Skip to main content

Singapura

Grid Kuasa ASEAN dilihat sebagai keperluan jaminan tenaga: Pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Grid Kuasa ASEAN dilihat sebagai keperluan jaminan tenaga: Pakar

Asia Tenggara kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk merealisasikan grid kuasa serantau yang sudah lama dibincangkan, kata pakar tenaga. (Gambar:iStock)

Diterbitkan : 21 May 2026 09:24PM Dikemas Kini : 21 May 2026 09:25PM

SINGAPURA: Asia Tenggara kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk merealisasikan grid kuasa serantau yang sudah lama dibincangkan, kata pakar tenaga.

Ini menyusuli peningkatan permintaan elektrik dan ketegangan geopolitik yang memperkukuh keperluan kerjasama tenaga yang lebih mendalam.

Bercakap kepada Mediacorp di luar acara Minggu Ecosperity 2026 di Singapura pada Rabu (20 Mei), pemimpin tenaga serantau berkata Grid Kuasa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kini dilihat sebagai satu keperluan ekonomi dan jaminan tenaga.

Walaupun terdapat sokongan politik yang lebih kukuh terhadap projek itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka memberi amaran bahawa Asia Tenggara masih berdepan cabaran besar termasuk perbezaan peraturan, kekurangan pembiayaan dan kelemahan sambungan grid.

DESAKAN TERHADAP KESELAMATAN TENAGA

Naib Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik, Scott Morris berkata ketegangan geopolitik yang berterusan menjadikan kerjasama tenaga serantau semakin mendesak.

Ketegangan di Timur Tengah yang berterusan mencetuskan semula kebimbangan terhadap gangguan laluan bekalan bahan api global seperti Selat Hormuz, yang menjadi laluan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia.

Beliau berkata inisiatif itu kini mempunyai peluang lebih besar untuk diketengahkan kerana pemerintah semakin mengiktiraf bahawa “jaminan tenaga jangka panjang mereka adalah saling bergantung dalam rantau ini”.

Komitmen politik, tambahnya, adalah kunci untuk memacu tindakan terhadap halangan teknikal, peraturan dan undang-undang yang perlu diselesaikan di seluruh negara yang terlibat.

Sokongan terhadap Grid Kuasa ASEAN turut diperkukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemimpin ASEAN pada Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober lalu mengulangi komitmen mereka untuk mempercepat integrasi kuasa serantau.

PELABUR MAHUKAN KEYAKINAN

Walaupun pemerintah di rantau ini mengumumkan sasaran sifar bersih dan memperluas aspirasi tenaga baharu, pakar berkata pelabur privet masih berhati-hati kerana rangka kerja peraturan masih tidak menentu dan tidak konsisten.

Encik Morris dari ADB berkata pelabur dan pemerintah memerlukan lebih kepastian mengenai bagaimana pasaran elektrik serantau dan perdagangan kuasa rentas sempadan akan berfungsi.

“Banyak kerja awal yang perlu dilakukan dalam aspek peraturan,” katanya.

Ini memerlukan negara-negara melihat melangkaui sistem elektrik domestik mereka dan membangunkan rangka kerja peraturan serta undang-undang yang lebih selaras.

Institusi seperti ADB juga memainkan peranan membantu menjadikan projek lebih menarik kepada pelabur melalui pembiayaan konsesi dan sokongan teknikal pada peringkat awal penyediaan projek, katanya.

Ketua Pusat Kerjasama Serantau Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Tan Sue-Ern, berkata keyakinan pelabur bukan sahaja bergantung kepada komitmen politik, tetapi juga mekanisme pasaran seperti lelongan tenaga baharu dan perjanjian pembelian kuasa.

Beliau merujuk sasaran Singapura untuk mengimport 6 gigawatt elektrik rendah karbon menjelang 2035 sebagai contoh bagaimana pemerintah boleh mewujudkan isyarat permintaan yang lebih kukuh kepada pelabur.

Namun pakar mengakui perdagangan kuasa serantau masih sensitif dari segi politik kerana pemerintah masih menganggap jaminan tenaga berkait rapat dengan kepentingan negara.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita