Skip to main content

Singapura

Guna baucar SingapoRediscovers teroka semula masjid lama dan warisan masyarakat Melayu/Islam

Syarikat Shahidah Travel & Tours merupakan satu-satunya ejen pelancongan Melayu/Islam yang ikut serta dalam inisiatif teroka semula Singapura, SingapoRediscovers. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Dec 2020 07:56PM Dikemas Kini : 12 Dec 2020 09:31PM

BERITAmediacorp: Syarikat Shahidah Travel & Tours merupakan satu-satunya ejen pelancongan Melayu/Islam yang ikut serta dalam inisiatif teroka semula Singapura, SingapoRediscovers.

Berbekalkan tiga sesi kembara dalam negara, program anjuran syarikat itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat berbilang kaum Singapura.

Sehingga bulan Jun tahun depan, syarikat itu menawarkan sesi-sesi lawatan setiap minggu pada Rabu dan Sabtu.

LAWATAN KE MASJID-MASJID 'KAMPUNG'

Related article image

Tahukah anda Masjid Hang Jebat yang terletak di kawasan Queensway bermula sebagai sebuah surau pada 1952 bagi askar-askar Regimen Melayu waktu itu?

Ia juga terletak beberapa meter sahaja dari bekas landasan kereta api Melayu (KTM).

Di kawasan Utara pula, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dibina hasil titik peluh penduduk kawasan Sembawang itu sendiri pada 1963.

Ia juga merupakan antara masjid yang masih mengekalkan suasana kehidupand kampung di tengah-tengah kesibukan bandar.

Kisah-kisah nostalgia sedemikian antara yang dikongsi dalam pakej kembara sehari ke tiga masjid anjuran agensi pelancongan Shahidah Travel & Tours.

Dianjurkan sebagai sebahagian daripada program baucar teroka semula Singapura, SingapoRediscovers, pakej berharga S$100 itu selebihnya bertujuan memperkenalkan budaya Melayu/Islam kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

Penolong Pengurus Shahidah Travel & Tours, Sumini Mocheny berkata:"Semua orang sudah tahu tentang masjid tetapi bagi lawatan masjid ini, mereka tidak tahu masjid-masjid yang ada ciri-ciri kampung. Seperti ramai yang tidak tahu di mana terletaknya Masjid Petempatan Melayu Sembawang ini.

"Jadi saya harap masyarakat Singapura dapat datang ke sini dan sama-sama lihat masjid-masjid ini, mengenali sejarahnya dan membantu masjid-masjid ini juga."

Lokasi terakhir bagi lawatan tersebut adalah di Surau Al-Firdaus di Kampong Lorong Buangkok.

Surau yang dibina pada 1953 itu menjadi tempat di mana para peserta akan dapat mempelajari penulisan huruf Jawi serta cara membuat kueh abok-abok.

Salah seorang peserta lawatan itu, Wern Fiona yang berbangsa Cina berkata: "Saya ada teman-teman Melayu/Islam tetapi apa yang kita dengar selalunya daripada perbualan jadi amat menarik sekali dapat mengalaminya sendiri."

Cik Zainah Wahab yang turut mengikut serta lawatan itu menambah: "Saya rasa lawatan masjid ke masjid seperti ini baik, kita tidak biasa masuk ke masjid perkampungan jadi kita boleh lihat suasana kampung dan dengan cara tidak langsung kita dapat lihat suasana kampung."

TIGA LAWATAN KEMBARA DITAWARKAN

Related article image

Selain daripada pakej lawatan ke masjid, syarikat Shahidah Travel & Tours juga menyediakan dua lagi pakej lawatan - iaitu lawatan ke Geylang Serai serta lawatan menikmati sajian makanan, 'Foodhunt' di Kampong Gelam.

Bagi lawatan ke Geylang Serai, para peserta akan meluangkan sekitar tiga jam di Wisma Geylang Serai untuk menyelongkar sejarahnya sambil berpeluang menikmati beberapa hidangan tempatan di sana.

Disamping itu, para peserta juga akan menonton persembahan tarian dan pertunjukan silat sebagai penutup acara.

Pakej tersebut bernilai S$65 setiap seorang.

Bagi lawatan menikmati sajian makanan di Kampong Gelam pula, para peserta akan diajak mengunjungi sehingga enam kedai makan di kawasan itu.

Antara kedai makan yang disenaraikan termasuk kedai Nasi Pariaman dan restoran Sabar Menanti.

Lebih daripada hanya bersantap sepanjang hari, para peserta juga berpeluang untuk mempelajari cara membuat Nasi Kerabu!

Pakej lawatan ke Kampong Gelam itu bernilai S$100 setiap seorang.

Lawatan-lawatan itu boleh menggunakan baucar SingapoRediscovers, dan tempahan boleh dibuat di laman syarikat Shahidah Travel & Tours https://www.shahidahtravel.com/.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita