Skip to main content

Singapura

Grandeur Fai Wedding mengangkat tradisi songket, cipta rekod baharu dalam Buku Rekod SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu rekod baharu berjaya dicatat dalam Buku Rekod Singapura bagi kategori 'Paparan Pakaian Perkahwinan Terbesar pada Patung Pakaian (Mannequin)'.

Pencapaian itu diraih oleh syarikat perkhidmatan pakaian perkahwinan, 'Grandeur Fai Wedding', yang mempamerkan 100 busana pengantin eksklusif menggunakan kain songket.

Acara tersebut, yang berlangsung pada Rabu (1 Jan) di Amaris D’Arena Ballroom, diiktiraf secara rasmi oleh Buku Rekod Singapura.
CABAR DIRI HASILKAN 100 BAJU PERKAHWINAN DALAM 4 BULAN

Sebanyak 100 busana perkahwinan yang dipamerkan pada acara tersebut mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

Setiap rekaan dihasilkan secara eksklusif oleh Pereka dan Pengarah 'Grandeur Fai Wedding', Encik Fai Bani.

Menurut Encik Fai, acara itu merupakan peluang berharga untuk membuktikan kebolehannya selain menjadi langkah berani dalam perjalanan kerjayanya.

"Saya sebenarnya mencabar diri saya untuk menghasilkan 100 busana pengantin dalam empat bulan kerana saya amat berminat dalam bidang fesyen dan menjahit baju pengantin. Saya juga suka mencipta sesuatu yang kreatif dalam setiap rekaan saya," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya mengekalkan tradisi kain songket dalam busana perkahwinan Melayu agar warisan budaya terus dilestarikan.

"Walaupun rekaan baju ini berkonsep moden, saya cuba menggabungkan bahan tradisional seperti kain songket dan manik-manik kristal untuk mencantikkan setiap rekaan. Dengan itu, konsep tradisional Melayu tetap terpelihara,"jelas beliau.

Menghasilkan rekaan sebanyak itu dalam masa singkat bukanlah tugas mudah.

Encik Fai mengakui cabaran tersebut memerlukan tumpuan kepada kesihatan fizikal dan mentalnya
INSPIRASI UNTUK GENERASI MUDA

Encik Fai berharap kejayaannya dapat menyuntik inspirasi kepada generasi muda Singapura untuk menceburi bidang perkahwinan.

"Untuk sesiapa yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang fesyen tidak harus mengalah, mereka juga boleh ke hadapan, jadi kreatif dan menonjolkan bakat-bakat mereka yang ada.

"Semoga ia juga dapat memberi perangsang kepada anak-anak muda Singapura dan generasi muda untuk teruskan tradisi pakaian perkahwinan songket Melayu," kata Encik Fai.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar, yang memberikan sokongan kepada inisiatif tersebut.
Pengarah Urusan Megaxpress International Pte Ltd, Encik Hamzah Abdullah, yang turut hadir, memuji usaha itu.

"Saya tabik beliau kerana beliau muda dan masih bersemangat, yang kedua, beliau memberi jalan kepada mereka yang mahu menceburi bidang perkahwinan. Kalau kita lihat perkahwinan ada hubung kaitnya dengan katering, berkat, pakaian dan solekan. Jadi ia meliputi semua dalam bidang perkahwinan," kata Encik Hamzah.

Acara sehari yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam itu menarik hampir 1,000 tetamu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita