GrabCar Plus bakal diperkenalkan tapi penumpang perlu bayar tambahan 20%
Mulai April, Grab akan menawarkan khidmat baru yang bermatlamat untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada para pengguna yang sanggup membuat bayaran tambahan sebanyak 20 peratus. Khidmat GrabCar Plus ini disediakan oleh para pemandu dengan kadar lebih tinggi dan menggunakan kereta yang baru.

Gambar kenderaan sewa Grab. (Gambar: Grab)
SINGAPURA: Mulai April, Grab akan menawarkan khidmat baru yang bermatlamat untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada para pengguna yang sanggup membuat bayaran tambahan sebanyak 20 peratus. Khidmat GrabCar Plus ini disediakan oleh para pemandu dengan kadar lebih tinggi dan menggunakan kereta yang baru.
Grab sudahpun menggalak para pemandunya untuk mendaftar bagi khidmat tersebut dengan mengirimkan emel pada awal minggu ini bagi menawarkan lebih banyak insentif. Menurut laman Grab Rabu lalu (31 Jan), antara insentif yang ditawarkan adalah tambang sehingga 20 peratus lebih tinggi dan pilihan untuk tidak menerima tempahan GrabShare.
Encik Andrew Chan, Ketua GrabCar Singapore, memberitahu Mediacorp bahawa khidmat GrabCar Plus diperkenalkan menyusuli maklum balas para penumpang mengenai jenis pengalaman yang mereka inginkan. Pilihan baru itu bagaimanapun tidak akan menggantikan GrabCar Premium yang membolehkan para penumpang menaiki kereta mewah.
Encik Chan berkata: “GrabCar Plus adalah khidmat baru dengan tumpuan kepada khidmat cemerlang dan kereta baru.”
Menurut beliau lagi, syarikat kereta sewa itu akan menghentikan khidmat GrabCar mulai April dan para pemandu akan terus menerima tempahan melalui khidmat lain seperti JustGrab, GrabShare, GrabFamily dan GrabCar Premium.
Namun, para pemandu berasa ragu-ragu terhadap skim GrabPlus dengan sesetengah daripada mereka berkata bahawa kriteria kelayakan sukar untuk ditepati.
Bagi pemandu GrabCar Economy, hanya sebilangan model kereta yang layak disertakan dalam khidmat baru itu dan kenderaan tersebut tidak boleh menjangkaui usia tiga tahun. Selain itu, pemandu GrabCar Premium pula perlu memandu kenderaan yang usia kenderaan itu tidak melebihi lima tahun.
Dalam pada itu, kriteria 50 tempahan pertama akan disemak bagi para pemandu yang menyertai GrabCar Plus. Malah, mereka akan dinilai berdasarkan khidmat dan keadaan kereta mereka sebelum dibenarkan menyertai khidmat tersebut secara rasmi.
Antara kriteria kelulusan termasuk kadar penerimaan tempahan sebanyak 90 peratus dan rating pemandu 4.8 daripada 5 mata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.