Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GST naik pada 2023, apa yang anda perlu tahu?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak satu peratus, anda boleh menjangkakan bil anda untuk meningkat sedikit tahun depan.

Ini adalah langkah pertama daripada kenaikan dua langkah, yang dijangka menyaksikan kadar GST naik kepada sembilan peratus pada 2024.

Syarat baru untuk mengenakan GST bagi barangan import rendah nilai dan perkhidmatan yang lain juga akan berkuat kuasa pada Januari.

Bagaimana ia akan menjejas anda dan apakah langkah sokongan yang ada untuk anda bagi mengimbangi kenaikan harga? Berikut adalah perkara yang anda perlu tahu:

Apa itu GST dan apa yang tertakluk kepadanya?

GST adalah cukai yang dikenakan ke atas penggunaan domestik, yang boleh merangkumi apa-apa barang atau perkhidmatan, termasuk import.

Ia dikenakan oleh kesemua perniagaan berdaftar GST. Perniagaan dengan perolehan bercukai S$1 juta atau lebih, perlu berdaftar bagi GST manakala perniagaan dengan perolehan bercukai di bawah S$1 juta boleh berdaftar bagi GST secara sukarela.

Sekalipun demikian, terdapat beberapa pengecualian - seperti penjualan dan penyewaan hartanah kediaman dan khidmat kewangan.

Pemerintah akan menyerap GST bagi pendidikan dan jagaan kesihatan yang diberi subsidi secara awam.

Kadar GST kini adalah pada tujuh peratus. Ia akan naik kepada lapan peratus pada 1 Januari 2023, dan seterusnya melonjak kepada sembilan peratus pada 1 Januari 2024.

Adakah terdapat peraturan peralihan?

Menurut laman Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), anda patut dikenakan tujuh peratus GST sekiranya pembayaran dibuat pada 2022, dan lapan peratus jika pembayaran dibuat pada 2023.

Namun, jika anda membayar untuk sesuatu secara ansuran sepanjang 2022 dan 2023, dua kadar GST berasingan patut dikenakan.

IRAS juga menyatakan bahawa GST perlu dikenakan pada kadar lapan peratus bagi perkhidmatan yang dikendalikan dan dibayai pada atau selepas 1 Januari 2023, meskipun invois diberi pada 2022.

Bagi perkhidmatan yang dikendalikan sepanjang 2022 dan 2023, anda boleh membayar lapan peratus sekiranya tarikh bil adalah pada 2023, atau anda boleh membayar tujuh peratus bagi sebahagian daripada bil tersebut dan lapan peratus bagi bahagian lain bil berkenaan.

Bagaimana GST akan dikenakan bagi barangan nilai rendah?

GST juga akan merangkumi pembelian barangan rendah nilai dan perkhidmatan bukan digital yang diimport, dengan syarat baru dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023.

Demikian diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Syarat yang memerlukan penyedia perkhidmatan digital di luar negara untuk mengenakan GST sudahpun dikuatkuasakan pada tahun 2020, tetapi ia kini diperluaskan kepada perkhidmatan bukan digital juga.

Bagi barangan, GST kini diperoleh oleh Kastam Singapura bagi kesemua barangan yang diimport menerusi laut dan darat, serta barangan yang diimport menerusi udara atau atau pos bernilai melebihi S$400.

Mulai 2023, vendor luar negara yang berdaftar GST perlu mengenakan GST kepada pengguna tempatan jika barangan yang diimport berharga kurang daripada S$400.

Apakah langkah sokongan GST?

Bagi kenaikan kali ini, sejumlah S$8 bilion sudah diperuntukkan bagi Pakej Jaminan untuk meringankan kesan kenaikan GST.

Pakej tersebut bertujuan untuk mengimbangi perbelanjaan GST tambahan bagi kebanyakan isi rumah warga Singapura selama sekurang-kurangnya lima tahun dan selama sekitar 10 tahun bagi isi rumah yang berpendapatan rendah.

Skim Baucar GST yang tetap juga akan dipertingkatkan untuk mengimbangi perbelanjaan GST bagi isi rumah warga Singapura yang berpendapatan rendah dan pertengahan, menjangkaui sokongan peralihan yang ditanggung oleh Pakej Jaminan.

Bagaimana saya boleh melaporkan kenaikan harga yang tidak wajar?

Jawatankuasa Menentang Pencatutan (CAP) dihimpunkan pada 16 Mac untuk menyiasat kenaikan harga yang tidak wajar bagi barangan dan perkhidmatan asas dengan menggunakan kenaikan GST sebagai alasan.

Perniagaan tidak boleh menggunakan kenaikan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga sebelum perubahan kadar GST, atau menaikkan harga melebihi kenaikan GST selepas kadar meningkat.

Anda boleh melaporkan kes sedemikian menerusi laman berikut: https://www.cap.gov.sg/
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan