Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru berperanan terap nilai murni melalui khazanah tidak ternilai dalam bahasa Melayu

Peranan guru bahasa Melayu sebagai guru pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan ditekankan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Anggaran Waktu Membaca:
02:26 Min
Peranan guru bahasa Melayu sebagai guru pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan ditekankan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

SINGAPURA: Peranan guru bahasa Melayu sebagai guru pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan ditekankan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau berkata golongan pendidik itu antara salah satu teladan yang dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar "melalui khazanah tidak ternilai" yang terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Ehwal Luar berkata demikian sempena ulang tahun ke-10 Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) hari ini (23 Nov).

"Bagi saya, peranan ini amat bersesuaian kerana bahasa Melayu kaya dengan khazanah yang tidak ternilai seperti cerita-cerita rakyat, pantun, peribahasa dan aspek-aspek budaya lain yang pelbagai yang dapat disulamkan dalam pengajaran Bahasa Melayu secara seronok.

"Kesempatan dan peluang ini seharusnya digunakan oleh guru-guru kita untuk membentuk peribadi pelajar agar mereka akhirnya mempunyai jati diri dan bangga menjadi orang Melayu serta warganegara Singapura," kata Dr Maliki.

Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), yang ditubuhkan dalam bulan Julai 2010, sudah banyak menyumbang dalam bidang pembangunan profesional para guru dan mempertingkat cara pengajaran serta pembelajaran bahasa Melayu.

Menurut Dr Maliki, usaha-usaha ini dilakukan "secara tekal dan berstruktur".

"Ikhtiar ini penting kerana dalam kita meluaskan usaha untuk mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, kita juga perlu terus meluaskan pengetahuan dan meningkatkan kepakaran para guru Bahasa Melayu kita," ujarnya.

Selain kursus-kursus dan bengkel yang dianjurkan, MLCS turut berinovasi dan mendakap teknologi demi memastikan bahasa ibunda terus diajar dan dipelajari dengan cara yang kreatif.

MLCS sudah menyiapkan lima aplikasi interaktif e-permainan dan e-buku yang popular dalam kalangan pelajar dan guru-guru.

Satu lagi pencapaian penting MLCS yang disifatkan oleh Dr Maliki sebagai "membanggakan" adalah seminar tahunannya.

Sebanyak 400 kertas kajian sudah dibentangkan oleh para guru di seminar-seminar yang dianjurkan, dengan 5,000 peserta sudah menghadirinya.

Malah, seramai 125 guru sudahpun membentangkan kertas kerja mereka di 31 persidangan serantau.

"Saya rasa ini semua adalah penting bagi menunjukkan bahawa kita bergerak bersama-sama dan juga maju bersama-sama sebagai satu kumpulan bagi memastikan bahawa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kita terus berkembang," kata Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura, Mohamed Noh Daipi.

MLCS LANCAR BUKU BUDI BICARA: SARKASI SAID

MLCS turut melancarkan bahan-bahan rujukan baru untuk para guru. Ini termasuk Kad Mari Membaca untuk peringkat prasekolah dan juga sekolah rendah.

Ia turut melancarkan sebuah buku mengenai pelukis batik negara, Sarkasi Said, yang bertajuk Bicara Budiman: Sarkasi Said sebagai mengenang dan menggalakkan rasa hormat pelajar kepada generasi perintis.

Pada 2018, MLCS menerbitkan sebuah buku serupa menonjolkan tokoh bahasa, sastera dan budaya, Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Sempena majlis hari ini mantan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram bersama dua pakar pendidikan - Dr Raudhah Yahya dan Profesor Dr Vijayaletchumy Subramaniam, berkongsi tentang pembelajaran bahasa.

Dr Raudhah Yahya, seorang pensyarah Institut Nasional bagi Pembangunan Awal Kanak-Kanak berkongsi cabaran-cabaran melentur penggunaan bahasa Melayu termasuk pendedahan dan peluang penggunaan bahasa yang tidak seimbang, kurang penggunaannya di rumah dan di sekolah serta keperluan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru menggunakan pendekatan yang relevan dan efektif.

Maka beliau menyarankan agar ibu bapa merancang secara berstruktur dan berusaha dengan konsisten untuk mengimbangi pendedahan dan peluang penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris.

Dr Raudhah juga berkongsi bahawa perlu ada kerjasama antara guru bahasa Melayu dengan ibu bapa selain sokongan pembelajaran bahasa Melayu dalam suasana santai.

Dr Mohamed Fatris mengupas konsep 'bahasa budi', yang menjadi ciri unik bahasa Melayu dan menjadi faktor mengapa bahasa ibunda itu perlu dijunjung oleh bangsa Melayu sendiri. Ia sekali gus menjadi langkah yang diperlukan untuk melestarikan bahasa ibunda.

Profesor Dr Vijayaletchumy pula berkongsi tentang lima pendekatan yang boleh diambil bagi menggalak para pelajar bukan penutur jati untuk mempelajari bahasa Melayu secara menyeluruh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa