Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru boleh kekal lama dalam kerjaya jika ingat pada tujuan asal, luaskan perspektif, halusi amalan kerja & nilai semula keutamaan

Anggaran Waktu Membaca:
Guru boleh kekal lama dalam kerjaya jika ingat pada tujuan asal, luaskan perspektif, halusi amalan kerja & nilai semula keutamaan

Gambar: Rosli A Razak

SINGAPURA: Mengajar bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu.

Oleh itu, antara tanda aras kejayaan golongan pendidik adalah sejauh mana para guru dapat mempersiapkan para murid untuk hadapi cabaran akan datang.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata semua ini memerlukan para guru untuk berkongsi pengalaman dari pelbagai sudut pandangan, termasuk di luar dunia pendidikan.

Beliau berucap kepada lebih 262 guru yang menerima watikah pelantikan mereka dalam satu Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) hari ini (12 Julai).

Dalam kesempatan itu juga, Encik Chan juga membangkitkan empat perkara yang perlu dipertimbangkan para guru jika ingin kekal lama dalam bidang pendidikan iaitu selalu ingat pada tujuan asal, meluaskan perspektif secara berterusan, memperhalusi amalan kerja dan sentiasa menilai semula keutamaan.

Bagi menimba kemahiran dan pengalaman di luar bidang pendidikan, Encik Chan menarik perhatian bagaimana program seperti Program 'Teacher Work Attachment Plus' (TWA+) yang membolehkan para guru menimba pengalaman bekerja di sektor awam dan swasta.

Beliau turut menggesa para pendidik agar sentiasa memperhalusi amalan dan memperkukuh profesionalisme mereka menerusi pembelajaran sepanjang hayat.
Gambar: Amira Tajudin
Salah seorang guru yang sudahpun menyahut cabaran tersebut ialah Cik Amira Tajudin, lulusan ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains (Pendidikan).

Cik Amira, 29 tahun juga merupakan salah seorang dari 37 penerima anugerah di majlis tersebut.

Beliau menerima Hadiah Buku Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura dan Hadiah Buku Sport Singapore (Sains Sukan).

Cik Amira pernah bekerja dalam sektor perbankan selepas tamat pengajian diploma di Politeknik Singapura pada 2013 namun bertukar bidang kerjaya kerana ingin mengikuti jejak ibu dan kakaknya.

"Sebenarnya kedua ibu dan kakak saya berada dalam bidang pendidikan dan sebelum ini saya banyak mendengar cerita mereka tentang detik-detik yang bermakna dan juga interaksi positif dengan murid-murid mereka. Justeru dengan dorongan dan sokongan kakak dan ibu, saya mengambil keputusan untuk bekerja di industri perbankan dan terus mencapai hasrat untuk menjadi seorang guru," kongsi beliau.

Selain pengalaman dalam bidang perbankan, beliau juga cuba menjadikan pembelajaran lebih menarik dengan menggabungkan minatnya dalam bidang sukan dan Matematik.

Cik Amira juga mengikuti kursus dalam pembangunan awal kanak-kanak di NIE.

"Saya tertarik kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana semasa menjalani praktikum saya nampak bahawa murid murid Darjah Satu mengalami kesukaran untuk beralih dari tadika ke Darjah Satu. Jadi saya rasa bahawa saya ingin meningkatkan lagi pedagogi saya dalam menolong budak-budak darjah satu tersebut," jelas beliau.

Cik Amira kini mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Matematik di Sekolah Rendah St Hilda's.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa