Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GST 9%, inflasi, sokongan pemberhentian kerja: Ini yang boleh dijangkakan dalam Belanjawan 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang keprihatinan mengenai kos sara hidup berterusan, Singapura dijangka mempertingkatkan sokongannya bagi golongan mudah terjejas oleh kenaikan kadar inflasi apabila Belanjawan 2023 dibentangkan pada Selasa (14 Feb). 

Ia juga mungkin memperkenalkan bantuan untuk pekerja yang diberhentikan kerja, selain langkah-langkah untuk membantu perniagaan menangani kos dan pertumbuhan yang semakin lembap pada masa akan datang, menurut para pakar. 

Namun, perancangan menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak satu lagi peratusan mata kepada sembilan peratus tahun depan tidak mungkin ditangguh. 

Seorang pakar ekonomi berkata kenaikan GST, seperti mana yang dijelaskan pihak berkuasa, harus dilihat dalam konteks lebih besar untuk memastikan kemampanan kewangan Singapura di tengah-tengah kenaikan perbelanjaan pemerintah, khususnya dalam jagaan kesihatan. 

Dengan keterbatasan ruang untuk menyesuaikan kadar cukai pendapatan peribadi dan korporat - iaitu dua sumber terbesar pendapatan cukai di Singapura - meneruskan pelaksanaan cukai penggunaan "tidak dapat dielakkan dan diperlukan", kata pakar ekonomi kanan DBS Irvin Seah. 

Pakar ekonomi Maybank Chua Hak Bin dan Lee Ju Ye juga yakin, kenaikan GST akan diteruskan memandangkan ekonomi kelihatan "stabil". 

Meskipun kelembapan ekonomi akan menjejas sektor-sektor seperti perkilangan, pemulihan sektor lain seperti pelayanan dan penerbangan akan memacu pertumbuhan secara keseluruhan, menurut para pakar ekonomi, yang meramalkan kenaikan GDP sebanyak 1.7 peratus bagi Singapura tahun ini. 

Pembukaan semula China juga akan membantu mengurangkan kesan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, sekali gus mengurangkan potensi kemelesetan, tambah mereka. 

SOKONGAN BERSASAR

Namun para pakar percaya, Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk melegakan keprihatinan mengenai kos sara hidup, dengan tokokan Pakej Jaminan sebagai "salah satu langkah yang paling jelas dan mudah". 

Sebanyak S$6 bilion pada awalnya diperuntukkan apabila pakej itu diumumkan buat pertama kali pada 2020. Sejak itu, pakej tersebut - yang merangkumi agihan, geran dan rebat bil perbekalan - ditokok kepada S$8 bilion, dengan perincian mengenai tambahan S$1.4 bilion dijangka dibentangkan pada Belanjawan tahun ini. 

Para pakar ekonomi menjangkakan Pakej Jaminan akan dinaikkan lagi sebanyak S$500 juta kepada S$1 bilion bagi tambahan perbelanjaan GST untuk keluarga-keluarga di Singapura. 

Golongan berpendapatan rendah dan warga emas mungkin menerima agihan wang lebih tinggi. Langkah lain mungkin termasuk baucar GST, rebat U-Save, tokokan MediSave, tambahan agihan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan subsidi berkaitan pendidikan kanak-kanak. 

Pakar ekonomi kanan RHB Barnabas Gan turut mengatakan, bantuan akan menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas. Ia mungkin dari segi perubahan kepada skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) yang menyokong pekerja berpendapatan rendah. 

Sokongan bagi mereka yang diberhentikan kerja turut dijangkakan dalam Belanjawan kali ini. 

Sekalipun demikian, ia seharusnya dilakukan dengan syarat-syarat tertentu, seperti tempoh minimum bekerja sepenuh masa sebelum diberhentikan. Ia juga harus diguna pakai untuk mereka yang kurang berkemampuan, dengan pemilikan hartanah bawah nilai tertentu sebagai salah satu syarat, kata Encik Gan. 

Dr Chua dan Cik Lee berkata, sokongan sedemikian harus menyasarkan golongan yang diberhentikan kerja dan bukan golongan penganggur. Ia boleh diilhamkan daripada Geran Pemulihan COVID-19 yang memberikan sokongan kewangan sementara kepada golongan yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik. 

Sokongan itu mungkin boleh diberikan dalam bentuk agihan wang tunai yang merosot dalam tempoh enam bulan. Satu lagi kemungkinan adalah subsidi latihan bagi membantu para pekerja beralih ke sektor-sektor yang memerlukan tenaga manusia. 

Bagi kumpulan berpendapatan sederhana, pakar cukai Deloitte Singapore Sabrina Sia berkata, kuantum bagi bantuan pendapatan harus dinaikkan untuk mencerminkan tekanan kos inflasi dengan lebih baik lagi.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan