Graduan SIT berjaya raih ijazah dalam bidang IT selepas 6 tahun bekerja sambil belajar
- Difficulty finding a job prompted Muhammad Mursyid Hassan to switch to IT while working full-time at NCS.
- Over six years, he completed a diploma in cybersecurity at Singapore Polytechnic before pursuing a degree in Applied Computing at SIT through the NCS Fusion programme and the CSM pathway.
- Despite having to work overtime and sacrifice his free time to study, he graduated and is now a Hybrid Infrastructure Engineer at NCS.
- AI modules and his final-year project sparked his interest in a career in AI and data engineering. He wants to explore the field further after taking a break, while encouraging others not to give up when changing careers.
- Kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam Reka Bentuk Komunikasi dan Maklumat mendorong Muhammad Mursyid Hassan beralih ke bidang IT sambil bekerja sepenuh masa di NCS.
- Selama enam tahun, beliau mengikuti diploma keselamatan siber di Politeknik Singapura sebelum menyambung ijazah Komputeran Gunaan di SIT melalui program Fusion NCS dan laluan CSM.
- Walaupun terpaksa bekerja lebih masa dan mengorbankan masa lapang untuk belajar, beliau berjaya menamatkan pengajian serta kini menjadi Jurutera Infrastruktur Hibrid di NCS.
- Modul dan projek akhir AI membuka minat terhadap kerjaya dalam AI dan kejuruteraan data; beliau mahu mendalami bidang itu selepas berehat, sambil menggalakkan orang lain agar tidak berputus asa ketika beralih kerjaya.
SINGAPURA: Kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam bidang Reka Bentuk Komunikasi dan Maklumat mendorong Muhammad Mursyid Hassan, 31 tahun, untuk mencuba bidang teknologi maklumat (IT).
Keputusan itu membawa beliau melalui perjalanan selama enam tahun lamanya, untuk meningkatkan kemahirannya sambil bekerja sepenuh masa.
Kini, graduan Institut Teknologi Singapura (SIT) itu bukan sahaja berjaya meraih ijazah, malah sudah membina kerjaya sebagai Jurutera Infrastruktur Hibrid di syarikat teknologi NCS.
Encik Mursyid terdahulu mengikuti pengajian Diploma Infokom dan Media Digital (Keselamatan Siber) secara sambilan di Politeknik Singapura (SP), sambil bekerja sepenuh masa sebagai Jurutera Sokongan Komputer di NCS.
Ketika bekerja di syarikat itu, beliau mendapat tahu tentang program 'Fusion NCS', yang membuka peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian di SIT menerusi laluan Pembelajaran Bermodul Bertindan Berasaskan Kecekapan (CSM).
Laluan tersebut membolehkannya terus bekerja sepenuh masa sambil mengikuti pengajian untuk mendapatkan ijazah.
Encik Mursyid merupakan antara kumpulan perintis yang mengikuti laluan CSM bagi kursus Komputeran Gunaan di SIT, dan kini menjadi antara graduan pertama yang berjaya menamatkan pengajian menerusinya.
Namun, perjalanan enam tahun bekerja sambil belajar bukanlah mudah.
Ada kalanya, Encik Mursyid perlu bekerja lebih masa dan pulang lewat, sebelum meluangkan satu hingga dua jam lagi untuk mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan tugasan.
Beliau juga terpaksa membatalkan rancangan bersama rakan-rakan demi memberi tumpuan kepada pengajian.
"Ada hari, memang susah untuk saya mengikuti pelajaran. Ada hari saya perlu kerja lebih masa, balik lambat dan kemudian perlu ulang kaji," katanya.
Di SIT, Encik Mursyid turut menemui minat baharu apabila mempelajari modul Pembelajaran Mesin dan Kecerdasan Buatan (AI).
Bagi projek tahun akhirnya, beliau menggunakan AI untuk menghasilkan sistem yang meramalkan sama ada nilai mata wang asing akan naik atau turun berdasarkan perkembangan ekonomi utama.
Pengalaman tersebut membuka matanya kepada peluang kerjaya lain dalam bidang teknologi, termasuk kejuruteraan data dan AI.
"AI boleh membantu memudahkan kerja dan mempercepatkan pelbagai tugas, seperti menganalisis data dan membuat ramalan," kata Encik Mursyid.
"Tetapi kita harus menggunakan AI sebagai alat untuk membantu kerja, bukan terlalu bergantung kepadanya."
Selepas enam tahun bekerja sambil belajar, Encik Mursyid kini mahu berehat seketika sebelum meneruskan usahanya untuk mendalami bidang AI.
Beliau juga berharap pengalamannya dapat memberi semangat kepada mereka yang ingin beralih ke bidang kerjaya baharu.
"Jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Jangan mudah berputus asa dan berilah diri sendiri lebih masa," nasihatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.