Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guna AI untuk teliti suara & corak pertuturan pesakit bagi kenal pasti gejala awal kemurungan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gejala awal bagi kemurungan dalam warga emas kini boleh dikesan menerusi suara dan corak pertuturan mereka.

Dalam sebuah program rintis yang dipanggil 'Soundkeepers', rakaman suara pesakit akan digunakan dan diteliti oleh alat Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti gejala awal bagi kemurungan yang dialami mereka.

Program rintis itu diusahakan oleh tujuh rakan kongsi daripada sektor jagaan kesihatan dan sosial.

Ini termasuk Kelab HEAL, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Kolej Pengkomputeran dan Data Sains (CCDS), Poliklinik Jagaan Kesihatan Nasional (NHGP), Institut Kesihatan Mental (IMH), Yayasan Lien dan Khidmat Masyarakat Fei Yue.

Badan-badan itu bekerjasama untuk membangunkan alat AI itu untuk meneliti rakaman suara sebagai penanda biologi atau 'biomarker' untuk menilai sama ada warga emas itu mempunyai kemurungan atau sindrom kemurungan.

Ini dengan meneliti nada suara dan corak pertuturan individu itu untuk mengesan perubahan fisiologi yang ada kaitan dengan kemerosotan prestasi mental seseorang.

Ia juga menyasarkan untuk mengesan dan menangani gejala awal kemurungan melalui pemeriksaan dan campur tangan masyarakat di peringat yang dikenali sebagai kemurungan 'subsyndromal' (SSD).

SSD disifatkan sebagai tanda awal kemurungan yang tidak begitu ketara tetapi boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius jika ia tidak ditangani dengan lebih awal.

SASAR DAPATKAN 600 PESERTA WARGA EMAS

Program rintis itu akan melibatkan lebih 600 warga emas dan disasarkan untuk membantu individu berumur 55 tahun ke atas yang mengalami SSD.

Mereka akan dikenal pasti oleh oleh Poliklinik Jagaan Kesihatan Nasional (NHGP) dan Institut Kesihatan Mental (IMH).

"Apa yang menarik tentang teknologi 'biomarker' suara berasaskan AI ini ialah ia bukan sahaja menyediakan kaedah yang tidak memerlukan pembedahan <<non-invasive>>untuk menilai kesihatan mental tetapi juga membuka ruang untuk memulakan perbualan tentang isu-isu kesihatan mental yang sering dianggap tabu ataupun tidak disedari.

"Dengan mengesan gejala awal, kami boleh menyediakan sokongan yang tepat pada masanya dan menghalang keadaan daripada bertambah teruk," kongsi Pengurus Program Kesejahteraan Pemulihan (RWP) Kelab HEAL, Rabi'atull Syerida Juma'at kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Beliau turut menekankan bahawa pengesanan awal di poliklinik dengan sokongan masyarakat akan membolehkan individu itu untuk menerima penjagaan yang berterusan.

CLUB HEAL BERDEPAN CABARAN DEKATI WARGA EMAS

Selain pembangunan alat AI dan mengesan keberkesanannya, komponen kedua program SoundKeepers itu adalah untuk menilai usaha intervensi masyarakat sepanjang 24 minggu.

Ini akan dijalankan oleh Kelab HEAL, Agensi Perkhidmatan Sosial dan Perkhidmatan Masyarakat Fei Yue.

"Kami berharap dapat menghapuskan stigma yang menyelubungi kesihatan mental, memudahkan warga emas untuk melihat kesihatan mental sebagai sebahagian daripada kesejahteraan keseluruhan mereka dan lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan," kongsi Cik Syerida.

Matlamat utama Club HEAL menurutnya adalah untuk menyediakan sokongan yang menyeluruh kepada warga emas secepat mungkin bagi kesejahteraan mereka.

Cik Syerida berkongsi bahawa cabaran utama untuk mendapatkan warga emas untuk sertai program itu adalah kerana kurangnya pendedahan kepada penyakit mental.

"Salah satu cabaran utama yang dihadapi ialah sikap menafikan serta kurang kesedaran mengenai masalah kesihatan mental di kalangan warga emas dan penjaga mereka.

"Ramai warga emas mungkin menganggap kemurungan sebagai proses penuaan yang normal manakala penjaga mungkin tidak menyedari gejala atau meremehkannya. Ini menyukarkan usaha kami untuk meyakinkan mereka tentang keperluan mendapatkan bantuan," kongsi Cik Syerida.

Beliau berharap agar program itu dapat dikembangkan untuk memberikan bantuan yang lebih komprehensif buat warga emas.

"Kami juga berharap untuk melihat program ini berkembang menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan yang lebih besar, di mana pengesanan awal digabungkan dengan campur tangan masyarakat yang komprehensif.

"Dengan ini, kami boleh memastikan bahawa warga emas bukan sahaja menerima rawatan tetapi juga terlibat dalam aktiviti sosial yang bermakna yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan memuaskan," kata Cik Syerida.

Program rintis itu sudah dimulakan sejak 3 Mei lalu dan melibatkan para penduduk di kawasan Hougang dan Woodlands.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan