Gunakan pelbagai deria untuk perbaiki penguasaan Bahasa Melayu dalam bengkel "Lakarkan Bunyian"
Dari mendengar bunyi atau alunan muzik, kemudian diterjemahkan dalam bentuk lukisan dan menceritakan hasil kreatif itu.
Itulah yang dapat dilakukan para peserta bengkel "Lakarkan Bunyian" yang diadakan sempena Bulan Bahasa.
Bengkel tersebut dikelolakan oleh Element Pictures dan berlangsung selama hampir dua jam di Kelab Masyarakat Tampines West pada Ahad (3 Sep).
Seramai 18 pelajar berumur 10 hingga 16 tahun mendapat bimbingan oleh tiga jurulatih utama iaitu Cik Wahyu Rahman (Bahasa), Encik Adi Yadoni (Seni), dan Cik Liyana Zainal (Bunyi).

"Kami sebenarnya menggalakkan para peserta untuk menggunakan bahasa Melayu dalam suasana atau keadaan yang seronok dan dengan menggunakan cara pendengaran yang mudah, mereka dapat meluahkan emosi mereka, meluahkan kreativiti mereka dengan cara yang bebas," kata Ketua Jurulatih & Penerbit bengkel "Lakarkan Bunyian", Wahyu Rahman.
Pengarah Kreatif bengkel ini, Adi Yadoni turut menekankan kepentingan bahasa Melayu buat generasi muda.
"Rata-rata kita tahu yang anak-anak sekarang tidak gemar menggunakan bahasa Melayu jadi kita paksa mereka untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan," kata Encik Adi.

Melalui aktiviti seperti meniru bunyi dan berkomunikasi menerusi lukisan, para peserta dapat mempelajari asas komunikasi, lukisan dan cara pendengaran yang berkesan.
Mereka yang hadir sempat meluahkan keterujaan dapat mempelajari bahasa dan berinteraksi dengan rakan-rakan.
"Dalam acara ini saya pelajari untuk berkongsi idea-idea saya dengan teman-teman saya, saya pun dapat melukiskan gambar dengan mendengar muzik. Saya pun dapat belajar banyak dan memperkasa bahasa saya," kata peserta, Muhammad Ihtisam Jaapar, 12 tahun.
Para peserta juga berharap bengkel sebegini dapat terus diadakan pada masa hadapan.

"Saya akan mengajak kawan-kawan saya yang lain supaya bengkel ini akan dijalankan dengan lebih meriah kerana lebih ramai orang. Saya berpendapat yang mereka juga akan mempelajari sesuatu yang baru dan sebab itu saya menggalakkan mereka supaya menghadiri bengkel ini," kata peserta, Nur Hidaina Muhammad Noor Hisyam, 12 tahun.
Selain membawa pulang hasil karya mereka di akhir bengkel tersebut, para peserta juga dapat mempelajari kosa kata baharu yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
PENDEKATAN PEMBELAJARAN BAHARU
Selaras dengan pengumuman kurikulum yang dikemaskini oleh Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada 26 Ogos lepas, bengkel itu juga memperkenalkan elemen-elemen menarik dalam pembelajaran.
Dengan memberikan suntikan unik dan menyeronokkan buat para peserta, ia diharapkan dapat meluaskan lagi pengetahuan tentang bahasa ibunda para peserta.
"Apa yang uniknya tentang bengkel ini adalah peserta dapat menggunakan deria mereka untuk berkarya. Mereka harus mendengar dan selepas itu harus melakarkan satu lukisan, dengan lukisan itu, mereka akan berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu," kata Encik Adi Yadoni.
Ketua Jurulatih Element Pictures, Cik Wahyu Rahman berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa mereka sudah mengelolakan hampir 35 bengkel serupa dan melibatkan diri dalam Bulan Bahasa sejak tahun 2019.
Mereka juga dalam perancangan untuk memperluaskan jangkauan mereka untuk meliputi lebih ramai peserta daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.
"Bengkel-bengkel yang selalu dikendalikan oleh Elements Pictures sentiasa terbuka untuk berbagai peringkat dan untuk “Lakarkan Bunyian” ini bukan hanya untuk umur daripada 10 hingga 16. Kita juga pernah lakukannya untuk dewasa. Memang kita ada niat, ada tujuan untuk memperluaskan lagi bengkel-bengkel kita secara am," kata Cik Wahyu Rahman.
Bengkel "Lakarkan Bunyian" ini adalah sebahagian daripada usaha dan penglibatan Element Pictures dalam Bulan Bahasa tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.