Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru jalani perbicaraan; dituduh cabul murid lelaki

Seorang lelaki berusia 43 tahun menjalani perbicaraan pada Isnin (13 Jun) atas dakwaan mencabul kehormatan seorang murid lelaki yang ketika itu berumur antara 10 dengan 11 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Guru jalani perbicaraan; dituduh cabul murid lelaki

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 13 Jun 2022 04:33PM Dikemas Kini : 13 Jun 2022 04:38PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 43 tahun menjalani perbicaraan pada Isnin (13 Jun) atas dakwaan mencabul kehormatan seorang murid lelaki yang ketika itu berumur antara 10 dengan 11 tahun.

Lelaki itu, yang merupakan seorang guru ketika kesalahan dipercayai dilakukan, menghadapi lima tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa dengan meraba bahagian sulit budak itu dengan menyentuh seluar pendeknya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bilik ketua jabatan di sekolah mereka sebanyak lima kali pada November 2017, Mac 2018, Julai 2018, Ogos 2018 dan Oktober 2018.

Arahan mahkamah dikeluarkan bagi mencegah penerbitan sebarang maklumat yang boleh membawa kepada identiti mangsa dikenal pasti. Ini demi melindungi identiti mangsa dan sekolah di mana kesalahan disyaki berlaku.

Mangsa, seorang murid di sekolah berkenaan dan anggota kegiatan kokurikular (CCA) di mana tertuduh adalah guru yang bertanggungjawab. Budak itu menyertai CCA tersebut pada 2016.

Pada 2017, murid itu mula mengadu kepada tertuduh tentang masalah keluarganya. Tertuduh sedar bahawa murid itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bapa tirinya.

Bapa tiri mangsa memukulnya dan budak lelaki itu kadangkala datang ke sekolah dengan kesan lebam, menurut dokumen mahkamah.

Pada November 2018, tertuduh, budak lelaki itu dan dua rakannya keluar makan malam bersama untuk menyambut ulang tahun mangsa.

Empat hari kemudian, pengetua sekolah memberitahu tertuduh tentang dakwaan yang dibuat oleh mangsa.

Sehari kemudian, mangsa membuat laporan polis bahawa dia dicabul. Tertuduh diberkas pada 8 Julai 2021.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Ying Min and Angela Ang akan mengetengahkan bukti mangsa yang akan memberi keterangan melalui kamera pada petang Isnin.

Tertuduh diwakili oleh peguam, Encik Gino Hardial Singh. Pihak pembelaan dijangka mengemukakan bukti daripada lima guru sepanjang prosiding perbicaraan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengulas tentang kes tersebut.

Lelaki berkenaan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, dikenakan sebatan rotan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut jika disabit kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan budak berusia bawah 14 tahun.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan