Gred prestasi pegawai PUB diturunkan kerana ubah kontrak; lagi 6 pegawai dikenakan tindakan disiplin
Pegawai PUB yang terlibat dalam mengubah dokumen yang berkaitan dengan kontrak pembekalan biosid akan diturunkan gred prestasinya.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berucap semasa sidang Parlimen sebelum ini. (Gambar: Parlimen)
PUB telahpun mengeluarkan teguran rasmi terhadap pegawai itu, dedah Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Isnin (22 Sep).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin mengenai siasatan dalaman kementerian itu terhadap penyelewengan dan kelemahan yang dikesan dalam kontrak PUB yang dibangkitkan dalam audit pemerintah pada awal September.
Enam lagi pegawai yang terlibat dalam kelemahan berkaitan bekalan stok juga telahpun dikenakan tindakan disiplin, kata Cik Fu.
Pegawai-pegawai tersebut gagal menjalankan pemeriksaan yang diperlukan dan tidak menjalankan penyeliaan yang secukupnya untuk menguatkuasakan keperluan dan syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak.
Beliau menambah bahawa kementeriannya memandang serius terhadap hasil audit Pejabat Ketua Audit Negara (AGO).
Pada 9 Sep, AGO mengeluarkan laporan bagi Tahun Kewangan 2024-2025, yang membangkitkan kemungkinan berlaku kesilapan dan kelemahan dalam audit tahunan PUB.
Salah satu daripadanya termasuk "tanda-tanda" kemungkinan berlaku penyelewengan antara salinan lembut dan salinan cetak sijil analisis untuk kontrak bekalan biosid.
Biosid digunakan terutamanya untuk mengawal 'midges' – serangga kecil yang wujud di dalam dan berhampiran takungan air – di kolam air dan laluan air Singapura.
Perubahan pada salinan lembut menunjukkan nombor versi, format dan maklumat yang berbeza daripada salinan asal yang disediakan oleh kontraktor untuk setiap penghantaran.
Ini bertujuan untuk memberi tanggapan palsu bahawa semakan pada tahap bahan aktif telah dilakukan oleh makmal bertauliah, dan PUB telah menerima barangan yang memenuhi keperluan dan syarat kontrak.
Cik Fu berkata bahawa PUB telah menyelesaikan siasatan dalamannya mengenai isu tersebut dan mendapati seorang pegawai bersalah.
"Sijil analisis (COA) telah diubah untuk memasukkan maklumat yang diperlukan yang telah ditinggalkan. Pindaan itu dilakukan untuk menutup ketidaklengkapan dokumen asal yang akan diberikan kepada juruaudit AGO, tetapi kandungannya adalah berdasarkan fakta," kata Cik Fu.
Pegawai itu telah dihukum melalui teguran rasmi dan gred prestasinya akan diturunkan, tambah Cik Fu.
LANGKAH YANG DILAKUKAN
Cik Fu berkata bahawa PUB telah mengambil langkah untuk mengukuhkan prosesnya.
PUB telah mempertingkatkan skop audit dalaman berkala mengenai pemerolehan dan pengurusan kontrak.
"Ini termasuk semakan tambahan pada kadar bintang dalam variasi kontrak, dan penggunaan alat digital, termasuk AI, untuk menambah baik semakan terhadap keperluan dan syarat kontrak untuk mengesan penipuan," katanya lagi.
PUB juga telah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan kontrak bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan kontrak, seperti memerlukan sijil analisis asal untuk diserahkan.
PUB telah mengetatkan SOPnya untuk pemeriksaan kualiti stok yang digunakan dalam operasinya, kata Cik Fu. Ia telah mengesahkan bahawa kualiti stok yang diterima sebelum ini memenuhi keperluan PUB.
PUB akan mengongsi pengajaran daripada dapatan itu dengan semua kakitangan, sebagai sebahagian daripada latihan dan komunikasi mengenai pengurusan pemerolehan dan kontrak, kata Cik Fu.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.