Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Graduan undang-undang & ekonomi NUS ini urus gerai, sediakan makanan S$2.50 bantu pelanggan warga emas, keluarga susah

Anggaran Waktu Membaca:
Graduan undang-undang & ekonomi NUS ini urus gerai, sediakan makanan S$2.50 bantu pelanggan warga emas, keluarga susah

Gambar: 8days

Diterbitkan : 15 Apr 2023 08:29PM Dikemas Kini : 15 Apr 2023 08:30PM

SINGAPURA: Semasa membantu ibu bapanya di gerai makanan Melayu di Pusat Penjaja Jalan Kukoh tahun lalu, Hani Isnin, 40 tahun, kerap terserempak dengan golongan lanjut usia dan keluarga memerlukan yang menetap di estet kejiranan Chin Swee berdekatan serta rumah sewa satu bilik di Chinatown.

"Pak cik dan mak cik akan hulurkan S$2 kepada saya dan tanya sama ada mereka boleh beli lontong. Ibu bapa dengan ramai anak pula akan bertanya, 'Apa yang boleh saya beli dengan S$10?" kongsi Cik Hani.


Interaksi beliau dengan para pelanggan itu mendorong Cik Hani untuk menurunkan harga makanan seperti mi rebus, mi soto dan nasi goreng daripada S$3.50 kepada S$2.50. Dengan persetujuan ibu bapanya itu, beliau turut menukar jenama gerai tersebut kepada 'Tradisional Malay Muslim Cuisine - The $2.50 Shop' (Makanan Tradisional Melayu Muslim - Gerai $2.50) untuk menarik perhatian tentang harga berpatutan makanan yang disediakan gerainya.

Walaupun dihimpit inflasi, Cik Hani merancang untuk terus menyediakan hidangan berharga S$2.50.

"Kami akan menjimat sedaya upaya untuk terus menawarkan harga makanan kami pada harga yang sama. Kami tidak lokek dengan bahan. Kadangkala ia agak mencabar tetapi ia membuat saya ingin melakukan lebih baik lagi."

GENGGAM IJAZAH UNDANG-UNDANG & EKONOMI DARI NUS

Sikap belas kasihan bukan satu-satunya ciri yang terserlah pada Cik Hani. Beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau memegang ijazah berganda dalam jurusan undang-undang dan ekonomi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Pun begitu, Cik Hani tidak pernah bekerja dalam apa yang disifatkannya sebagai "dunia korporat", selain dua bulan bersama Pejabat Peguam Negara (AGC) di mana beliau melakukan tugas-tugas pentadbiran.

"Saya memberitahu ibu saya bahawa saya tidak mahu melanjutkan pengajian tetapi ibu saya kata tidak boleh, saya harus melakukannya sebagai satu sandaran. Oleh itu, saya ambil dua program ijazah untuk menggembirakan ibu bapa saya," kongsinya.

"Setelah meraih ijazah saya, saya memberitahu mereka, saya hanya ingin melakukan sesuatu yang tidak rumit. Saya tidak mahu menjadi terlalu tertekan. Saya hanya mahu melakukan sesuatu yang saya gemari, menyumbang kepada masyarakat dan mencari rezeki sederhana."

MINAT MEMASAK

"Ibu saya menguruskan perniagaan katering selama lebih 20 tahun. Itulah yang mencetuskan minat saya terhadap memasak," kata Cik Hani.

Walaupun pada awalnya ibu bapa Cik Hani agak hampa dengan keputusannya untuk meninggalkan kerjaya yang cemerlang, beliau berkata mereka mula menerima keputusan itu setelah melihat beliau pulang ke rumah dari kerja "dengan wajah muram" setiap hari.

"Apabila ibu saya melihat betapa tertekan dan murungnya saya, beliau membenarkan saya untuk mula membantunya."

Setelah bekerja dengan ibunya selama beberapa tahun, Cik Hani mula berdikari dengan mengendalikan gerainya sendiri yang menawarkan makanan Melayu dan Barat di Sekolah Menengah Queensway. Beliau berjualan di sekolah itu selama enam tahun, dengan menyediakan hidangan seperti mi rebus dan piza.

Namun tahun lalu, Cik Hani berhenti berjualan di gerainya di Sekolah Menengah Queensway itu untuk membantu ibu bapanya, Cik Munah dan Encik Isnin, kedua-duanya berusia 70 tahun, yang membuka gerai menjual makanan Melayu pada 2021.

"Ibu saya letih kerana waktu kerja yang berlarutan dan berasa penat sebagai tukang masak utama bagi perniagaan katering itu," jelasnya.

Sekalipun skala perniagaan kini lebih kecil, kedua-dua orang tuanya itu mula berasa letih untuk menguruskan gerai penjaja.

"Ia sangat memenatkan! Kami datang sini pada pukul 2.00 pagi kerana pelanggan lebih tua di sini bangun awal," kata Encik Isnin.

Gerai mereka dibuka pada pukul 3.30 pagi dan biasanya jualan habis dijual sebelum jam 2.30 petang.

Cik Munah terus menguruskan dapur sebagai tukang masak manakala Cik Hani dan Encik Isnin akan membantu menyiapkan bahan-bahan serta mengambil alih untuk memasak sekiranya perlu.

IBU BAPA SOKONG PERUBAHAN HARGA

Selain harga yang lebih murah, perkara lain seperti saiz hidangan dan bahan-bahan kekal tidak berubah.
 

s

"Ibu saya kata jika anda ingin melakukan sesuatu, anda harus ikhlas. Jadi semuanya dikekalkan sama seperti sebelum (harga diubah)," kata Cik Hani yang suaminya adalah seorang akauntan.

"Kami tidak mengambil hari cuti supaya dapat meraih keuntungan," ujarnya.

Cik Hani enggan mendedahkan keuntungan yang dibuat gerai itu tetapi sekadar berkata memperolehi "sedikiti keuntungan".

"Kami cuba sedaya upaya untuk membantu warga emas dan keluarga yang memerlukan di sini. Ramai antara mereka tidak bekerja dan mengambil ubat. Selagi mereka gembira dan kami gembira, kami akan teruskan."

MENU

Mi Soto, S$2.50
Mi Rebus S$2.50
Nasi Goreng, S$2.50
Lontong, S$2.50
Nasi Padang dengan Kari Ayam, Kubis & Begedel, S$4.80

Gerai 'Traditional Malay Muslim Cuisine - The $2.50 Shop' terletak di #01-16, Pusat Penjaja Jalan Kukoh di 1 Jln Kukoh S161001.
 

s

Dibuka setiap hari dari pukul 3.30 pagi hingga 2.30 petang.

Maklumat lanjut di akaun Facebook mereka.

Sumber : 8 Days/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan