Skip to main content

Singapura

Guru dibuang kerja selepas video dera kanak-kanak di tajaka Woodlands tersebar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) sedang menyiasat satu kes melibatkan seorang guru yang disyaki mendera beberapa kanak-kanak di sebuah tajaka di Woodlands.

Demikian didedahkan seorang Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan tersebut pada Isnin (28 Ogos).

Ini setelah muncul tiga video menunjukkan interaksi guru tersebut bersama kanak-kanak tersebar di media sosial.

Dalam dua video berkenaan, guru tersebut dilihat sedang mengendalikan kanak-kanak tersebut dengan kasar sedang dia cuba memaksa mereka meminum air. Dalam satu daripada video tersebut, seorang kanak-kanak meraung dengan kuat sedang guru itu cuba untuk menahan kepala mereka ke belakang. Dalam video yang lain pula, wanita itu kelihatan meletakkan seorang kanak-kanak di atas lantai dan menuang air ke dalam mulut mereka.

Dalam video ketiga, guru tersebut dilihat mengherdik seorang kanak-kanak lalu memukulnya beberapa kali dengan senaskhah buku.

Setakat 6.20 petang pada Isnin, dua hantaran Facebook yang mengandungi video tersebut telah dikongsi lebih 10,000 kali, dengan satu daripada video tersebut menarik lebih 250,000 tontonan.

Mengulas mengenai salah satu hantaran tersebut, AP GRC Sembawang Poh Li San mengatakan pihak berkuasa sedia maklum mengenai insiden berkenaan.

"Terima kasih kerana menarik perhatian (kepada isu tersebut)! Perbuatan tidak profesional dan kasar sedemikian ke atas kanak-kanak itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," kata Cik Poh sebagai respons kepada hantaran yang dibuat oleh pengguna Facebook Claudia Tan.

"Kami sedang membantu ibu bapa dan kanak-kanak yang terjejas. Selain itu, kami sedang berhubung dengan ECDA dan polis untuk menyiasat kes ini."

Insiden berkenaan dipercayai berlaku di Kinderland Preschool @ Woodlands Mart. Hantaran Kinderland yang terbaharu, bertarikh 21 Ogos, menarik beberapa komen orang ramai yang menyuarakan kemarahan setelah menyaksikan video tersebut.

"Kami telah menerima maklum balas anda. Pada ketika ini, kami meminta privasi bagi keluarga yang terjejas," nyata Kinderland Singapura dalam satu komen pada sekitar 7.10 malam.

Cik Poh juga menyentuh tentang rakaman tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook pada Isnin.

Menujukan hantarannya itu kepada para penduduk kawasan tersebut dan ibu bapa kanak-kanak yang menghadiri Kinderland @ Woodlands Mart, Cik Poh mengatakan: "Saya memahami keprihatinan dan kekhuatiran anda berhubung video seorang guru tertentu yang mengendalikan kanak-kanak dengan kasar dan memukul mereka, yang tersebar di platform online. Perbuatan tidak profesional sedemikian semestinya tidak boleh dibiarkan, dan kakitangan tersebut mesti dipertanggungjawabkan," ujarnya.

"Saya faham bahawa guru tersebut telah diberhentikan kerja dan siasatan oleh ECDA dan pihak polis masih sedang dijalankan. Saya sedang menghulurkan bantuan kepada ibu bapa kanak-kanak yang terjejas."

"Buat masa ini, sila jaga diri dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu ibu bapa dan kanak-kanak yang terjejas," tambahnya.

CNA telah menghubungi Kinderland dan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

DIA INGIN MENANGIS

Seorang ibu bapa salah seorang kanak-kanak dalam rakaman tersebut, memberitahu CNA bahawa dia hanya mengetahui tentang insiden penderaan berkenaan setelah video tersebut tersebar dalam satu kumpulan sembang bagi para ibu.

Wanita tersebut, yang enggan dinamakan untuk melindungi identiti anak lelakinya, tidak maklum mengenai individu atau bila insiden tersebut dirakam.

Beliau bagaimanapun teringat guru tersebut telah mengendalikan kelas anaknya tahun lalu, dan mengimbas kembali kejadian di mana anak lelakinya telah meluahkan rasa sedih sejurus dia melihat guru berkenaan.

Wanita tersebut berkongsi bahawa anak lelakinya, yang kini berusia tiga tahun, telah menghadiri tajaka tersebut sejak berumur lima atau enam bulan.

Beliau berkata telahpun bercakap dengan pengetua tersebut dan akan membuat aduan polis tidak lama lagi. Pengetua tersebut telah memberitahunya bahawa guru tersebut telah diberhentikan kerja.

Dia juga menambah bahawa tiada kamera yang dipasang di tajaka tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita