Skip to main content

Singapura

Gred kebersihan Spize di Simpang Bedok diturunkan akibat kes keracunan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Gred kebersihan  Spize di Simpang Bedok diturunkan akibat kes keracunan makanan
Diterbitkan : 13 Mar 2023 09:50PM

SINGAPURA: Gred kebersihan makanan di dua tempat makan milik Spize
diturunkan daripada A ke C, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Sabtu (11 Mac).

15 orang dilaporkan mengalami gejala radang perut dan usus (gastroenteritis) selepas makan makanan di Spize@Simpang Bedok dari 5 Julai hingga 6 Julai 2022.

Meskipun tiada orang dimasukkan ke hospital, satu siasatan bersama dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan SFA.

Pemeriksaan pada 10 Julai 2022 mendapati beberapa kekurangan dari segi kebersihan di kedua-dua gerai, Spize Continental Kitchen dan Spize.

Spize Continental Kitchen didapati mempunyai "papan pemotong yang kotor manakala makanan yang sudah siap dimakan tidak diasingkan dari makanan mentah," kata SFA.

Agensi itu juga mendapati bahawa Spize tidak mengemas kedainya dengan betul, dengan memberi contoh peti sejuk yang terlalu sarat.

SFA menambah bahawa premis itu juga digunakan untuk pemprosesan makanan, walaupun ia hanya mempunyai lesen sebagai gerai makanan untuk dibawa pulang.

"SFA takan mengambil tindakan penguatkuasaan atas kelemahan itu," kata agensi tersebut.

"SFA telah menurunkan gred kebersihan makanan di gerai makanan di 338 Bedok Road (Spize Continental Kitchen) dan kedai makanan di 284 Bedok Road (Spize) daripada 'A' ke 'C' berkuat kuasa dari 10 Mac 2023, dan ia akan disemak semula dalam 12 bulan."

SFA juga menyatakan bahawa premis Spize di Simpang Bedok akan terus berada di bawah pengawasannya.

BUKAN PERTAMA KALI KEBERSIHAN MAKANAN TERJEJAS

Pada 2018, 63 orang jatuh sakit selepas makan makanan disediakan Spize bagi satu acara syarikat.

45 orang dimasukkan ke hospital.

Seorang pegawai polis tambahan yang makan makanan itu meninggal dunia lapan hari kemudian akibat sepsis yang menyebabkan berbilang organ tubuhnya gagal berfungsi.

Menurut dokumen mahkamah, salmonella, bakteria yang diketahui menyebabkan penyakit berkaitan makanan, ditemui di permukaan dapur yang dikongsi syarikat katering Spize dan anak syarikatnya Spize Events.

Bakteria sama juga ditemui di sebahagian makanan yang telah dimasak. Bahan najis juga ditemui dalam makanan yang dimasak dan di peralatan dapur.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita