Skip to main content

Singapura

Gudang Kranji terbakar: Mutu udara di barat SG kekal pada paras normal sepanjang 4 hari berlaku kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:
Gudang Kranji terbakar: Mutu udara di barat SG kekal pada paras normal sepanjang 4 hari berlaku kebakaran

Kebakaran di sebuah gudang di Kranji pada 19 Februari, 2024. (Gambar: Jeffrey Tan)

Diterbitkan : 06 Mar 2025 01:28PM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 01:34PM
  • Mutu udara di bahagian barat Singapura kekal dalam julat normal sepanjang empat hari berlaku kebakaran di sebuah gudang di Kranji pada Februari lalu, kata Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Khamis (6 Mac).
  • Kebakaran itu yang melibatkan bahan-bahan sisa, tercetus pada 19 Februari lalu di 11 Kranji Crescent dan dapat dipadamkan pada 23 Februari.
  • Ia adalah kebakaran keempat berlaku di gudang tersebut sepanjang tempoh tujuh tahun.
  • Siasatan oleh NEA dan SCDF sedang dijalankan untuk menentukan sama ada gudang itu mematuhi keperluan keselamatan kebakaran dan pelesenan sewajarnya.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di bahagian barat Singapura kekal dalam julat normal sepanjang empat hari berlaku kebakaran di sebuah gudang di Kranji pada Februari lalu, kata Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Khamis (6 Mac).

Kebakaran itu yang melibatkan bahan-bahan sisa, tercetus pada 19 Februari lalu di 11 Kranji Crescent dan dapat dipadamkan pada 23 Februari.

Alamat itu menempatkan firma kitar semula dan pengurusan sisa Wah & Hua.

Ia adalah kebakaran keempat berlaku di gudang tersebut sepanjang tempoh tujuh tahun.

Sebelum ini, beberapa kebakaran tercetus di gudang itu pada 2018, 2023 dan 2024.

Gudang itu mempunyai lesen untuk menerima bahan sisa komersial dan perindustrian untuk diuruskan sebelum ia dikitar semula dan dihapuskan.

Ia mengandungi bahan-bahan seperti kertas, plastik, kaca, besi buruk, sisa kayu dan sisa elektronik, kata Dr Khor di Parlimen.

Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa (PSP), yang bertanya tentang jenis bahan sisa yang disimpan di gudang itu dan jikalau para penduduk yang tinggal berhampiran gudang itu terdedah kepada bahan pencemar toksik disebabkan oleh kebakaran tersebut.

Dalam jawapannya, Dr Khor berkata gudang itu terletak sekitar 2 kilometer daripada kawasan kejiranan berdekatan.

Ia tidak mempunyai lesen untuk menyimpan bahan sisa perindustrian toksik atau bahan-bahan berbahaya, katanya.

"Siasatan oleh NEA dan SCDF sedang dijalankan untuk menentukan sama ada gudang itu mematuhi keperluan keselamatan kebakaran dan pelesenan sewajarnya."

Dalam soalan tambahan, Cik Poa bertanya jika Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyimpan rekod bahan-bahan yang disimpan oleh syarikat-syarikat kitar semula di gudang mereka dan sama ada agensi tersebut telah memperbetulkan sebarang pelanggaran keselamatan kebakaran untuk mengelakkan kejadian sedemikian daripada berulang.

Dr Khor berkata NEA telah menjalankan enam pemeriksaan terhadap gudang itu sejak 2021.

NEA juga menghantar makluman secara berkala kepada gudang itu mengingatkannya tentang "keperluan kesedaran risiko keselamatan kebakaran" dan menyemak langkah keselamatan kebakaran secara kerap untuk memastikan ia relevan dan memadai.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah melakukan 10 pemeriksaan di premis itu antara 2018 dengan 2024.

Empat notis pengurangan bahaya kebakaran - iaitu amaran kepada pemilik bangunan dan pihak pengurusan untuk memperbetulkan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebakaran - dikeluarkan ke atas gudang tertsebut.

Ia juga diberikan tiga notis kesalahan kerana berlaku beberapa pelanggaran.

"Namun semua ini sebenarnya telah diperbetulkan," kata Dr Khor.

Para anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di gudang itu selama berjam-jam pada 19 Februari lalu dan asap tebal dapat dilihat sejauh Jurong East, Bukit Panjang, Woodlands dan Causeway.

Para pekerja dari beberapa bangunan berhampiran gudang itu diarah supaya berpindah.

Seorang individu dibawa ke hospital kerana terhidu asap dan luka lecur.
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita