'Guru agama' mengaku lakukan kesalahan seksual terhadap gadis 15 tahun
Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)
SINGAPURA: Apabila seorang wanita mendapat tahu bahawa rakan pekerja penghantar makanan dengannya juga kononnya mengajar agama di rumahnya, dia memutuskan untuk menghantar empat anaknya untuk mengikuti kelas tersebut.
Kelas tersebut sebahagiannya bertujuan mendidik anak perempuannya yang berusia 15 tahun, yang sering melarikan diri dari rumah, tetapi flat lelaki berusia 60 tahun itu kemudiannya menjadi tempat baginya untuk mendera gadis itu secara seksual selama tiga bulan.
Ia kemudian dimaklumkan bahawa lelaki itu mempunyai rentetan sabitan lalu, termasuk kesalahan mencuri dan dadah, dan telah dibebaskan daripada tempoh penahanan pencegahan - hukuman bagi pesalah yang degil demi melindungi orang ramai daripadanya.
Kamsari Jumari yang kini berusia 62 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi pada Isnin (9 Sep) atas empat tuduhan melakukan kesalahan seksual dengan mengeksploitasi kanak-kanak bawah umur. Lagi 11 tuduhan lain akan diambil kira dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.
Kamsari bukan guru agama bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Pihak pendakwaan menggesa lelaki itu dikenakan tempoh maksimum 20 tahun tahanan pencegahan dengan menegaskan dia adalah "ancaman kepada masyarakat" dan orang ramai perlu dilindungi daripadanya.
Pihak pembelaan sebaliknya memohon hukuman penjara 15 tahun, dengan tambahan lapan bulan lagi sebagai ganti kepada hukuman sebatan rotan kerana Kamsari sudah berusia lebih 50 tahun dan tidak boleh dikenakan sebatan.
RENTETAN KES
Ibu mangsa mengenali Kamsari pada lewat 2021 apabila kedua-dua mereka menghantar makanan yang dipesan. Wanita itu mendapat tahu bahawa lelaki itu juga mengajar kelas agama di rumahnya.
Pada Januari 2022, anak perempuannya melarikan diri dari rumah, sekali gus mendorong ibunya untuk membuat laporan polis.
Dia meminta bantuan Kamsari untuk mencari gadis itu, yang merupakan seorang pelajar Menengah 4.
Selepas polis berjaya membawa pulang gadis itu, ibunya mengadu kepada Kamsari dengan mengatakan dia sering melarikan diri.
Kamsari kemudian mencadangkan agar mangsa mengikuti 'kelas agamanya'.
Ibu mangsa membayar Kamsari kira-kira S$500 untuk mengajar empat anaknya dari Januari 2022 hingga April 2022.
Bagaimanapun, Kamsari mula mempunyai "tarikan seksual" terhadap mangsa.
Antara Januari dengan Februari 2022, mangsa dan adik-beradiknya pergi ke flat Kamsari untuk mengikuti kelas tersebut.
Semasa adik-beradik mangsa menonton televisyen di ruang tamu, Kamsari memanggil mangsa ke dalam bilik tidur bagi "sesi kaunseling".
Dia kemudian bertanya kepada mangsa beberapa soalan seksual dan menunjukkan video lucah di telefonnya.
Kemudian, dia memulakan perbualan seksual berbaur lucah dengan gadis itu.
Dia sering memanggil mangsa ke dalam bilik tidur ketika adik-beradiknya menonton televisyen di ruang tamu dan mencabulnya.
Tindakannya mula berubah menjadi "semakin intrusif". Gadis itu mematuhi arahan Kamsari untuk tidak memberitahu sesiapa kerana berasa dia "membuat kesilapan" dan takut akan dimarahi bapanya.
Kamsari memberitahu gadis itu bahawa "seks biasa" boleh membawa kepada kehamilan dan sebaliknya mencadangkan perbuatan seks lain.
Pada Mac 2022, mangsa melarikan diri dari rumah dan berhenti menghadiri kelas Kamsari.
Sekitar 13 Apr 2022, ibu mangsa memberitahu Kamsari bahawa gadis itu telah pulang ke rumah.
Kamsari berkata dia bimbang tentang gadis itu, kerana remaja berkenaan sebelum ini mengaku kepadanya bahawa dia telah minum minuman keras.
Atas permintaannya, ibu mangsa memberikan nombor telefon bimbit anaknya, dengan harapan Kamsari akan menasihati dan membimbing gadis itu.
Keesokan harinya, Kamsari menghubungi gadis itu di Telegram semasa dia berada di sekolah. Dia bertanya sama ada ibunya menyemak mesejnya dan mencadangkan menggunakan aplikasi sembang Telegram untuk berkomunikasi, kerana ia "lebih peribadi".
Dia tahu bahawa dia boleh memadamkan mesej di Telegram dan tidak mahu orang lain melihat apa yang dihantar kepada mangsa.
Pada 17 Apr 2022, ibu mangsa memeriksa telefon anak perempuannya dan terkejut apabila menemui mesej Telegram seksual berbaur lucah yang dihantar Kamsari kepada anak perempuannya itu.
Mesej tersebut merangkumi permintaan Kamsari kepada gadis itu untuk melakukan "projek" yang melibatkan perbuatan seksual dengannya dan bertanya sama ada dia mahu menonton video rakannya melakukan hubungan seks dengan suaminya.
Ibu mangsa bersemuka dengan anak perempuannya. Gadis itu mendedahkan bahawa Kamsari telah mencabulnya secara seksual semasa 'kelas agama'.
Ibu mangsa membawanya ke balai polis pada hari yang sama untuk membuat aduan.
Hakim Dedar Singh Gill mengarahkan agar satu laporan dikemukakan mengenai keadaan fizikal dan mental Kamsari, serta kesesuaiannya bagi menjalani tahanan pencegahan.
Hukuman ditangguhkan sehingga laporan tersebut dikemukakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.