mutu kerja mereka.

Encik Hadi menambah bahawa tingkah laku kecil, seperti mengingatkan seorang kanak-kanak untuk tidak mengejek, adalah sebahagian daripada bagaimana mereka membentuk perilaku dan nilai kanak-kanak.

Encik Malik berkata kumpulan itu bukan hanya menghubungkan guru prasekolah lelaki dan menyediakan sokongan, tetapi ia juga menjalin persahabatan melalui acara-acara sosial yang dianjurkan secara kerap.

Pada setiap dua atau tiga bulan, mereka menganjurkan jamuan malam dan kegiatan sukan seperti badminton dan futsal.

Anggota kumpulan sokongan Gerald Chia, 24 tahun, yang sudah menjadi guru prasekolah selama dua tahun, berkata beliau belum berdepan situasi yang benar-benar sukar setakat ini, namun menghargai pengalaman dan perspektif yang dikongsikan dalam kumpulan itu apabila perlu.

"Kumpulan ini bagus untuk menangani cabaran yang sama secara bersama-sama. Selepas berkongsi isu itu, kami akan melakar huraian dan strategi untuk menanganinya dalam bilik darjah."
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan