Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Graduan NUS guna pengalaman pembedahan jantung sendiri bagi cipta alat pemulihan yang menang Anugerah Reka Bentuk James Dyson

Anggaran Waktu Membaca:
Graduan NUS guna pengalaman pembedahan jantung sendiri bagi cipta alat pemulihan yang menang Anugerah Reka Bentuk James Dyson

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Dilahirkan dengan komplikasi jantung kongenital, yang menjejas fungsi injap jantung, Encik Siew E Ian memerlukan pembedahan jantung terbuka buat pertama kali ketika dia berusia dua minggu.

Dia memerlukan satu lagi pembedahan pada 2021, ketika dia berusia 22 tahun.

Ketika pembedahan kedua, satu perkara menarik perhatiannya. Pendakap dada yang dipakainya selepas pembedahan untuk membantu penyembuhan tulang dadanya, ataupun tulang yang rata dan panjang di tengah-tengah dada, tidak menawarkan tekanan yang mencukupi di bahagian atas dadanya untuk berfungsi dengan baik.

Encik Siew juga sedar bahawa bahan elastik yang digunakan dalam pendakap tersebut boleh menjadi terhad, yang akan membuat si pengguna merasakan tekanan berterusan di sekitar dada.

Ia menghalang corak pernafasan yang betul pada pesakit dan sebaliknya menyebabkan peluh di kawasan luka, yang dapat meningkatkan risiko jangkitan ketika pembedahan.

Lelaki 24 tahun itu merupakan graduan baharu Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengambil jurusan reka bentuk perindustrian.

Pada Rabu (13 Sep), dia menerima anugerah kerana menghasilkan Auxobrace, alat pemulihan seperti rompi pertama yang diilhamkan oleh keadaan yang dialaminya sendiri.

Alat itu memberi sokongan dinamik dan kestabilan pada tulang dada pesakit yang menjalani pemulihan ketika dibenarkan pulang dari hospital.

Auxobrace merupakan pemenang nasional Anugerah James Dyson tahun ini, yang dinamakan selepas usahawan yang menubuhkan syarikat peralatan rumah Dyson.

Dua lagi projek dari Singapura, sebuah cop braille dinamakan Projek Mimir dan alat terapung dinamakan 'Thermal Floater' yang menukar tenaga suria kepada elektrik dinobatkan sebagai naib juara nasional.

Ketiga-kita projek tersebut dipilih daripada 48 projek yang dihantar oleh para penuntut dari enam universiti di Singapura.

Para pemenang akan mara ke pusingan seterusnya dalam senarai antarabangsa pemenang 30 negara lain yang mengambil bahagian.

20 penyertaan antarabangsa teratas yang disenaraikan daripada kira-kira 90 finalis akan diumumkan pada 18 Oktober.

Seorang pemenang antarabangsa, dua naib juara dan seorang pemenang kelestarian yang dipilih oleh Encik Dyson akan diumumkan pada 15 November depan.

Pemenang antarabangsa akan menerima S$48,000 dan dua naib juara akan menerima S$8,000.

REKA BENTUK 'DARI HATI'

Pengalaman Encik Siew sebagai pengguna dan pereka memberinya "motivasi yang besar" untuk menghasilkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya sebagai seorang pesakit yang sedang sembuh.

Encik Siew memberitahu Mediacorp bahawa dia menghasilkan lebih daripada 10 prototaip Auxobrace, dan mendapatkan maklum balas dari para pekerja perubatan dan pesakit yang sudah sembuh daripada pembedahan jantung terbuka di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Auxobrace dibuat daripada fabrik poliuretana termoplastik, bahan yang sama digunakan untuk membuat bantal leher pesawat yang boleh dikembungkan.

Bahan dan struktur dalaman Auxobrace membenarkan alat tersebut menawarkan tekanan yang disasarkan dan tekanan pada tulang dada.

Encik Siew berjaya mendapatkan paten sementara untuk Auxobrace dan akan terus menghasilkannya dalam kerjanya sebagai penyelidik reka bentuk kejuruteraan di Pusat Pembuatan Tambahan NUS.

"Saya harap untuk melihat lebih ramai jurutera reka bentuk mencipta sesuatu dari hati mereka... supaya lebih banyak rekaan bentuk yang boleh memberi kesan yang besar," tambahnya.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan