Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Graduan cemerlang ITE pernah gagal layak pengajian undang-undang kini buru semula impian jadi peguam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak di bangku sekolah rendah lagi, Nurqistina Atiqah Abu Bakar sudah mempunyai impian menjadi seorang peguam.

Beliau mendapat inspirasi daripada membaca buku tentang mantan peguam terkenal di Singapura, Subhas Anandan.

"Bapa saya beri buku “It’s Easy to Cry” oleh Subhas Anandan. Buku itu berkisahkan tentang kes-kes pro bono Subhas Anandan dan saya sangat meminatinya," kata Qistina, anak kedua daripada tiga beradik.

Berpandukan cita-citanya itu, Qistina bekerja keras untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus undang-undang di politeknik.

Namun, impiannya terhambat disebabkan gred subjek Matematik dalam peperiksaan GCE 'O' yang tidak memenuhi kriteria minimum untuk kursus yang diidam-idamkan.

AMBIL JALAN LAIN UNTUK CAPAI CITA-CITA

Qistina kemudian memilih haluan berbeza dengan mengambil kursus Nitec Lanjutan dalam Sumber Manusia dan Pentadbiran di Kolej Timur Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

"(Kursus) Sumber Manusia itu dapat mengajar saya kemahiran untuk berbual dengan orang untuk kemahiran berhubung dan mendengar. Jadi sebagai peguam, kemahiran-kemahiran itu semua yang paling penting untuk kita," jelas Qistina, yang sudah memenangi pelbagai anugerah di sekolah serta termasuk dalam Senarai Pengarah pada 2020 dan 2021.

Sebagai presiden Majlis Pelajar di ITE, Qistina merebut segala peluang yang diberikan, termasuklah melibatkan diri dalam sekitar 50 kegiatan di peringkat kolej, kemasyarakatan dan nasional.

Kebijaksanaannya mengatur jadual dan mengimbangi masa juga memastikan pelajarannya tidak terjejas dengan mengekalkan Purata Nilai Gred (GPA) hampir sempurna. 

"Saya selalu berikan usaha penuh dalam semua benda yang saya buat. Jadi kalau saya suka sesuatu aktiviti, saya akan berikan usaha saya 100 peratus.

"Saya rasa saya tidak boleh duduk diam. Selalunya kalau ada aktiviti, saya boleh buat," jelas Qistina, yang juga aktif dalam kerja-kerja sukarelawan.

Segala usahanya dan kerja kerasnya ternyata berbaloi apabila Qistina muncul antara tiga pelajar ITE yang menerima anugerah Pingat Emas Lee Kuan Yew tahun ini.

Ia diberikan kepada pelajar dari ketiga-tiga kolej ITE yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, aktiviti-aktiviti ko-kurikular dan memperkayakan kehidupan di sekolah.

"(Anugerah ini) sangat membuat saya lebih yakin dalam diri saya," kata Qistina.

Dengan ilmu serta pengalaman yang diraih daripada ITE, ia menyalakan semula keinginannya untuk terus mengejar cita-citanya sejak kecil.

Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran dalam kursus Diploma dalam Undang-Undang dan Pengurusan di Politeknik Temasek sebagai pelajar tahun pertama.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walaupun beliau akui perjalanan untuk mencapai cita-citanya itu jauh, belia berusia 19 tahun itu mempunyai tekad yang hebat kerana mahu menjadi contoh kepada masyarakat.

"Saya juga mahu jadi peguam sebab di Singapura, masyarakat Melayu adalah minoriti. Jadi saya mahu mewakili masyarakat Melayu.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk masuk ke universiti. Kalau tidak, saya akan jadi paralegal di dalam frima undang-undang. Jadi lepas itu, membina perjalanan saya sehingga menjadi seorang peguam," tambahnya.

ITE SIAPKAN PARA PELAJAR UNTUK MASA HADAPAN

Qistina merupakan antara 262 graduan ITE yang menerima pengiktirafan dalam satu upacara tamat pengajian pada Rabu (27 Jul).

Acara yang diadakan secara fizikal sepenuhnya buat pertama kali selepas tiga tahun di Kolej Tengah ITE menyampaikan 236 pingat kursus, 10 biasiswa Tay Eng Soon serta 16 anugerah cemerlang.

