Skip to main content

Singapura

Grand Prix F1 S'pura catat rekod penonton terbanyak dalam 13 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah penonton di Grand Prix  Formula 1 Singapura mencatat rekod baru dalam sejarah perlumbaan itu sepanjang 13 tahun lalu, umum pihak penganjur pada Ahad (2 Okt). 

Tiket bagi acara tersebut sudah habis dijual, dengan sekitar 302,000 peminat menghadiri acara selama tiga hari itu sekali gus memecahkan rekod yang dicatat pada perlumbaan malam pertama pada 2008 di mana terdapat 300,000 penonton. 

Perlumbaan terakhir pada 2019 pula menarik 268,000 penonton. 

Grand Prix Singapura dibatalkan pada 2020 dan 2021 disebabkan pandemik COVID-19. 

Singapura memeterai kontrak untuk menganjurkan Grand Prix F1 bagi tujuh tahun lagi pada Januari - iaitu tempoh lanjutan yang terpanjang bagi perlumbaan itu setakat ini. 

Bercakap di luar acara tersebut,Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata sekitar separuh penonton datang dari luar negara, manakala bakinya adalah penduduk tempatan. 

"Saya rasa ia menunjukkan minat mendalam terhadap perlumbaan di Singapura, keunikannya dan pelbagai unsur berkaitan perlumbaan itu juga. Ia juga satu tanda amat memberangsangkan bahawa Singapura sedang beransur pulih." 

Beliau turut menarik perhatian "kesan berganda" perlumbaan itu ke atas ekonomi Singapura.

"Kadar penginapan di hotel amat kukuh. Dan kadar purata menurut data Lembaga Pelancongan Singapura (STB), mencecah rekod tertinggi iaitu S$440 bagi satu malam, melebihi tempoh F1 sebelumnya," ujar Encik Iswaran. 

Tambahnya, jumlah acara Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) juga naik dengan ketara sekitar tempoh perlumbaan itu. 

"Ini adalah cara kami menganjurkan Formula 1 agar ia bukan setakat satu acara perlumbaan tetapi  memberikan pengalaman perniagaan dan gaya hidup yang lebih luas. Dan tahun ini, ada kira-kira 25 acara MICE yang disertai 90,000 wakil rombongan.

"Dan ini sekali lagi satu petanda yang amat baik bukan hanya mengenai minat terhadap Formula 1 tetapi juga aktiviti ekonomi yang kembali diadakan di Singapura, khususnya acara-acara MICE yang diadakan semula." 

"Natijahnya, acara Formula 1 tahun ini sangat kukuh, sambutan dari seluruh dunia juga amat luar biasa, dan anda boleh katakan Singapura sudah kembali ke landasan pemulihan." 

Perlumbaan itu bermula lewat Ahad (2 Okt), dengan pemandu Ferrari Charles Leclerc bermula di petak pertama. Juara dunia F1 Max Verstappen bermula di petak kelapan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita