Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru Bahasa Melayu ini kongsi cara beliau gunakan AI untuk latih lisan & karangan pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam usaha untuk membantu para pelajarnya dalam pembelajaran bahasa Ibunda, guru bahasa Melayu, Zulhafiz Zainal, mencipta sebuah sistem ‘chatbot’ berpandukan kecerdasan buatan (AI Chatbot).

'Chatbot' itu dihasilkan untuk menjana idea-idea kreatif untuk membantu pelajar dalam penulisan karangan dan lisan agar mereka dapat menghasilkan karangan dan memberikan respons yang lebih berkualiti.

Penggunaan AI itu sejajar dengan strategi Negara Bijak 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 1 Oktober lepas.

Penggunaan ‘chatbot’ itu menurut Encik Zulhafiz boleh mempermudahkan para pelajarnya mendapatkan maklum balas yang lebih pantas di luar kelas bahasa Melayu atau luar waktu sekolah.

"Satu cabaran yang saya alami sebagai seorang guru merupakan keperluan pelajar untuk mendapatkan maklum balas daripada saya. Jadi dengan adanya ‘chatbot’ seperti ini, ia memberikan mereka maklum balas yang lebih sesuai, sebagai contoh cerita-cerita yang mereka ingin hasilkan.

"Ini daripada perlu menunggu saya kerana karangan itu perlu dihasilkan terlebih dahulu, saya perlu memeriksanya dan kadangkala dalam proses maklum balas, mereka sudah lupa apa yang mereka sudah hasilkan," kongsi Encik Zulhafiz yang juga menyandang jawatan Ketua Subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Woodlands Ring.

Sebelum menerapkan penggunaan ‘chatbot’ itu di dalam kelas, Encik Zulhafiz harus terlebih dahulu menguji kebolehan teknologi itu.

"Setelah mereka 'chatbot' ini, saya sendiri perlu mencuba untuk melihat apakah respons-respons yang diberikan dan kemudiannya saya perlu ubah suai respons-respons berdasarkan keinginan saya sebagai seorang guru," jelas Encik Zulhafiz kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Tidak seperti ChatGPT, Encik Hafiz perlu memastikan respons yang diberikan 'chatbot' adalah sesuai bagi tujuan pembelajaran dan sesuai buat para pelajarnya.

MAKLUM BALAS DARI PELAJAR

Setakat ini, sekitar 120 pelajar sudah menggunakan sistem ‘chatbot’ yang dikendalikan Encik Zulhafiz.

"Maklum balas yang saya dapat daripada pelajar merupakan mereka merasakan bahawa 'chatbot'
ini dapat membantu mereka secara kendiri. Mereka tidak perlu menunggu untuk berjumpa dengan guru. Ini dapat membantu mereka membuat kerja mereka dengan lebih fleksibel.

"Mereka berkata bahawa isi-isi yang mereka hasilkan itu lebih baik kualitinya kerana dengan soalan-soalan panduan yang diajukan, ia benar-benar dapat membantu mereka menghasilkan cerita ataupun isi yang sesuai dengan keinginan soalan yang diajukan," kata Encik Zulhafiz.

Salah seorang pelajarnya, Nur Syukrina Sharil berkongsi pengalamannya menggunakan 'chatbot' itu kepada wartawan Nurfazirah Azman.

"Dalam peperiksaan lisan saya, saya menggunakan panduan yang kita boleh belajar daripada menggunakan AI.

"Saya rasa semakin yakin untuk berbual dalam bahasa Melayu dengan kawan-kawan saya. Bukan saya sahaja tetapi saya juga perasan bahawa rakan-rakan kelas saya juga berasa lebih yakin dan bersemangat untuk berbual dalam bahasa Melayu apabila cikgu saya menggunakan AI dalam pembelajaran," kata Syukrina.

Pelajar Rayn Riaz Noorazan pula berpendapat bahawa AI dapat membantunya menjana idea baharu.

"Dengan menggunakan AI, saya dapat menjana idea-idea yang lebih unik dan dapat meluaskan perspektif saya terhadap topik tersebut.Selepas menggunakan AI Chatbot untuk menjana idea untuk karangan-karangan naratif saya, saya telah mendapati bahawa idea-idea saya sekarang lebih unik dan berstruktur," kata Rayn.

TEKANKAN PENTINGNYA UNTUK GURU MANFAATKAN TEKONOLOGI

Selain Chatbot AI, guru bahasa Melayu itu juga menggunakan alat penilaian pertuturan dalam Portal Pelajar (SLS) untuk menilai kemahiran lisan pelajar secara automatik.

Melalui alat penilaian itu, Encik Zulhafiz dapat memberikan maklum balas yang lebih pantas dan menyokong proses penilaiannya.

"Saya rasa sebagai seorang guru, kita tidak boleh melarikan diri daripada kenyataan bahawa teknologi itu semakin pesat berkembang dan akan terus berkembang dan akan digunakan dalam pelbagai konteks terutamanya sekali dalam bahagian pendidikan.

"Saya rasa penting untuk kami mengasah kemahiran kita dan mempertingkatkan kemahiran yang ada agar kita dapat memanfaatkan teknologi yang sedia ada untuk membantu pelajar," ujar Encik Zulhafiz.

MODUL 'AI FOR FUN' UNTUK PELAJAR

Di bawah Strategi Negara Bijak 2.0, sebuah modul baharu 'AI for Fun' juga bakal dilancarkan tahun depan bagi memperkasa para pelajar untuk meneroka dan mencuba teknologi baharu.

Ia diperkenalkan di bawah program 'Code for Fun' sedia ada yang diwajibkan di sekolah-sekolah rendah serta satu mata pelajaran pilihan peringkat menengah mulai tahun depan.

Buat masa ini, sebanyak 51 sekolah rendah dan 33 sekolah menengah yang telah melaksanakan program perintis modul 'AI for Fun'.

Antara guru yang terlibat dalam program perintis itu ialah Encik Mohammad Hazmie Ja'afar

Beliau berkata modul ini adalah peluang yang baik untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang teknologi AI.

"Ini merupakan satu wadah perkenalan bagi murid-murid untuk meninjau lebih banyak mengenai AI ini dan ini memberikan mereka satu perspektif yang berbeza. Mereka dapat memahami selok-belok di belakang tabir AI itu dan ini membuka minda mereka
lebih luas untuk memahami lebih lanjut mengenai AI," kata Encik Hazmie.

Modul baharu itu juga menurutnya satu kelainan buat pelajar berbanding pembelajaran akademik yang sedia ada.

"Para pelajar di sini dapat meraih satu pengalaman yang amat berbeza yang di mana mereka tidak dapat mengalami semasa pendidikan mereka seperti subjek akademik yang lain," tambahnya.

Sekolah Rendah Waterway juga menyokong para pelajar yang menyatakan minat dalam AI dan pengekodan dengan menubuhkan sebuah kelab yang ditawarkan sebagai kegiatan ko-kurikular (CCA) iaitu Kelab Pengekodan Robotik Media Infokom.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan