Guru-guru diingatkan jaga kesejahteraan mental & fizikal: Chan Chun Sing
Para guru akan terus diberi autonomi untuk membantu pelajar sedang Kementerian Pendidikan (MOE) mengemaskini dasar-dasar bagi mengukuhkan lagi sistem.
SINGAPURA: Para guru akan terus diberi autonomi untuk membantu pelajar sedang Kementerian Pendidikan (MOE) mengemaskini dasar-dasar bagi mengukuhkan lagi sistem.
Guru-guru juga diingatkan untuk menjaga kesejahteraan mental dan fizikal mereka.
Ini sedang mereka mencari keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan peribadi masing-masing di samping menjaga kesejahteraan anak-anak murid di tengah-tengah COVID-19.

"Ingatlah bahawa menjadi komited kepada kerjaya anda juga bermakna menjaga kesejahteraan fizikal dan emosi anda dengan baik. Bak pepatah, seseorang tidak boleh tuang daripada cawan yang kosong. Di ibu pejabat MOE, kami terus mengadakan perbincangan tentang bagaimana untuk menyokong kesejahteraan guru-guru dengan lebih baik dan menyediakan keseimbangan kerja-kehidupan yang baik," kata Encik Chan.
Buat julung-julung kalinya juga, majlis itu diadakan serentak bagi dua kohort penerima setelah acara tahun lalu ditunda akibat COVID-19.

SIFAT IHSAN PARA GURU BERI INSPIRASI MENGORAK LANGKAH YANG SAMA
142 daripada penerima Biasiswa dan Anugerah MOE hari ini adalah daripada kohort 2021 dan antara penerimanya - Sharifah Nadia Syed Ameer Ali.
Kemalangan yang menimpa ayahnya pada 2017 semasa dirinya menuntut di sekolah menengah pernah membuatnya tertekan sehinggakan dia sering ketinggalan dalam pelajaran.
Ketika itu, Sharifah merupakan pelajar menengah tiga di Sekolah Perempuan Crescent.
Lebih menyedihkan lagi, kejadian itu berlaku genap pada sambutan hari lahirnya yang ke-15.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Namun, sokongan daripada para guru yang prihatin dan terus memberikannya semangat membuatkannya bangkit semula.
Jasa mereka itulah yang mendorong Sharifah, untuk memilih kerjaya sebagai seorang guru agar dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Saya teringat tentang jasa-jasa baik guru-guru saya semasa berada di sekolah dan juga bagaimana saya selalu suka bidang Matematik dan juga Sains. Saya hendak memilih jawatan yang bermanfaat dan juga memberikan manfaat kepada orang lain terutama sekali untuk membantu mereka yang dalam masyarakat kami, masyarakat Islam," kata Sharifah.
Selain cemerlang dalam pelajarannya, penuntut 19 tahun itu juga aktif dalam sukan hoki dan sudah memenangi pelbagai pingat di peringkat sekolah.

Di samping itu, bekas penuntut Institusi Raffles itu juga ringan tulang melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
Malah dia pernah menganjurkan aktiviti bagi kanak-kanak berkeperluan khas dari Sekolah Pathlight.
Mengimbas pengalamannya dan keinginannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, Sharifah menjelaskan: "Saya rasa bahawa ia amat penting untuk berinteraksi dengan orang yang berbeza daripada kita dan meletak kita di luar zon keselesaan. Ia akan menolong kita untuk menjadi lebih matang dan juga memahami tentang golongan-golongan berbeza dalam masyarakat."
LAKAR VISI UNTUK PARA PELAJAR MASA HADAPAN
Kecemerlangan serta kecenderungannya terhadap bidang perguruan itulah yang membuatkannya antara yang terpilih untuk menerima Anugerah Perguruan MOE 2021.
Anugerah itu akan menampung yuran pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Seni (Pendidikan) dengan pengkhususan dalam Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Nanyang-Institut Pendidikan Nasional (NTU-NIE) serta peluang menyertai program-program pembangunan.
"Alhamdulillah dengan anugerah ini, saya dapat fokus kepada pelajaran saya dengan tenang dan ia juga menolong saya untuk tidak risau bahawa kos pembelajaran saya akan memberatkan ibu bapa saya. Ia juga mengingatkan saya untuk sentiasa berusaha dengan gigih," kata anak kedua tiga beradik itu.
Apabila bergelar seorang pendidik kelak, Sharifah berharap dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri para pelajarnya supaya cemerlang secara menyeluruh.

"Saya harap untuk menjadi seorang guru yang dapat menyumbang kepada sistem pendidikan supaya murid-murid dari segala latar belakang dapat pengalaman yang positif semasa mereka berada di sekolah.
"Saya juga mahu memupuk dalam diri mereka dan juga untuk mereka mempamerkan sifat, sikap dan adab yang positif dan sopan," kata Sharifah.
Selepas tamat pengajiannya, Sharifah akan mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.