Skip to main content

Singapura

Graduan politeknik ini muncul 'valedictorian', diiktiraf Pingat Emas oleh MPA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2024 05:53PM Dikemas Kini : 21 May 2024 09:09PM

SINGAPURA: Minatnya dalam bidang maritim mula berputik apabila mendengar tentang kisah dan modul-modul menarik yang dipelajari rakan-rakan 'senior' yang mengambil jurusan tersebut di Politeknik Singapura.

Ini yang mendorong Fatin Nur Syaza Rosli memilih kursus Perniagaan Maritim di Politeknik Singapura.

Sepanjang pengajiannya di Politeknik Singapura, beliau konsisten dengan pencapaian akademiknya dan berjaya meraih GPA yang tinggi sehingga menerima beberapa anugerah.

--

Antaranya ialah anugerah daripada Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) apabila Fatin muncul sebagai antara tiga pelajar terbaik dalam kohortnya.

Baru-baru ini pula, beliau diiktiraf dengan Pingat Emas oleh MPA bagi pencapaian menyeluruhnya yang cemerlang.

Tekad dan usaha gigihnya berbaloi apabila beliau terpilih sebagai “Valedictorian” di majlis konvokesyen Politeknik Singapura yang diadakan pada 3 Mei.

"Apabila saya dipilih menjadi 'valedictorian', saya amat gembira dan bersyukur kerana tanpa sokongan pensyarah, kawan-kawan dan keluarga saya, saya tidak dapat dipilih sebagai 'valedictorian'. Jadi saya amat bersyukur dengan sokongan mereka," katanya kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam akademiknya, Fatin cuba menyelesaikan tugasan sekolah seawal mungkin dan mengulang kaji pelajaran secara konsisten.

Ini selain bijak mengimbangi masa agar dapat kurangkan tekanan.

--

Kata Fatin: "Setiap hari saya akan membahagikan masa mungkin sekurang-kurangnya dua jam untuk membaca nota-nota saya. Ini agar saya dapat ingat apa yang saya pelajari di sekolah.

"Selain itu, saya akan meluangkan masa dengan keluarga saya dan pada hari minggu saya akan membahagikan masa untuk belajar dan meluangkan masa dengan keluarga dan kawan-kawan. Saya memastikan saya dapat mengimbangi masa saya dengan baik."

Beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Plymouth.

MAIN LEGO TIMBUL MINAT DALAM REKAAN DALAM

Seorang lagi lulusan yang menerima diploma tahun ini ialah Khairunnisa Syafiqah Nadiah Muhammad

Beliau antara lulusan Diploma dalam Reka Bentuk Dalaman.

Minatnya terhadap reka bentuk timbul sejak berusia sembilan tahun lagi apabila bermain LEGO dan menonton video kanak-kanak tentang rekaan sesuatu.

--

"Saya tertarik dengan kuasa reka bentuk untuk mempengaruhi mood, tingkah laku dan kesejahteraan keseluruhan sama ada melalui penggunaan warna, tekstur atau perancangan ruang, reka bentuk dalaman mempunyai keupayaan untuk mengubah ruang yang untuk individu yang menggunakannya," kongsi Khairunnisa.

Beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke Sekolah Seni, Rekaan dan Media (ADM) di Universiti Teknologi Nanyang.

Khairunnisa turut memberitahu BERITA Mediacorp bahawa beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pengarah seni.

"Sebagai pengarah seni, saya ingin memainkan peranan dalam membentuk visi kreatif dan menghidupkannya melalui penceritaan visual. Saya ingin memberi inspirasi kepada pasukan kreatif dalam pembangunan konsep dan reka bentuk yang inovatif," ujarnya.

Khairunnisa dan Fatin merupakan antara lebih 5,400 graduan diploma, diploma lanjutan dan diploma kepakaran Politeknik Singapura tahun ini.

Dengan kohort graduan tersebut, ia menjadikan rangkaian alumni SP yang terbesar dalam kalangan politeknik di negara ini dengan lebih 235,000 bekas pelajar.

SP juga meraikan ulang tahunnya yang ke-70 tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita