Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grand Prix Singapura dilanjut tujuh tahun lagi sehingga 2028

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jan 2022 06:40PM Dikemas Kini : 27 Jan 2022 08:45PM

SINGAPURA: Singapura akan terus menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) bagi tujuh tahun akan datang dengan acara sebelah malam itu  kembali ke Marina Bay pada September selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19. 

Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Khamis (27 Jan). 

"Kami membuat keputusan untuk terus menjadi tuan rumah perlumbaan F1 bagi tujuh tahun lagi, selepas menilai dengan teliti faedah jangka panjang pelanjutan itu buat Singapura," kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Encik S Iswaran. 

"Pelanjutan ini akan membantu Singapura mengekalkan kedudukan sebagai bandar global dengan gaya hidup bertenaga, menarik pelancong antarabangsa sedang permintaan bagi perjalanan bangkit semula, selain menjana pendapatan bagi perniagaan dan pekerjaan untuk warga Singapura." 

Grand Prix Singapura dibatalkan pada 2020 dan 2021 selepas ia dijadualkan sebagai sebahagian daripada kalendar perlumbaan Formula 1.

Timbalan Pengerusi GP Singapura, Colin Syn, pada tahun lalu berkata perlumbaan pada 2021dibatalkan atas keprihatinan tentang keselamatan dan cabaran logistik disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Pada November tahun lalu, Encik Iswaran berkata dalam satu sidang media bahawa perbincangan untuk melanjutkan kontrak perlumbaan di Singapura sedang dijalankan. 

"Saya rasa kami semua sedia maklum bahawa acara seperti Formula 1, menjana faedah ekonomi yang ketara dan nilai jenama global untuk Singapura. Acara-acara sebegini menghidupkan kalendar acara di Singapura, mendorong permintaan antarabangsa dan juga merangsang pekerjaan buat perniagaan," katanya. 

Perlumbaan Grand Prix terakhir yang berlangsung pada September 2019 menyaksikan pelumba Ferrari Sebastian Vettel menjuarai perlumbaan, di depan pelumba sepasukannya Charles Leclerc. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan