Skip to main content

Singapura

Guru akan diperkasa manfaatkan AI dengan bertanggungjawab: MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Guru akan diperkasa manfaatkan AI dengan bertanggungjawab: MOE

Berucap di Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE), Menteri Pendidikan Desmond Lee berkata guru akan diperkasa dengan kemahiran AI (Gambar: BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 02 Jul 2026 08:02PM Dikemas Kini : 02 Jul 2026 08:32PM

SINGAPURA: Guru-guru akan dibimbing tentang cara memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) secara berhemah dan bertanggungjawab.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), matlamatnya adalah untuk membantu guru membuat keputusan yang tepat tentang bila, bagaimana dan sama ada AI wajar digunakan bagi menyokong pembelajaran pelajar.

Berucap di majlis Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Rabu (1 Julai), Menteri Pendidikan Desmond Lee menekankan pentingnya guru-guru dibimbing dalam memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI).

"Sedang teknologi ini menjadi semakin canggih dan mula diterapkan dalam kurikulum kita, peranan guru sebagai pendidik akan menjadi lebih penting. Andalah yang menyemarakkan sifat ingin tahu, membentuk nilai-nilai murni dan daya tahan, serta membantu pelajar mendapatkan semula keyakinan diri. Semua ini adalah perkara yang tidak mampu digantikan oleh teknologi. Pada masa yang sama, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi boleh membantu memperibadikan pembelajaran di bawah bimbingan guru, selain menjana idea serta bahan pengajaran yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelajar." kata Encik Lee.

Maka itu, pelancaran Pelan Hala Tuju Pembelajaran Profesional Literasi AI Guru akan membantu para guru antara lain dari segi merancang sesi pengajaran di sekolah serta penilaian tugasan juga projek.

Di majlis tersebut, lebih 900 lulusan menerima watikah pelantikan mereka dalam majlis yang diadakan selama dua hari sehingga Khamis (2 Julai).

Antara mereka ialah bakal guru bahasa Melayu Nur Syafiqah Mohamed Kalib dan Qistina Muhamad Ja'afar.

DUA KALI TIDAK DITERIMA MASUK, CEKALKAN SEMANGAT BAKAL GURU GENGGAM IJAZAH

Muak disimpan, segan ditelan.

Begitulah yang dirasai Cik Nur Syafiqah Mohamed Kalib sewaktu beliau menjalani latihan praktikum di Sekolah Rendah Dazhong.

Kesukaran memesrakan diri dengan murid-murid merisaukan beliau, namun nilai kesabaran yang beliau raih daripada dua kali ditolak Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU) menjadi dorongan untuk beliau terus cekal dan bertahan.

"Pada masa itu, saya renung kembali sebenarnya kegagalan yang saya lalui dan saya rasa pada masa itu, saya sebenarnya banyak bersabar. Jadi daripada segi itu, saya rasa pengalaman saya ataupun nilai kesabaran itu sesuatu yang perlu saya titikberatkan semasa dalam fasa praktikum ini," kongsi Cik Syafiqah.

Related article image
Cik Syafiqah Mohamed Kalib gagal diterima masuk ke NIE sebanyak dua kali sebelum akhirnya diberi tawaran pada 2022 akhirnya berjaya genggam ijazah (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)

Setelah meraih lulusan diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak daripada Politeknik Ngee Ann, Cik Syafiqah memohon untuk memasuki NIE sebanyak dua kali, namun ditolak.

Beliau kemudiannya mengambil beberapa kerja sambilan seperti sebagai pekerja runcit. Namun, kepuasan pekerjaan tidak dirasakannya seperti yang pernah dirasakan sewaktu beliau menjadi guru pengganti di sebuah sekolah rendah sebelum itu.

"Semasa mengajar itu, walaupun durasinya tak begitu lama, saya rasa kepuasan yang saya rasa itu lebih menyeronokkan bagi saya, jadi saya rasa itulah pendorong utama saya," tambah beliau.

Kini, setelah akhirnya diberi tawaran oleh NIE pada kali ketiga percubaan pada 2022, Cik Syafiqah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu dan Pendidikan daripada institusi tersebut.

Selain hasil kerja keras dan ketabahan beliau sepanjang perjalanan mendapatkan ijazah tersebut, Cik Syafiqah juga akui beliau mencapai kejayaan tersebut berkat sokongan keluarga yang banyak berkorban supaya beliau dapat mencapai cita-citanya.

"Saya rasa pengorbanan itu bukan dari saya tetapi daripada keluarga saya. Saya rasa mereka banyak membantu saya dalam pelbagai aspek. Saya rasa saya tidak akan dapat ke sini hari ini tanpa pengorbanan yang dilakukan mereka," luah Cik Syafiqah jujur.

Related article image
Cik Syafiqah bersama keluarga (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)

Pemenang Hadiah Buku CCE Dr Muhammad Ariff Ahmad itu akan ditempatkan di Sekolah Rendah Princess Elizabeth.

MEMUPUK MINAT BAHASA MELAYU DALAM MURID MELALUI PEMBELAJARAN BERDASARKAN PENGALAMAN

Seorang lagi pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu dan Pendidikan daripada NIE ialah Qistina Muhamad Ja'afar.

Cik Qistina, yang akan ditempatkan di Sekolah Rendah North View, merancang untuk memupuk minat anak-anak didiknya terhadap bahasa Melayu melalui pendekatan pembelajaran berdasarkan pengalaman atau 'experiential learning'.

"Saya sangat faham apabila saya dengar pelajar tidak suka bahasa Melayu kerana mereka tidak lihat kerelevanannya ataupun begitu sukar untuk mereka sekarang kerana terlalu fasih berbahasa yang lain.

Di situ saya bawa elemen memasak, mungkin persidangan mahkamah kepada pelajar jadi mereka belajar bahasa Melayu mengikut konteks yang lebih relevan dan mereka boleh aplikasikan di masa hadapan," jelas Cik Qistina.

Related article image
Cik Qistina Muhamad Ja'afar menggunakan pendekatan pembelajaran berdasarkan pengalaman untuk menarik minat pelajar (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Cik Qistina juga berkongsi cara beliau mengajar peribahasa 'perah otak' sewaktu beliau menjalankan latihan praktikum sambil mengaitkan peribahasa kepada sejarah orang Melayu.

"Apa yang saya lakukan adalah membawa baldi, membawa tuala dan saya suruh pelajar itu memerah tuala itu untuk mereka lihat bagaimana masyarakat Melayu dahulu, mereka begitu bijak, begitu tajam pemikirannya dan begitu halus dalam cara mereka membuat patah-pepatah itu sendiri," kongsi beliau.

Cik Qistina juga berharap dapat membangunkan para pelajarnya secara holistik dengan menjalankan pembelajaran terbeza.
Sumber : BERITA Mediacorp/AK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita