Gurmit Singh didenda, diharamkan memandu 3 bulan; pecut kereta hingga 131km/sejam
Selebriti tempatan Gurmit Singh pada Selasa (8 Jun) didenda S$800 dan diharamkan daripada memandu selama tiga bulan kerana memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Selebriti tempatan Gurmit Singh pada Selasa (8 Jun) didenda S$800 dan diharamkan daripada memandu selama tiga bulan kerana memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
Pelakon dan penyampai berusia 56 tahun itu yang lebih dikenali melalui watak rancangan komedi Phua Chu Kang, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan raya kerana memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
Dia memandu pada kelajuan 131 kilometer sejam pada kira-kira pukul 9.30 malam pada 12 April lalu di Woodlands Avenue 12 menghala ke Ekspreswe Seletar, di sebatang jalan raya di mana had kelajuannya adalah 70 kilometer sejam, mahkamah diberitahu.
Singh yang nama sebenarnya ialah Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, tidak diwakili oleh peguam dan hadir di mahkamah memakai kemeja lengan panjang berwarna kelabu dan seluar panjang.
Pihak pendakwa mengusulkan agar Singh diharamkan daripada memandu dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan hukumannya. Pendakwa berkata Singh tidak mempunyai sebarang sabitan sebelum ini.
Singh memberitahu mahkamah bahawa dia memandu ketika itu untuk mengambil anak lelakinya daripada tempat kerja di mana anaknya sedang menjalani program latihan amali apabila Singh terdengar "bunyi kepakan" pada keretanya.
"Setelah saya mengambilnya, saya mahu dia mendengar bunyi itu dan saya menyedari bunyi itu hanya boleh didengari pada kelajuan 100 kilometer sejam," katanya.
"Tentu sekali saya tidak bermaksud bahawa saya seharusnya memandu pada kelajuan itu di jalan raya, namun ia hanya bagi jarak yang singkat. Saya tidak tahu bagaimana saya boleh mencecah kelajuan 131, saya sendiri tidak dapat menjelaskannya, namun saya mohon pihak mahkamah dapat memahami bahawa saya bukan seorang pemandu cuai yang kerap melakukannya. Ia hanya satu kejadian sekali sahaja yang saya mahu anak lelaki saya mendengar bunyi itu."
Hakim Daerah Salina Ishak memberitahu Singh bahawa dia berisiko mengancam nyawa anak lelakinya dan nyawa dirinya sendiri.
"Saya faham, puan hakim. Saya menyesali perbuatan saya," kata Singh.
Singh baru-baru ini menghidupkan semula wataknya sebagai kontraktor ubah elok Phua Chu Kang bagi satu lagu yang menyokong vaksinasi terhadap COVID-19.
Hukuman bagi kesalahan memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan adalah hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya sekali bagi pesalah kali pertama.
Hukuman itu digandakan bagi pesalah berulang. Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan boleh diharamkan daripada memandu bagi apa sahaja tempoh yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.