Dalam ucapannya, Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman sebagai tetamu terhormat berkata ITE  berada di barisan hadapan untuk mempersiapkan para pelajar bagi tugas-tugas masa hadapan, berdasarkan perubahan industri sekarang. 

Ini dengan kerjasama yang dijalin dengan lebih 4,500 syarikat dan majikan yang menyediakan peluang-peluang latihan amali kepada lebih 14,000 pelajar setiap tahun.

"Kerjasama sebegini membolehkan pelajar untuk membangunkan kemahiran relevan dalam industri yang kritikal, meraih pengalaman kerja bermakna dan maju ke arah peluang kerjaya yang bermakna. Menjangkau latihan amali, rakan-rakan kerja itu turut mengenalpasti pentingnya sekitaran pembelajaran yang tulen untuk lebih menyediakan para pelajar untuk tenaga kerja masa depan," kata Dr Maliki.

Beliau menarik perhatian program diploma bekerja sambil belajar ITE (WSDip) yang mana pelajar ITE dapat bekerja dan belajar pada masa yang sama.

Para majikan juga katanya menghargai keunikan model latihan yang digunakan serta kurikulum yang relevan dengan industri.

SURIA SAAD KEMBALI KE SEKOLAH SELEPAS 20 TAHUN

Antara pelajar yang diiktiraf dalam ucapan Dr Maliki ialah graduan cemerlang daripada kursus WSDip dalam Pendampingan Masyarakat dan Pembangunan, Cik Suria Saad, 41 tahun.

Meskipun perlu mengimbangi peranan sebagai pekerja, isteri dan ibu kepada dua orang anak, beliau tidak berfikir dua kali untuk kembali belajar selepas meninggalkan sekolah, kerana mahu maju dalam kerjayanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya merebut peluang itu sebab tidak ramai (orang) yang dapat peluang seperti ini yang mana anda dapat belajar sambil bekerja. Waktu pelajaran anda itu semasa waktu kerja," kata Cik Suria yang menerima sokongan majikannya, Sport Singapore.

Kepintarannya dan kesungguhannya dalam apa juga yang dilakukan, membuatkan Cik Suria sangat disenangi oleh rakan-rakan sekelas dan sentiasa mengambil inisiatif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti bersama-sama.

Dengan kemahiran yang dipelajari di sekolah, Cik Suria yang bertugas sebagai seorang Penolong Pengurus Pusat di Pusat Sukan Jurong West juga menunjukkan prestasi yang baik di tempat tugas sehinggakan beliau dinaikkan pangkat sebanyak dua kali. 

Beliau menjadi antara tiga penerima Pingat Emas Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura kerana telah menyumbang kepada latihan di tempat kerja, projek-projek dan kegiatan syarikat sebagai seorang mentor.

"(Anugerah ini) Sangat bermakna kerana itu menunjukkan bahawa usaha yang saya berikan selama dua setengah tahun berbaloi. Ia juga menunjukkan pengorbanan suami, anak-anak saya dimana mereka harus bagikan masa mereka antara ibu yang harus belajar, bekerja dan meluangkan masa untuk mereka," kata Cik Suria, yang turut segala pengorbanan yang diberikan oleh akan-rakan setugas.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau kini sedang menjalani latihan Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam bidang pekerjaan sosial.

Berpegang kepada pembelajaran sepanjang hayat, Cik Suria berazam untuk terus mendaki tangga kejayaan sehingga dapat menggapai segulung ijazah.

"Saya perlu belajar, ia membantu membuka keinginan baru dalam mempelajari pengetahuan baru," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Tahun ini, seramai 14,179 pelajar ITE menamatkan pengajian mereka.

Dr Maliki meluahkan kegembiraan dan kebanggaannya dengan pencapai yang diraih para graduan itu.

Dengan pelbagai tawaran yang disediakan di ITE, beliau menegaskan ia adalah usaha untuk memberi pelbagai peluang pekerjaan.

"Hari ini kita lihat ITE bukan sebuah institusi yang dianggap kurang baik tetapi sebuah institusi yang memberi wadah dan peluang kepada semua anak muda kita untuk meningkatkan kemahiran mereka, meningkatkan kebolehan mereka untuk mencapai kerja-kerja yang lebih baik di masa hadapan," kata Dr Maliki.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan