Skip to main content

Singapura

Graduan SIT, Siti Wardina, teroka konsep robot AI bantu pesakit fahami maklumat kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
Graduan SIT, Siti Wardina, teroka konsep robot AI bantu pesakit fahami maklumat kesihatan
Diterbitkan : 20 Oct 2026 08:04PM Dikemas Kini : 20 Oct 2026 08:05PM
SIT graduate Siti Wardina explores concept for AI robot to help patients understand health information
  • Siti Wardina Mohamad Izam, 24, and her teammates at the Singapore Institute of Technology created the concept for an AI robot called KAREN, inspired by the character Plankton in SpongeBob SquarePants.
  • The academic project aims to help patients who face language barriers or have difficulty understanding health information by presenting it step by step through text, audio and video in a suitable language.
  • KAREN also asks patients to explain what they have learnt in their own words so nurses can assess their understanding and provide further explanations; Wardina presented the concept to health leaders from the Ministry of Health and SingHealth.
  • Wardina sees potential for AI to support remote monitoring, but says patients with limited digital skills need guidance. After gaining clinical experience, she hopes to become a nurse educator and combine education with technology.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Siapa sangka kartun popular SpongeBob SquarePants boleh memberi inspirasi kepada seorang belia untuk menghasilkan konsep robot AI yang berpotensi membantu pesakit memahami maklumat kesihatan?

Itulah yang dilakukan Siti Wardina Mohamad Izam, 24 tahun, menerusi projek akademiknya di Institut Teknologi Singapura (SIT).

Bersama rakan sekumpulannya, beliau menghasilkan konsep robot pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan KAREN.

Idea itu tercetus daripada watak Plankton dalam kartun tersebut, yang mempunyai robot pembantunya sendiri.

Mereka kemudian meneroka bagaimana robot serupa boleh membantu pesakit, khususnya mereka yang menghadapi halangan bahasa atau sukar memahami maklumat kesihatan.

Walaupun masih di peringkat konsep, KAREN dirancang untuk menyampaikan maklumat kesihatan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan pesakit.

"KAREN dicadangkan untuk menyampaikan maklumat kesihatan melalui teks, audio dan video secara langkah demi langkah, termasuk dalam bahasa yang bersesuaian dengan keperluan pesakit," terang Wardina.

"Fungsi ini berpotensi membantu mengatasi halangan bahasa, khususnya dalam kalangan warga emas yang lebih selesa menggunakan dialek," tambah beliau.

Konsep KAREN juga merangkumi fungsi yang meminta pesakit menerangkan semula apa yang mereka pelajari.

Ini akan membolehkan jururawat menilai tahap pemahaman mereka lalu memberi penerangan tambahan jika perlu, sebelum pesakit pulang ke rumah.
Related article image
Cik Wardina mewakili jurusan Kejururawatan SIT dan membentangkan konsep KAREN kepada pemimpin sektor kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan SingHealth. (Gambar: Siti Wardina)
Projek ini turut membuka peluang kepada Wardina untuk mewakili jurusan Kejururawatan SIT dan membentangkan konsep KAREN kepada pemimpin sektor kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan SingHealth.

Pengalaman itu mengukuhkan lagi minatnya untuk meneroka penggunaan teknologi dalam bidang kejururawatan, terutama bagi meningkatkan mutu penjagaan pesakit.

PASTIKAN PESAKIT TIDAK KETINGGALAN

Wardina percaya AI akan memainkan peranan yang semakin penting dalam bidang kejururawatan, terutama dengan penduduk Singapura yang semakin menua.

Menurutnya, teknologi itu berpotensi membantu jururawat memantau tahap kesihatan pesakit dari jauh dan menyediakan penjagaan susulan selepas mereka pulang dari hospital.

Dengan cara ini, hospital boleh memberi lebih perhatian kepada pesakit yang perlu mendapatkan rawatan secara langsung.

Namun, beliau menekankan bahawa kemajuan teknologi perlu mengambil kira keperluan pesakit yang kurang mahir menggunakan peralatan digital, terutama warga emas.
Related article image
Cik Wardina percaya AI akan memainkan peranan yang semakin penting dalam bidang kejururawatan, terutama dengan penduduk Singapura yang semakin menua.(Gambar: Siti Wardina)
"Sebagai jururawat, kita bukan sahaja perlu menerima teknologi baharu tetapi juga membimbing pesakit supaya mereka yakin dan mampu menggunakannya," ujar beliau.

Wardina juga percaya manfaat kepada pesakit harus menjadi keutamaan dalam setiap usaha memperkenalkan teknologi baharu.

"Pada akhirnya, saya percaya kejayaan teknologi dalam kejururawatan bukan diukur melalui betapa canggihnya, tetapi bagaimana ia meningkatkan penjagaan pesakit dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan," katanya lagi.

BERAZAM JADI PENDIDIK JURURAWAT

Minat Wardina untuk membantu orang lain sebenarnya berputik sejak beliau kecil, apabila ibu bapanya menggalakkannya menyertai kegiatan sukarelawan.

Pengalaman itu mengajarnya untuk lebih memahami keperluan masyarakat dan mendorongnya memilih kerjaya yang membolehkan beliau berbakti kepada orang lain.

"Pengalaman saya sebagai sukarelawan mengukuhkan hasrat ini dan mengajar saya bahawa di sebalik setiap individu, terdapat kisah dan keperluan yang berbeza," kongsinya.

Walaupun kejururawatan bukan pilihan awalnya, pengajian dan latihan klinikal di SIT mengubah pandangannya terhadap kerjaya tersebut.

Beliau mula memahami bahawa tugas jururawat bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga memberi sokongan dan menjaga maruah pesakit ketika mereka melalui saat-saat sukar.
 
Related article image
Cik Wardina bercita-cita untuk menjadi pendidik jururawat, iaitu tenaga pengajar yang melatih dan membimbing bakal jururawat. (Gambar: Siti Wardina)
Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejururawatan, Wardina kini mahu menimba lebih banyak pengalaman klinikal sebelum melanjutkan pelajaran.

Beliau bercita-cita untuk menjadi pendidik jururawat, iaitu tenaga pengajar yang melatih dan membimbing bakal jururawat, termasuk dalam aspek pengetahuan dan kemahiran klinikal.

Hasrat itu lahir daripada pengalamannya menerima bimbingan daripada pensyarah dan jururawat sepanjang pengajian dan latihan klinikal.

"Daripada pengalaman itu, saya sedar bahawa seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga memberikan inspirasi dan mengubah cara seseorang melihat potensi dirinya," katanya.

"Saya berharap pada satu hari nanti, saya juga dapat melakukan perkara yang sama untuk jururawat generasi yang akan datang."

Wardina berharap dapat menggabungkan pengalaman klinikal dengan minatnya terhadap pendidikan dan teknologi AI untuk membantu melahirkan generasi jururawat yang lebih bersedia menghadapi perubahan dalam sektor kesihatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita