Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Graduan NUS ini ikhlas ingin beri tuisyen Matematik percuma kepada lebih 100 murid PSLE

Hampir 1,000 pelajar dibimbing Encik Saiful Rizal dalam subjek Matematik sejak hampir 11 tahun lalu. Setiap tahun, ada sahaja yang mencapai keputusan cemerlang.

Anggaran Waktu Membaca:
Graduan NUS ini ikhlas ingin beri tuisyen Matematik percuma kepada lebih 100 murid PSLE

Encik Saiful Rizal ingin membimbing seramai mungkin murid PSLE bagi subjek Matematik. (Gambar: Saiful Rizal)

BERITAmediacorp: Hampir 1,000 pelajar dibimbing Encik Saiful Rizal dalam subjek Matematik sejak hampir 11 tahun lalu. Setiap tahun, ada sahaja yang mencapai keputusan cemerlang.

Ada juga yang awalnya gagal teruk tetapi berjaya bangkit dan mula menyukai mata pelajaran Matematik setelah dibimbing lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

Tahun ini, COVID-19 mengajar pula Encik Saiful bahawa membimbing anak-anak muda tidak semestinya terbatas oleh waktu dan tempat.

Semua kelas tuisyennya beralih ke wadah online - dan tanpa disangka-sangka, ia sama berkesan seperti pembelajaran dalam bilik darjah.

Menyedari betapa mudahnya untuk mengajar secara online, pengasas Math Prodigies Learning Centre itu ingin menabur bakti dengan caranya yang tersendiri. 

Beliau akan menyediakan kelas Matematik secara percuma menerusi kaedah 'Facebook Live' selama 10 minggu, bermula Isnin (29 Jun)!

(Gambar-gambar: Saiful Rizal)

"Saya benar-benar ingin membantu para pelajar, terutama sekali mereka dalam masyarakat kita yang mungkin tidak ada tuisyen," kata Encik Saiful.

Mentelah lagi, tinggal 14 minggu sebelum Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bermula dan sesetengah pelajar mungkin tidak dapat dibimbing secara langsung semasa 'circuit breaker', tambah beliau.

"Saya juga melihat banyak cabaran dihadapi para ibu bapa pada waktu COVID-19 ini. Ada dalam kalangan mereka mengeluarkan anak dari pusat tuisyen saya kerana mereka tidak lagi mampu."

Tiada sebarang syarat mahupun kriteria ditetapkan untuk mengikuti kelas percumanya.

RUGI KALAU TIDAK IKUTI KELAS PERCUMA KERANA...

Memang rugi jika tidak mengikuti kelas online percuma Encik Saiful. Yuran kelas-kelas intensif beliau di pusat tuisyen lazimnya boleh mencecah S$500 sebulan.

Encik Saiful juga boleh dikatakan salah seorang guru tuisyen yang sangat disorot di Singapura kerana sudah membuktikan keupayaan memupuk minat pelajar terhadap Matematik.

Siapa sangka bukan, ada pemuda seperti beliau yang mampu membantu seorang pelajar dengan markah 18 mata sahaja, akhirnya mendapat markah sempurna dalam Matematik.

"Mungkin kerana saya pandai mengambil hati mereka. Saya juga pernah corot dalam kelas. Jadi saya faham, kita perlu menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus berusaha," kata Encik Saiful.

Bukan itu sahaja, pemuda berusia 32 tahun itu pernah menerbitkan buku Matematik yang akhirnya menjadi 'bestseller' di laman Amazon.

Jadi rugi jika tidak mengikuti kelas online beliau - walau ia sekadar secara online.

APA YANG AKAN DIAJAR SECARA ONLINE?

Kelas percuma Encik Saiful akan dijalankan pada setiap hari Isnin, dari jam 5.00 petang hingga 7.00 malam.

Ditanya BERITAmediacorp apakah yang bakal diajar dalam sesi yang dijalankan selama 10 minggu berturut-turut, Encik Saiful berkata beliau akan mengajak para pelajar mengulang kaji topik-topik sekolah supaya mempunyai pemahaman lebih baik.

"Saya akan fokus untuk membantu mereka menjawab soalan-soalan Kertas 1 Matematik. Kertas 1 terdiri daripada 45 markah. Jika asas mereka bagus, mereka boleh dapat markah penuh. Ia akan sangat membantu mereka," terang Encik Saiful.

Kelas online Encik Saiful bersama para pelajarnya. 

Beliau menambah, para pelajar yang mengikuti kelas percumanya hanya perlu menyiapkan kertas kajang, pena dan kalkulator sebelum bersama-sama membuat latihan secara 'live' bersamanya di Facebook.

INGIN BANTU SEKURANG-KURANGNYA 100 PELAJAR

Sekalipun belum memulakan kelas percumanya, Encik Saiful yakin ia akan mendapat sambutan baik dan berharap dapat membantu sekurang-kurangnya 100 pelajar.

"Biasanya masih ada ramai ibu bapa tercari-cari tuisyen apabila peperiksaan akhir tahun nak dekat. Apa lagi kalau anak mereka mendapat keputusan membimbangkan pada pertengahan tahun.

"Tahun ini sedikit berbeza kerana peperiksaan pertengahan tahun ditiadakan disebabkan COVID-19. Kebimbangan anak ketinggalan dalam pelajaran pasti ada," jelas beliau.

Bagi pusat tuisyennya di Kembangan, beliau malah menerima sekitar 10 pendaftaran baru meskipun semua kelas dijalankan secara online. Ini menjadi isyarat jelas, ada permintaan bagi tuisyen online.

Tuisyen online yang dijalankan sejauh ini juga mendapat maklum balas yang menggalakkan.

"Kalau ramai yang menyertai kelas online percuma itu nanti pun tidak ada masalah. Kerana arahan yang diberikan tetap sama." 

Mereka yang ingin mengikuti kelas tuisyen percuma Encik Saiful boleh melungsuri laman ini atau mencari kumpulan '2020 PSLE Math Crash Course - FREE 10-Week Online Tuition!' di Facebook. Sesi pertama akan berlangsung pada 29 Jun.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan