Guru 28 sekolah persiap bagi kohort yang tidak dibahagi kepada Ekspres, Normal, N(T)
28 sekolah menengah peneraju bakal melaksanakan sistem Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) mulai Januari tahun depan. Menerusi sistem baru itu, para pelajar yang memohon masuk ke sekolah-sekolah berkenaan tidak akan disalurkan mengikut aliran Ekspres, Normal Akademik (NA) dan Normal Teknikal (NT).
SINGAPURA: Tinggal sekitar tujuh minggu lagi sebelum 28 sekolah menengah peneraju melaksanakan sistem Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) mulai Januari tahun depan.
Menerusi sistem baru itu, para pelajar yang memohon masuk ke sekolah-sekolah berkenaan tidak akan disalurkan mengikut aliran Ekspres, Normal Akademik (NA) dan Normal Teknikal (NT).
Jadi, bagaimana persediaan para pelajar terlibat? Bagaimana juga persiapan para guru yang akan mengajar kelas-kelas dengan format baru itu, yang mempunyai pelajar dengan pelbagai tahap keupayaan.
BERITAmediacorp dimaklumkan, para guru terlibat sudahpun menjalani latihan Pembangunan Profesional (PD) baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi perubahan-perubahan itu.
1 BILIK DARJAH KUMPULKAN BERLAINAN PELAJAR
Sebelum ini, para pelajar menengah satu di Sekolah Menengah Ping Yi dikategorikan mengikut aliran Express, Normal Akademik (NA) dan Normal Teknikal (NT).
Mulai tahun depan, kumpulan kelas akan mempunyai campuran pelajar yang pelbagai.
Di bawah sistem Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) mereka akan dikelompokkan ke dalam satu bilik darjah bagi mata pelajaran seperti Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan, Reka Bentuk dan Teknologi serta Pendidikan Jasmani.
Namun, bagi mata pelajaran kemanusiaan, seperti geografi, sejarah dan sastera Bahasa Inggeris mereka boleh mengambilnya di tahap lebih mencabar berdasarkan kekuatan masing-masing.
Begitu juga dengan subjek teras mereka yakni Bahasa Inggeris, Matematik, Sains atau Bahasa Ibunda yang boleh diambil di tahap yang lebih tinggi.
Jadi, apa kata para pelajar Sekolah Menengah Ping Yi tentang perubahan itu?
"Kita dapat mempelajari banyak tentang kelas-kelas lain dan saya dapat mengenali rakan-rakan saya lebih baik kerana cara pembelajaran mereka agak lain dari saya.
"Dengan memahami bagaimana mereka pelajari saya boleh menolong mereka memahami pelajaran yang disampaikan, ini juga boleh menolong saya untuk bekerjasama dengan lebih baik bersama pelajar-pelajar dari kelas yang lain," kongsi Nur Izzatul Batrisya Sofian.
Bagi Aqif Daanial Shaifulazmi pula, perubahan tersebut baik memandangkan dia dapat mendengar perspektif pelajar dari aliran, dan pendekatan itu membuatkan kelas lebih seronok.
Pandangannya itu disetujui oleh seorang lagi pelajar, Mohamad Feroz Mohamad: "Pihak sekolah telah menyediakan aktiviti untuk kami mengeratkan hubungan antara satu sama lain."
GURU JALANI PEMBANGUNAN PROFESIONAL
Bagi memastikan para guru bersedia untuk mengajar pelajar yang berlainan kekuatan, sesetengah daripada mereka sudahpun menjalani latihan Pembangunan Profesional (PD) sejak Jun lalu.
Cikgu Tengku Nurhudah Tengku Mohamed Khalis misalnya, menjalani bengkel serta latihan dengan guru-guru lain pada setiap minggu bagi membincangkan tentang strategi, amalan, dan pendekatan terbaik yang boleh diterapkan di dalam bilik darjah.
Salah satu cabaran juga adalah cara menggalak interaksi positif di kalangan pelajar yang berlainan kekuatan.
(Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)
"Kami akan berkumpul dan membincangkan tentang bahan-bahan pengajaran yang ada dan juga cabaran-cabaran yang mungkin kami hadapi di dalam kelas, dan bagaimana kami dapat menangani masalah atau cabaran tersebut. Dengan bantuan guru-guru lain, kami mewujudkan dan membina bahan-bahan pengajaran yang lebih bermakna dan lebih berguna kepada para pelajar.
"Maka itu, kami menjadi lebih konfiden dalam menjalankan pengajaran di kelas dari pelbagai aliran," kongsi Cikgu Tengku Nurhudah.
MENEPIS STIGMA PELAJAR BERBEZA ALIRAN
Mengulas tentang perubahan struktur kelas yang membolehkan pelajar dari aliran berbeza belajar dalam kelas yang sama, Cikgu Tengku Nurhudah berpendapat ia merupakan satu langkah genting dalam "menepis stigma" dalam kalangan para pelajar berbeza aliran.
"Saya rasa ini adalah satu perubahan yang baik kerana ada usaha di mana pelajar-pelajar dapat menepis stigma dari pelajar-pelajar dari aliran lain, dan juga saya rasa mereka dapat bergaul antara satu sama lain dengan lebih positif dalam suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan," tekannya.
Sekolah Menengah Ping Yi adalah antara 28 sekolah yang menjadi peneraju SBB, yang akan dilancarkan secara rasmi menjelang 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.