Guru jagaan bayi dipenjara 10 bulan, dera budak 1 tahun "secara berterusan"
Seorang guru jagaan bayi di sebuah prasekolah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada Khamis (17 Mac). Guru itu mendera seorang budak lelaki berusia satu tahun di bawah jagaannya, termasuk memukulnya sehingga meninggalkan banyak kesan lebam di belakang badan mangsa.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Seorang guru jagaan bayi di sebuah prasekolah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada Khamis (17 Mac). Guru itu mendera seorang budak lelaki berusia satu tahun di bawah jagaannya, termasuk memukulnya sehingga meninggalkan banyak kesan lebam di belakang badan mangsa.
Wanita berumur 54 tahun itu hadir di mahkamah dengan berkerusi roda sebagaimana dilakukannya pada bulan lalu ketika mengaku bersalah atas satu tuduhan mendera seorang kanak-kanak.
Wanita itu, yang baru-baru ini menjalani pembedahan penggantian lutut, mula menjalani hukuman penjaranya secara serta-merta.
Hakim Daerah Shaifuddin Saruwan mempertimbangkan satu lagu tuduhan serupa ketika menjatuhkan hukuman. Ia berkaitan tindakan guru itu menjentik telinga budak lelaki berkenaan dan menonyoh mukanya dua minggu sebelum kesalahan utama dilakukan.
Nama wanita itu tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti budak lelaki berkenaan.
PUKUL BAYI, TUTUP MUKA, GONCANG LENGAN MANGSA
Mahkamah diberitahu sebelum ini bahawa guru tersebut diamanahkan menjaga kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga 18 bulan.
Dia mendera budak lelaki berkenaan pada waktu petang tanggal 24 Disember 2019 ketika berada di prasekolah yang terletak di bahagian utara Singapura. Antara perbuatan yang dilakukan ke atas mangsa termasuk:
- Memukul bahagian belakang budak itu dengan menggunakan satu tangan sekurang-kurangnya 14 kali
- Memukul bahagian belakang budak itu dengan menggunakan dua tangan sekurang-kurangnya lapan kali
- Membetulkan kedua-dua kaki mangsa secara kasar
- Menutup kepala budak itu dengan bantal sekurang-kurangnya sekali
- Menonyoh muka budak berkenaan pada bantal dengan menolak kepalanya
- Menggoncangkan lengan budak lelaki itu secara kasar sebelum menghempasnya ke lantai
- Menampar dada dan pipi mangsa beberapa kali
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penganiayaan itu dimainkan di mahkamah, menunjukkan wanita berkenaan meninggalkan budak lelaki tersebut terbaring di lantai dengan kepalanya ditutupi bantal selama kira-kira 30 saat. Kanak-kanak lain turut kelihatan di tempat kejadian.
Sejurus selepas itu, dia menyedari tanda merah besar kelihatan terbentuk di bahagian belakang mangsa. Sejam kemudian, tompok itu bertukar menjadi biru.
Menyedari bahawa ibu mangsa pasti akan perasan kecederan tersebut, dia "segera berusaha untuk menutup perbuatannya", kata Timbalan Pendakwa Raya Gerald Tan kepada mahkamah.
Dia kemudian mengirim pesanan WhatsApp kepada ibu budak itu bertanya sama ada budak tersebut mempunyai "kulit amat sensitif", meminta maaf kerana kononnya menepuk kuat belakang badan budak itu ketika ingin menidurkannya dan berkata bahawa kulit budak itu kelihatan seperti ia "mengalami keradangan".
Ibu budak lelaki itu membawa mangsa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KKH pada malam hari tersebut di mana dia didapati mengalami lebam pada bahagian belakangnya, berukuran kira-kira 13 sentimeter kali lapan sentimeter.
Ibu bapa mangsa melihat rakaman CCTV anaknya didera guru berkenaan dan memfailkan aduan polis pada 31 Disember 2019.
Prasekolah tersebut membayar kos lawatan budak itu ke hospital, berjumlah sekitar S$140.
Atas kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda, guru itu boleh dipenjara sehingga empat tahun atau didenda sehingga S$4,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.