Skip to main content

Singapura

Guna AI dalam penterjemahan secara seimbang, bagi pastikan ketepatan, kefahaman masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Guna AI dalam penterjemahan secara seimbang, bagi pastikan ketepatan, kefahaman masyarakat

Penggunaan AI secara seimbang boleh membantu usaha penterjemahan. (Gambar: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital)

SINGAPURA: Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam penterjemahan perlu ditangani secara seimbang.

Ini sedang usaha memperkukuh dan menyeragamkan istilah Bahasa Melayu terus dipergiat bagi memastikan ketepatan dan kefahaman masyarakat.

Ketua Panel Rujukan Bahasa Melayu (MRP), Dr Mukhlis Abu Bakar, berkata demikian di samping satu seminar bahasa berkenaan penyelarasan istilah-istilah Bahasa Melayu pada Khamis lalu (2 Apr).

Dr Mukhlis berkata: "Kita harus berani menerima AI sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Kalau dulu, kita ada internet. Mula-mula banyaklah yang tidak setuju bahawa internet itu digunakan. Tetapi lama kelamaan, ia adalah satu kemudahan yang membantu dan memanfaatkan kita semua."

Dr Mukhlis akur bahawa ia boleh membantu dalam usaha penterjemahan dan penyelarasan.

Menurut beliau, AI mempunyai potensi untuk membantu mereka yang kurang faham tentang sesuatu perkara untuk mendapat makna yang lebih tepat, namun, harus digunakan secara sederhana.

"Jadi AI itu ada sebagai suatu teknologi yang boleh kita gunakan untuk membantu melancarkan lagi usaha kita untuk menghasilkan terjemahan yang lebih baik lagi," kata Dr Mukhlis.

"Tapi kalau kita bergantung sangat kepada AI, maka itu tidak akan memakmurkan lagi keupayaan kita untuk menggunakan bahasa Melayu," tambah beliau lagi.

ISTILAH PERLU SESUAI DENGAN KONSEP

Seminar yang bertajuk 'Pembentukan dan Penyelarasan Istilah Melayu' itu telah dibentangkan oleh Zamil Penyelidik dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Junaini Kasdan.

"Untuk peristilahan ini atau terminologi, antara proses yang perlu kita lalui adalah kita perlu faham dahulu apa sebenarnya istilah tersebut. Kemudian kita bentukkan istilah itu sesuai dengan dengan konsep sebab istilah itu sangat berkait dengan konsep. Jadi kita perlu lihat konsepnya dulu baru kita terjemahkan ataupun kita pindahkan dia ke dalam bahasa Melayu," kongsi Dr Junaini
Related article image
Zamil Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Junaini Kasdan. (Gambar: Hidir Ezat)
"Jadi ada peraturan untuk kita membentuk istilah dalam bahasa Melayu. Sebab itu kalau kami di di Malaysia, kita menggunakan pedoman umum pembentukan istilah bahasa Melayu. Jadi dalam pedoman itu ada beberapa langkah yang memang kita perlu patuhi. Jadi sebagai penggubal istilah langkah langkah itu perlu kita patuhi dengan teliti supaya tujuannya adalah untuk kita membentuk istilah yang betul, yang tepat," tambahnya lagi.

Seminar itu diadakan bagi memperkukuhkan lagi penterjemahan istilah-istilah Bahasa Melayu.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Panel Rujukan Bahasa Melayu (MRP) untuk memperdalam perbincangan mengenai kepentingan menterjemahkan istilah dengan cara yang tepat, konsisten dan sesuai dengan konteks tempatan.

Menurut Dr Mukhlis, selain memperbincangkan kepentingan penterjemahan, seminar tersebut turut menyediakan platform kepada pihak-pihak berkepentingan.

"Seminar ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MRP untuk memperdalam perbincangan mengenai kepentingan untuk menterjemahkan istilah istilah itu dengan cara yang tepat, konsisten dan sebaik-baiknya, yang sesuai dengan konteks tempatan," kata Dr Mukhlis.

"Seminar ini juga menyediakan platform bagi pihak pihak yang berkepentingan seperti Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) di Majlis Bahasa, agensi-agensi masyarakat yang lain untuk sama-sama membincangkan cara untuk meningkatkan lagi usaha untuk menterjemahkan istilah-istilah dengan cara yang konsisten yang tepat," kata beliau lagi.

Beliau turut menambah bahawa hal ini demikian kerana terjemahan memainkan peranan yang penting, khususnya dalam membantu masyarakat memahami dasar kementerian. Dengan penggunaan istilah yang tepat, masyarakat akan lebih mudah memahami mesej yang ingin disampaikan oleh pihak pemerintah.

GUNAKAN BAHASA MELAYU SEKERAP MUNGKIN, KEKALKAN KEFAHAMAN

Menurut Dr Mukhlis, cabaran utama yang dihadapi pada masa sekarang ialah sebahagian besar konsep-konsep yang mempengaruhi penterjemahan adalah menerusi bahasa Inggeris.

"Untuk menggunakan istilah-istilah itu dalam bahasa Melayu, maka ada keperluan untuk memastikan bahawa istilah yang diterjemahkan itu adalah terjemahan yang tepat yang dapat difahami dan diguna pakai dalam konteks setempat," kata Dr Mukhlis.
Related article image
Ketua Panel Sumber Bahasa Melayu (MRP), Dr Mukhlis Abu Bakar. (Gambar: Hidir Ezat)
Tambahnya lagi, hal ini penting bagi mengelakkan perbezaan tafsiran terhadap sesuatu istilah.

Selain itu, penggunaan istilah yang selaras antara pelbagai badan juga amat penting.

Keseragaman itu menurut Dr Mukhlis, memastikan bahawa istilah yang digunakan membawa makna dan bentuk yang sama, sekali gus memudahkan pemahaman bersama.

Pada masa yang sama, Dr Mukhlis turut menekankan bahawa tiada cara lain selain menggunakan Bahasa Melayu sekerap mungkin untuk mengekalkan kefahaman.

"Dalam mana-mana pemerolehan bahasa, pendedahan yang sebanyak mungkin yang diperlukan. Apa lagi kita ini adalah masyarakat yang dwibahasa. Jadi kalau kita hanya didedahkan kepada satu bahasa sahaja, kemungkinan besar keupayaan kita untuk bercakap dalam bahasa yang lain itu tidak akan mendapat pencapaian yang tinggi," kongsi Dr Mukhlis.

Tambah beliau lagi, penggunaan bahasa Melayu perlu ditingkatkan supaya pendedahan kepada bahasa itu akan sentiasa berkembang.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita