Gunakan lagu dan tarian antara cara pupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak
Ini lagi-lagi apabila ia dipersembahkan dengan lagu-lagu dan tarian.
Kelainan tersebut cuba dilakukan Cik Rafidah Jalil menerusi Program Kak Fifi & Mimi yang dimulakannya.
"Persembahan 'live' Kak Fifi dan Mimi bertujuan untuk menghidupkan video-video pembelajaran kami secara langsung supaya kanak kanak boleh berhibur dan belajar dengan kami melalui lagu-lagu, tarian dan juga melalui animasi," kongsi Pengasas Program Kak Fifi & Mimi, Rafidah Jalil.
Beliau juga mahu kanak-kanak dan ibu bapa keluar dari kepompong keselesaan dan cuba gunakan bahasa Melayu dalam bidang-bidang STEM.
Ini yang menarik ramai ibu bapa dan kanak-kanak menonton video-video Kak Fifi & Mimi di TikTok dan YouTube sehingga meraih lebih 123,000 tontonan.
"Kami mahu fokuskan program kami dengan STEM dengan bahasa Melayu kerana saya seorang ibu dan ada tiga orang anak kecil dan saya mendapati bahawa ia amat sukar untuk mendapatkan kandungan STEM dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan juga sejajar dengan apa yang mereka pelajari di sekolah.
"Jadi dengan suami saya kami menubuhkan program Kak Fifi dan Mimi supaya kanak-kanak kita dapat berhibur dengan sains, matematik dengan bahasa Melayu sebagai satu sambungan daripada apa yang mereka sudah pelajari di sekolah," jelasnya kepada wartawan Nurfazirah Azman.
"Program kami selain daripada konsep-konsep pembelajaran, kami juga menggabungkan lagu-lagu dan juga tarian-tarian yang mereka (kanak-kanak) boleh mengikuti dan berhibur di rumah. Mereka boleh membuat TikTok dengan tarian kami, jadi kami cuba mengetengahkan elemen-elemen moden di dalam pembelajaran supaya ia boleh menarik perhatian kanak-kanak," kata Cik Rafidah.
Watak Kak Fifi dimainkan Cik Rafidah yang bertutur dalam bahasa Ingeris manakala watak Mimi merupakan animasi dron yang bertutur dalam bahasa Melayu.
"Kami mereka program ini supaya kanak-kanak yang mungkin lebih lemah dalam bahasa melayu masih boleh mengikuti melalui bahasa inggeris dan mereka juga tetap didedahkan kepada bahasa ibunda mereka," kongsi Cik Rafidah.
Sempena Pesta Asia bagi Kandungan Kanak-Kanak (AFCC), para hadirin dapat menonton persembahan Kak Fifi d& Mimi secara langsung di Perpustakaan Negara (NLB) pada Ahad (26 Mei).
Persembahan selama sejam itu juga mengetengahkan elemen-elemen moden dalam pembelajaran.
‘INGIN TAHU’ JADI TEMA AFCC KE-15
Dalam edisi ke-15 AFCC yang bertemakan ‘Ingin Tahun’, ibu bapa dan anak-anak mereka dapat menimba pelbagai ilmu dan kenali strategi-strategi bagi memupuk dan menyemai minat membaca dalam diri kanak-kanak pada usia muda.
Acara tahun ini dianjurkan bersama oleh Majlis Buku Singapura (SBC) dan AFCC Filipina dan memberi tumpuan kepada tenaga pengajar dan ibu bapa.
"Sifat 'ingin tahu' ini adalah asas kepada kreativiti dan imaginasi, jadi kami inginkan pereka, penulis buku kanak-kanak dan kanak-kanak untuk ada sifat ingin tahu untuk meneroka dan belajar melalui buku dan sastera.
"Jadi program-program kami tahun ini memberi banyak tumpuan kepada pelbagai pekara mengenai persekitaran dan sifat peka serta kesedaran tentang cara untuk pelajari kepelbagaian bahasa," ujar Pengarah Eksekuif Majlis Buku Singapura (SBC), William Phuan.
JUMAINI ARIFF LANCAR 3 BUKU CERITA, 3 KAD CERITA
Selain teknik penceritaan, bahan-bahan dan cara kandungan disusun juga penting untuk menarik minat membaca dalam diri kanak-kanak.
Untuk menambah koleksi bahan bacaan bagi kanak-kanak, lagi tiga buku Melayu bergambar untuk kanak-kanak dan tiga kad cerita turut dilancarkan pada Ahad (26 Mei) oleh penulis Jumaini Ariff sempena AFCC.
"Tiga buku ini berkisahkan tentang haiwan yang sebenarnya melalui fasa-fasa kehidupan yang mana mereka rasa kurang percaya diri dan selepas itu ada juga yang merasakan seperti mereka tidak berani untuk kehadapan.
"Tiga kad cerita, yang ala-ala kad 'kabishiba' iaitu kad cerita Jepun, apa yang ada di hadapan ialah lukisan dan bahagian belakang ada narasi untuk para guru bercerita," kongsi Cik Jumaini.
Keistimewaan karya-karya yang dihasilkan itu bukan sahaja terletak kepada watak tetapi kesempatan untuk mengadakan perbincangan antara ibu bapa dengan anak selepas buku itu habis dibaca.
"Karya-karya ini unik sedikit, selain daripada watak-watak yang unik, ia juga kerana buku ini ada ungkapan di belakang buku mengenai 'conversational cues' ataupun panduan untuk berbincang kerana masalah kedwibahasaan yang berlaku dan juga masalah kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu semakin ketara.
"Sebagai seorang tenaga pengajar, saya memasukkan sekali unsur-unsur di mana para guru, para ibu bapa boleh gunakan panduan itu untuk mengajar anak-anak berbincang mengenai watak-watak dan selepas itu, sambungkan perbincangan itu kepada apa yang mereka lalui di dalam kehidupan," kata Cik Jumaini.
Buku-buku dan kad-kad itu menurut penulis mengambil masa hampir empat tahun untuk dihasilkan.
Ini kerana Cik Jumaini perlu menjalani rawatan bagi penyakit autoimun yang melanda penulis secara tiba-tiba pada 2020.
Namun ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan kandungan dan pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak.
"Saya bertekad kalau sekiranya diizinkan Allah jika diberikan kesihatan kembali saya akan terus berbakti selagi daya ada di badan," kata Cik Jumaini.
BENGKEL UNTUK IBU BAPA PELAJARI STRATEGI PUPUK MINAT MEMBACA DALAM KANAK-KANAK
Di AFCC itu juga, ibu bapa boleh mengikuti pelbagai bengkel dan antara ialah bengkel 'Menyemarakkan cinta untuk membaca melalui bercerita!' oleh Cik Noretta Jacob dan Cik Nori Ismail Bocquillion.
"Antara elemen menarik dalam bengkel ini termasuk latihan bercerita interaktif, penggunaan alat bantu visual seperti buku bergambar, props, serta teknik bercerita yang melibatkan ekspresi muka dan intonasi suara. Kami juga menyediakan sesi praktikal di mana ibu bapa boleh mempraktikkan kemahiran bercerita mereka dengan bimbingan kami," kata Cik Nori.
Selain mempelajari tentang seni bercerita, pasangan itu juga mengongsikan strategi membaca yang berkesan kepada mereka yang hadir.
"Antara strategi membaca berkesan adalah membaca bersama anak secara konsisten setiap hari, memilih buku yang sesuai dengan umur dan minat anak serta menggalakkan anak untuk bertanya soalan dan berbincang mengenai cerita yang dibaca. Selain itu, menjadikan membaca sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif juga sangat penting," kongsi Cik Nori.
"Memupuk semangat dan minat membaca pada kanak-kanak dari usia muda adalah penting kerana ia membantu dalam perkembangan kognitif, bahasa dan emosi mereka.
"Membaca juga meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti, serta membina asas yang kukuh untuk pembelajaran di masa hadapan. Dengan minat membaca yang mendalam, kanak-kanak akan lebih cenderung untuk menjadi pelajar yang berjaya dan berpengetahuan luas," kongsi Cik Nori.
Sepanjang empat hari AFCC diadakan di Perpustakaan Negara, lebih 8000 hadirin sudah memanfaatkan program-program yang disediakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.