Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru disiplin sekolah menengah akui ambil lebih 100 video dari bawah skirt guru & pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
 Guru disiplin sekolah menengah akui ambil lebih 100 video dari bawah skirt guru & pelajar

Gambar: Jeremy Long

Diterbitkan : 02 Sep 2022 02:32PM Dikemas Kini : 20 Sep 2022 11:03PM
SINGAPURA: Selama lebih tiga tahun, guru disiplin sebuah sekolah menengah merakam lebih 100 video dari bawah skirt rakan sekerja dan pelajar perempuannya.

Dia merakam 12 video dari bawah skirt sekurang-kurangnya tujuh pelajar perempuan menggunakan modus operandi seperti mengajak mereka masuk ke bilik disiplin.

Pada satu kejadian, dia merampas telefon bimbit seorang pelajar yang merakam video dari bawah skirt seorang guru dan menggunakan telefonnya sendiri untuk merakam video itu bagi dirinya.

Lelaki berusia 49 tahun itu, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, mengaku bersalah hari ini (2 Sep) atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita. Lima lagi pertuduhan akan diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan.

Perintah mahkamah dikenakan oleh mahkamah, yang melarang namanya, nama mangsa dan nama sekolah didedahkan.

Mahkamah diberitahu lelaki itu bertugas di sekolah tersebut sejak 2008 dan menyandang jawatan sebagai guru disiplin sejak 2015. Dia juga mengajar bahasa Mandarin.

Antara April 2015 dengan Julai 2018, dia merakam 156 video dari bawah skirt sekurang-kurangnya 38 rakan sekerja wanita, yang kebanyakannya merupakan guru.

Dia akan mengajak mereka ke mejanya bagi tujuan mengumpul data mereka dan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt mangsa semasa mangsa sedang memasukkan data.

Dia menjemput rakan sekerja wanita yang memakai skirt atau gaun tetapi bukan mereka yang memakai seluar. Dia juga jarang menjemput guru lelaki ke stesen kerjanya.

Lelaki itu juga merakam 12 video dari bawah skirt sekurang-kurangnya tujuh pelajar perempuan antara Mei 2015 dengan Februari 2018. Dia akan membawa pelajar itu ke dalam bilik disiplin dan merakamnya semasa mereka menggunakan komputer.

Mahkamah mendengar bahawa lelaki itu akan memindahkan video tersebut ke cakera keras luaran melalui komputer riba pejabatnya. Dia tidak berkongsi atau menerbitkan video itu tetapi "memuaskan nafsu seksualnya sendiri", kata pendakwa.

Pada satu ketika, seorang pelajar lelaki ditangkap dan dihukum oleh pihak sekolah kerana merakam dua video dari bawah skirt seorang guru wanita. Atas alasan mendapatkan semula bukti, tertuduh merampas telefon pelajar dan menggunakan telefonnya sendiri untuk merakam video berkenaan sebelum memindahkannya ke koleksi peribadi.

Tindakannya berterusan hingga Julai 2018, apabila seorang guru wanita di sekolah itu membuat aduan polis dan menyatakan bahawa dia mengesyaki tertuduh mengambil video dari bawah skirt guru-guru termasuk dirinya.

Polis merampas cakera kerasnya dan menemui 173 video dari bawah skirt dalam simpanannya. Dia memberi nama video-video itu dengan nama atau huruf pertama nama mangsa atau dengan penerangan.

Siasatan juga mendedahkan bahawa dia merakam video dari bawah skirt saudara perempuannya di sebuah pesta yang dianjurkan oleh ibu mentuanya.

TERTUDUH SALAH GUNA JAWATAN: PENDAKWA

Pendakwa, yang meminta lelaki itu dijatuhi hukuman penjara antara 12 dengan 18 bulan, berkata tertuduh menyalahgunakan kepercayaan rakan sekerja wanita dan kedudukannya sebagai guru disiplin. Mangsa yang merupakan pelajar, khususnya, mudah terjejas, dan tertuduh mempergunakan rasa hormat mereka kepadanya serta kepercayaan ibu bapa mereka kepada sekolah dan fakultinya, tambahnya.

Namun, pendakwa menerima bahawa tertuduh mengalami gangguan kemurungan pada masa itu, selepas kehilangan ibunya pada 2015. Isterinya juga menjalani pembedahan bagi masalah perubatan pada 2016, selepas itu hubungan seksual mereka "berkurangan secara drastik".

“Walaupun faktor-faktor ini mengundang sedikit simpati, ia bukan alasan bagi kelakuan tertuduh,” kata pendakwa.

Peguam bela Laurence Goh meminta mahkamah memerintahkan laporan kesesuaian bagi perintah rawatan mandatori. Beliau berkata tertuduh mengalami "kemurungan berganda" pada waktu dia melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Seorang doktor di Institut Kesihatan Mental (IMH) menyatakan bahawa gangguannya menyumbang kepada kesalahannya, kata Encik Goh.

Pendakwa membantah "kesimpulan" pihak pembela bahawa tertuduh tidak akan dapat menjalani rawatan psikiatri jika dia dijatuhi hukuman penjara, sambil menyifatkan kesimpulan tersebut membawa kepada andaian.

Penjara boleh dengan "sepenuhnya meneruskan pemantauan dan merawat keadaannya", dan unit psikiatri Kompleks Perubatan Changi ditadbir oleh IMH, katanya.

Hakim akur dengan keadaan mental tertuduh pada masa itu dan mendapati bahawa ada kaitan yang menyumbang kepada tingkah lakunya. Beliau membenarkan permintaan pihak pembela untuk meminta laporan kesesuaian bagi perintah rawatan mandatori, tetapi menegaskan bahawa walaupun dia didapati sesuai, mahkamah mungkin tidak mengenakan perintah sedemikian.

Tertuduh akan kembali ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman pada November.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan